Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Portal sehenti MyMENDAKI dilancar; manfaatkan 70,000 penerima bantuan, pelajar & rakan kongsi

Para pengguna kini boleh mengakses perkhidmatan yang ditawarkan MENDAKI dengan lebih mudah lagi setelah sebuah portal sehenti, MyMENDAKI, dilancarkan secara rasmi.

Anggaran Waktu Membaca:
Portal sehenti MyMENDAKI dilancar; manfaatkan 70,000 penerima bantuan, pelajar & rakan kongsi

Laman web portal sehenti MyMENDAKI. (Gambar: MENDAKI)

SINGAPURA: Para pengguna kini boleh mengakses perkhidmatan yang ditawarkan MENDAKI dengan lebih mudah lagi setelah sebuah portal sehenti, MyMENDAKI dilancarkan secara rasmi.

Dilancarkan pada Isnin (8 Nov), portal sehenti itu memperkemas proses-proses untuk permohonan bantuan kewangan, biasiswa dan dermasiswa serta program pendidikan dan sukarelawan mahupun acara dan kegiatan kendalian pertubuhan tersebut.

Buat julung-julung kalinya juga, pendaftaran awam untuk Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) bagi 2022 akan dilakukan melalui portal itu.

Menurut kenyataan media MENDAKI pada Isnin, lebih 2,300 pelajar MTS sedia ada sudahpun berjaya mendaftarkan diri untuk menyambung skim tuisyen itu pada tahun depan menerusi portal MyMendaki sewaktu tempoh pendaftaran keutamaan dari 16 hingga 31 Oktober lalu.

Ibu bapa yang terlepas mendaftarkan anak mereka sepanjang tempoh itu masih boleh memohon bagi MTS 2022 bersama-sama dengan masyarakat umum lain sehingga 31 Januari tahun depan.

MENDAKI turut mengumumkan yuran pendaftaran bagi MTS 2022 ditetapkan pada S$10 untuk seluruh tahun dan bukan lagi berdasarkan yuran tahunan sehingga S$210.

BAGAIMANA AKSES PORTAL MyMENDAKI

Untuk mengakses portal MyMENDAKI, pengguna perlu membuat satu akaun di https://my.mendaki.org.sg/.

Melalui akaun khas itu, pengguna boleh mendapatkan pelbagai maklumat serta melakukan fungsi-fungsi termasuk menguruskan profil dan kegiatan anak mereka. Selain itu, mereka juga kini boleh memeriksa status pendaftaran program dan permohonan yang dibuat bagi bantuan kewangan, biasiswa atau dermasiswa.

Hasil proses yang diperkemas itu, bilangan borang yang perlu diisi dapat dikurangkan lantas, menjimatkan masa. Pengguna juga boleh mengemas kini maklumat peribadi dengan lebih mudah melalui MyInfo.

Ibu bapa boleh mendaftarkan akaun mereka sebagai sebuah keluarga, sekali gus membolehkan MENDAKI untuk mengenal pasti satu intervensi lebih menyeluruh buat mereka serta anak-anak mereka.

Dengan portal sehenti itu juga, anggota masyarakat boleh merujuk individu yang memerlukan bantuan MENDAKI dan kemudian memantau perkembangan intervensi yang dihulurkan kepada penerima.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MENDAKI Zuraidah Abdullah berkata: "Portal MyMENDAKI membantu kami untuk memanfaatkan teknologi digital bagi menyediakan proses permohonan yang diperkemas dan lebih pantas untuk khidmat-khidmat kami".

"Sebagai sebuah laman portal khidmat sehenti, MyMENDAKI adalah sebuah wadah yang membolehkan badan Melayu/Islam itu untuk memahami keperluan khusus kumpulan berbeza dalam masyarakat menerusi pelibatan mereka dalam program dan skim bantuan kewangan MENDAKI," tambah beliau.

Menurut MENDAKI, khidmat-khidmat tambahan lain akan disertakan dalam portal itu secara bertahap-tahap.

Misalnya, portal itu juga akan dilengkapi dengan ciri-ciri untuk pengguna menguruskan sendiri sumbangan derma, pendaftaran bagi program baru dan memantau kegiatan sukarela yang disertai mereka. Selain itu, pengguna juga boleh mengemas kini sendiri kemajuan bimbingan yang disediakan mereka melalui program-program kelolaan MENDAKI.

Sebuah video animasi lengkap dengan maskot 'Mikki' juga dibangunkan untuk menyediakan panduan mudah langkah demi langkah mengenai penggunaan portal MyMENDAKI bagi mengakses khidmat-khidmatnya. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan