Skip to main content

Singapura

Potensi ETS3 jadi pilihan pengangkutan ramai antara SG & KL

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Harga, masa dan keselesaan.

Inilah antara pertimbangan utama ramai apabila memilih jenis pengangkutan bagi untuk ke Kuala Lumpur.

Kini, terdapat satu lagi alternatif - menaiki tren.

Perkhidmatan ETS3 laluan JB Sentral–KL Sentral mula beroperasi sejak 12 Disember lalu.

Bergerak pada kelajuan 140 kilometer sejam, ia hanya mengambil masa kira-kira empat jam untuk ke ibu kota itu dari JB.

Namun, sejauh mana ETS3 menjadi pilihan yang berbaloi jika dibandingkan dengan pesawat?

Wartawan BERITA Mediacorp, Syazwani Sanep dan Fatyn Abdul Samad cuba sendiri naik dua mod pengangkutan itu untuk ke KL Sentral.
Perjalanan udara meskipun singkat, ia juga boleh memakan masa atas beberapa faktor.

Antaranya termasuk keperluan untuk tiba di lapangan terbang awal untuk 'check-in', pemeriksaan dan pertukaran jadual penerbangan.

Sebaliknya, penumpang ETS3 hanya perlu tiba 30 minit sebelum tren berlepas.
Related article image
Dari segi kos pula, ETS3 lebih mesra kocek berbanding penerbangan.

Keseluruhan kos ke KL bagi wartawan Syazwani melalui pesawat menelan belanja sekitar S$220.

Ini termasuk tambang KLIA Ekspres untuk ke KL Sentral dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Untuk perjalanan menaiki tren pula, wartawan Fatyn hanya mengeluarkan belanja kira-kira S$28.

Rata-rata penumpang ETS3 dari Singapura yang ditemui BERITA Mediacorp, berpuas hati dengan operasi tren itu.

Antaranya termasuk Encik Muhd Khairul Omar yang melakukan perjalanan ke KL Sentral dengan menaiki ETS3 bersama isterinya, Cik Siti Raihani Abdul Aziz.
Related article image
Encik Muhd Khairul Omar melakukan perjalanan ke KL Sentral dengan menaiki ETS3 bersama isterinya, Cik Siti Raihani Abdul Aziz. (Gambar: Fatyn Abdul Samad/BERITA Mediacorp)
"Kami pernah naik bas. Kami pernah memandu. Kami pernah naik penerbangan. Jadi kami mahu cuba dan saya rasa pengalamannya agak lancar. Saya rasa lebih baik daripada bas kerana tiada kesesakan lalu lintas," jelas Encik Khairul.

Mereka malah memperoleh tiket perjalanan tersebut pada 16 Disember, hanya beberapa sebelum tarikh berlepas.

Pasangan itu berkongsi rasa lega kerana masih berjaya mendapatkan tiket pada saat-saat akhir. Ini memandangkan pembelian tiket penerbangan hampir dengan tarikh perjalanan lazimnya lebih mahal daripada biasanya.
Related article image
Encik N Shaikkadergani dan Cik Farha Mohd Yusoff, bersama tiga orang anak mereka. (Gambar: Fatyn Abdul Samad/BERITA Mediacorp)
Turut melakukan perjalanan ialah pasangan ibu bapa muda, Encik N Shaikkadergani dan Cik Farha Mohd Yusoff yang bercuti ke Kuala Lumpur bersama tiga orang anak mereka.

Bagi Encik N Shaikkadergani, bas merupakan pilihan utamanya untuk ke Kuala Lumpur dari Singapura sebelum ini.

Namun, dengan adanya ETS3, pilihannya mungkin berubah.

"Dari segi kos, ia tidak jauh beza antara bas dan tren tetapi ini ikut jadual. Saya tidak perlu risau tentang kesesakan lalu lintas atau sama ada jalan itu selamat dan sebagainya. Ini bagus dan harganya hanya sedikit lebih tinggi daripada bas," ujarnya.

Walaupun terpaksa memulakan perjalanan pada awal pagi bagi memastikan mereka sempat menaiki tren ETS3 yang dijadualkan berlepas pada jam 8.20 pagi, mereka tidak menganggap perjalanan dari rumah mereka di Ang Mo Kio ke JB Sentral termasuk menaiki bas dan melalui pemeriksaan imigresen, sebagai sesuatu yang merumitkan.

Ini bagaimanapun berbeza bagi Encik Khairul dan Cik Raihani.

Mereka memilih untuk menginap di hotel dekat JB Sentral sehari sebelum menaiki tren ETS3 mereka yang dijadual berlepas pada 8.20 pagi supaya mereka tidak perlu tergesa-gesa.

NIKMATI KEMUDAHAN DALAM TREN

Selain pemandangan, penumpang juga dapat menikmati kemudahan yang tersedia dalam tren.

Daripada tempat mengecas sehinggalah ruang solat serta kafe yang menyajikan aneka hidangan.

Ini dapat dinikmati para penumpang, termasuk keluarga dengan anak kecil seperti keluarga Encik N Shaikkadergani.

"Saya hanya membeli beberapa minuman untuk anak-anak saya. Jika anda memerlukannya, (anda) boleh pergi saja. Apabila anda menaiki bas, anda hanya boleh singgah di perhentian yang ditetapkan saja," kongsinya.

Dengan pengalaman menaiki ETS3 yang memuaskan, seorang lagi penumpang ETS3 dari Singapura, Encik Mohd Khalid Abdullah, menyuarakan harapannya agar mutu perkhidmatan tren itu dapat dikekalkan.
 
Related article image
Seorang penumpang ETS3 dari Singapura, Encik Mohd Khalid Abdullah. (Gambar: Fatyn Abdul Samad/BERITA Mediacorp)
"Masih baru lagi pelancaran ETS3 ini. Nampak macam bagus. Harap mereka kekalkan semua penyelenggaraan, kebersihan kemudahan," kata Encik Mohd Khalid.

MULAI 1 JAN 2026, ADA 8 KHIDMAT TREN JB-KL BERBANDING 4

Mulai 1 Januari tahun depan, KTMB akan melakukan 8 perjalanan bagi laluan antara dua perhentian itu.

Ini berbanding dengan 4 perjalanan yang tersedia, sekarang.

Langkah ini diharap dapat meningkatkan kapasiti, ketersambungan serta keselesaan perjalanan penumpang antara negeri.

MASIH TERLALU AWAL NILAI JIKA ETS3 BERI KESAN KEPADA PERNIAGAAN KL SENTRAL

Dengan tambahan khidmat tersebut, KL Sentral boleh dijangka bertambah sibuk.

Walau bagaimanapun beberapa peruncit di KL Sentral dan pemandu teksi yang ditemui, masih belum merasakan sebarang kesan kerana masih di peringkat awal.
 
Related article image
Seorang pemandu teksi yang ditemui BERITA Mediacorp, Muhd Ridwan Quek. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Seorang pemandu teksi yang ditemui BERITA Mediacorp, Muhd Ridwan Quek berkongsi:

"Saya tahu baru 12 hari bulan (ETS3) mula jalan sampai sini tapi tak ramai orang. Kita pun rasa kadang-kadang kita pun kena tunggu 1 jam, 2 jam baru boleh dapat penumpang keluar."

Pengamatan ini juga dikongsi lagi seorang pemandu teksi, Encik Malcolm Kheung Peng Kong.
Related article image
Seorang pemandu teksi, Encik Malcolm Kheung Peng Kong. (Gambar: Fatyn Abdul Samad/BERITA Mediacorp)
"Dia keluar semua aplikasi telefon panggil orang. Awak boleh tengok nanti satu tren mari, satu ratus orang kita. Dua teksi jalan saja boleh tengok bukan kita mulut cakap saja," ujar Encik Kong.

Perjalanan untuk menaiki ETS3 dijangkakan lebih lancar apabila Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor-Singapura mula beroperasi pada awal 2027.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita