Skip to main content

Singapura

Portal SkillsFuture alami gangguan sedang kredit S$500 bakal tamat tempoh

Anggaran Waktu Membaca:
Portal SkillsFuture alami gangguan sedang kredit S$500 bakal tamat tempoh
Notis yang memberi amaran kepada pengguna tentang "gangguan" pada laman web MySkillsFuture pada 31 Disember 2025.
SINGAPURA: Portal SkillsFuture mengalami "gangguan" pada Selasa (30 Dis), sehari sebelum kredit bernilai S$500 bakal tamat tempoh.

SkillsFuture Singapore (SSG) menyatakan pada Rabu bahawa ia sedang mengalami "masalah sistem" dan sedang berusaha untuk menghuraikannya.

“Tuntutan Kredit SkillsFuture anda, termasuk kredit yang bakal tamat tempoh, akan diluluskan sebaik sahaja sistem kembali beroperasi.

"Kami akan memaklumkan anda untuk menyerahkan tuntutan anda apabila sistem (kembali) beroperasi,” tulis SSG dalam catatannya di Facebook pada awal Rabu.

Mediacorp mula menerima laporan bahawa laman web MySkillsFuture mengalami gangguan seawal pukul 10.20 malam pada Selasa.

Notis di portal MySkillsFuture pada pagi Rabu memberi amaran kepada pengguna bahawa beberapa perkhidmatan digital mungkin menghadapi gangguan.

Ia menasihatkan pengguna supaya melayari https://sfc.myskillsfuture.gov.sg/claim untuk membuat tuntutan kredit SkillsFuture mereka.

Gangguan itu berlaku sedang rakyat Singapura mengejar masa untuk menggunakan tokokan kredit SkillsFuture S$500 sekali saja sebelum ia tamat tempoh pada 31 Disember, dengan penyedia latihan melaporkan minggu lalu bahawa permintaan melonjak dengan mendadak - dalam beberapa kes sehingga tujuh kali ganda.

Setakat sehingga September, kira-kira tujuh daripada 10 rakyat Singapura yang layak belum menggunakan tokokan kredit SkillsFuture mereka.

Tokokan kredit SkillsFuture diberikan kepada rakyat Singapura berusia 25 tahun ke atas pada 2020 di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Ia tambahan daripada tokokan pertama kredit SkillsFuture sebanyak S$500, yang diagihkan kepada semua rakyat Singapura berusia 25 tahun ke atas dan tidak akan tamat tempoh.

Rakyat Singapura berusia 40 tahun ke atas juga mendapat elaun latihan pertengahan kerjaya sebanyak S$4,000 dalam kredit SkillsFuture yang tidak luput tempohnya.

Kredit SkillsFuture boleh digunakan untuk mengimbangi yuran bagi kursus-kursus yang layak di portal online MySkillsFuture.

Mediacorp sudah menghubungi SSG bagi maklumat lanjut, termasuk sama ada orang ramai akan diberi masa tambahan untuk menggunakan kredit mereka yang akan tamat tempoh.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita