Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Portal sehenti DementiaHub.SG dilancar sempena Hari Alzheimer Sedunia

Dunia memperingati Hari Alzheimer Sedunia pada setiap 21 September.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Sep 2021 04:04PM Dikemas Kini : 21 Sep 2021 09:16PM

SINGAPURA: Dunia memperingati Hari Alzheimer Sedunia pada setiap 21 September.

Pada tahun ini, Penyakit Alzheimer Antarabangsa (ADI) menetapkan tema Kenali Alzheimer dan Pentingnya Diagnosis Awal.

Ia menekankan pentingnya seseorang yang memasuki usia lanjut untuk melakukan pengesanan awal.

Namun, penyakit Alzheimer bukanlah proses penuaan yang normal. Ia suatu bentuk demensia yang paling biasa berlaku, dan menjejas keupayaan fungsi otak secara progresif yang antara lain mengganggu daya ingatan, penggunaan bahasa, perancangan dan tingkah laku. Keadaan itu biasanya dikaitkan dengan anggapan masyarakat sebagai 'sakit nyanyuk'.

Sempena memperingati Hari Alzheimer Sedunia, satu aplikasi mudah alih dan sebuah portal mengenai Demensia telah dilancarkan di Singapura.

Institut Sains Neuro Nasional dan SingHealth telah mencipta satu aplikasi mudah alih yang dapat membantu mengenal pasti tanda-tanda awal demensia. 

Aplikasi Memory Care, memantau kemungkinan tanda-tanda kemerosotan daya kognitif. Ia juga mengandungi senarai semak untuk menangani tekanan yang dialami penjaga. 

Antara lain, Memory Care mengandungi beberapa soalan untuk penggunanya. Ia termasuk kekerapan mereka lupa nama sendiri atau mendapati sukar untuk melakukan tugas-tugas biasa. Memory Care boleh didapati di dalam aplikasi Health Buddy SingHealth.

Dementia Singapore pula melancarkan portal DementiaHub.SG dengan kerjasama Agensi Bagi Penjagaan Bersepadu atau AIC.

Ia merupakan portal sehenti bagi sumber dan pengetahuan mengenai semua hal berkaitan demensia.

"Sebaik sahaja seseorang itu didiagnos mengalami demensia, mereka bersama penjaga mereka bergelut dengan masalah untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai keadaan mereka supaya dapat lebih bersiap sedia mengharungi penyakit tersebut,"kata CEO Dementia Singapore, Jason Foo.

Justeru, portal itu diharap dapat memperkasa mereka yang mengalami demensia dan penjaga mereka serta pihak-pihak lain agar lebih ramai orang mempunyai pengetahuan yang relevan dan terkini tentang demensia.

Semua maklumat dalam portal itu juga disediakan dalam empat bahasa rasmi.

"Di Singapura, satu dari 10 orang yang berusia 60 tahun ke atas mengalami demensia atau sekitar 86,000 orang. Jumlahnya dijangka meningkat kepada 130,000 atau lebih menjelang 2030," menurut CEO AIC, Tan Kwang Cheak.

"Melalui portal ini, selain menyediakan sokongan kepada mereka yang mengalami demensia dan penjaga mereka, kami harap ia juga akan menggalak anggota masyarakat serta badan-badan korporat tampil ke depan untuk mengetahui lebih lanjut tentang demensia. Juga diharapkan, lebih ramai akan mendapatkan bantuan jika perlu agar mereka dapat menua dengan sihat," kata Encik Tan. 

Sumber : CNA/MU/SU/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan