Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

POS TKI tawar khidmat ambulans; bayaran 30% lebih rendah berbanding harga pasaran

Syarikat POS TKI Logistics yang menawarkan khidmat penghantaran barang ke Indonesia, kini turut mengendalikan khidmat ambulans.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Syarikat POS TKI Logistics yang menawarkan khidmat penghantaran barang ke Indonesia, kini turut mengendalikan khidmat ambulans.

Khidmat itu merangkumi sebuah ambulans dan empat pengangkutan perubatan yang dikendalikan oleh anak syarikatnya, One Medical Services.

"Sepanjang beberapa tahun apabila POS TKI Logistics berkhidmat untuk masyarakat seperti membantu keluarga-keluarga yang susah, kita juga lihat bahawa sebenarnya masyarakat kita semakin menua jadi perkhidmatan ambulans ini sedikit sebanyak dapat membantu warga emas dalam memudahkan mereka untuk ke pemeriksaan perubatan, dialisis dan segala-gala yang berkaitan dengan khidmat perubatan, insya-Allah kita dapat bantu," kata Anwar Tahar, pengarah urusan POS TKI Logistics Pte Ltd dan One Medical Services kepada BERITAmediacorp.

Menurut Encik Anwar, bayaran bagi khidmat ambulans dan pengangkutan perubatan yang ditawarkan oleh One Medical Services adalah 20 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat swasta yang lain.

Misalnya, bagi kes kecemasan dan penghantaran ke hospital, One Medical Services mengenakan bayaran S$180.

Selain khidmat ambulans, One Medical Services juga menawarkan khidmat penghantaran pesakit atau 'patient escort service' di mana para pesakit akan ditemani oleh seorang kakitangan One Medical Services sepanjang mereka berada di hospital.

"Kami juga menawarkan khidmat 'escort' iaitu kakitangan kami akan menemani pesakit daripada permulaan sehingga mereka selesai janji temu atau 'check up' di hospital.

"Kadangkala pesakit ini memerlukan bantuan untuk menguruskan diri jadi itulah kami tawarkan khidmat ini. Selalunya khidmat ini dipesan oleh rumah-rumah jagaan atau daripada ahli keluarga mereka," kata Abdil Hakiim, pengurus operasi One Medical Services.

Menurut Encik Hakiim lagi, One Medical Services menerima purata 15 hingga 20 panggilan setiap hari bagi khidmat ambulans dan pengangkutan perubatan.

Dalam masa setahun lagi, syarikat itu berura-ura mahu menambah lagi lima buah ambulans bagi memenuhi permintaan yang ada.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan