Portal sehenti dilancar sokong madrasah sepenuh masa setempat kumpul dana
Portal sehenti OurMadrasah.SG dilancarkan hari ini (4 Dis) untuk membantu usaha pendidikan awam dan mengumpul dana oleh madrasah-madrasah sepenuh masa setempat.

Petikan skrin portal OurMadrasah.SG
SINGAPURA: Satu portal sehenti dilancarkan hari ini (4 Dis) untuk membantu usaha pendidikan awam dan mengumpul dana oleh madrasah-madrasah sepenuh masa setempat.
Diberi nama OurMadrasah.SG, portal itu hasil kerjasama kesemua enam madrasah sepenuh masa dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), menurut badan penguasa agama itu dalam satu kenyataan media.
Menurut MUIS, madrasah memainkan peranan penting dalam pembangunan ulama serta asatizah dan sebagai sekolah privet, banyak bergantung kepada sokongan masyarakat, kata Muis.
Portal OurMadrasah.SG, tambahnya berfungsi sebagai wadah pendidikan awam untuk mendampingi masyarakat, di mana orang ramai boleh mengetahui lebih lanjut tentang perkembangan madrasah-madrasah setempat menerusi penerbitan video dan rencana yang menampilkan pencapaian institusi pendidikan agama itu.
KOS MENINGKAT, SUMBANGAN TERHAMBAT
"Madrasah disokong menerusi yuran sekolah dan geran daripada pelbagai sumber seperti Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), Baitulmal, Zakat, Dana Madrasah, Wakaf Ilmu dan sokongan dana pemerintah," kata Muis.
Kesemua dana ini, menurut MUIS lagi, digunakan untuk menampung perbelanjaan tenaga kerja madrasah dan pembangunan para asatizah, selain menyokong kos operasi dan program sekolah.
Namun, pandemik COVID-19 telah menjejas usaha madrasah mengumpul dana, seperti pungutan semasa solat Jumaat selain penderma mendapati sukar untuk menyumbang secara fizikal di madrasah disebabakn langkah-langkah pengurusan selamat.
Menurut MUIS, Portal OurMadrasah.SG bertujuan membantu madrasah mengharungi masa yang mencabar sekarang.
Selain kurangnya sumbangan derma, kos operasi yang ditampung madrasah semasa tempoh pandemik ini bertambah disebabkan langkah-langkah pengurusan COVID-19.
Justeru platform itu memudahkan masyarakat untuk membuat sumbangan online.
Orang ramai masyarakat boleh menderma menggunakan kad kredit atau debit, eNETS, PayNow dan GIRO di portal https://ourmadrasah.sg .
Pembangunan OurMadrasah.SG adalah usaha terbaru badan-badan agama setempat mendakap saluran online untuk mengumpul dana.
Pada April, MUIS dengan kerjasama MuslimSG melancarkan portal OurMasjid.SG untuk membantu masjid-masjid mengumpul derma di tengah penularan COVID-19.
Pada Mac pula, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam (Singapura) (PERGAS) mengajak orang ramai bersama-sama menyumbang secara online kepada Dana Pakej Rahmah, bertujuan membantu para asatizah yang mata pencariannya turut terjejas di tengah pandemik virus korona.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.