Portal online sedia sokongan awal bagi pasangan yang pertimbang cerai
Sebuah portal online akan ditubuhkan untuk memudahkan pasangan yang sedang mempertimbangkan untuk bercerai, mendapatkan kaunseling perkahwinan serta maklumat tentang isu-isu seperti perumahan dan kewangan, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee pada Khamis (5 Mac).
(Gambar hiasan: AFP)
SINGAPURA: Sebuah portal online akan ditubuhkan untuk memudahkan pasangan yang sedang mempertimbangkan untuk bercerai, mendapatkan kaunseling perkahwinan serta maklumat tentang isu-isu seperti perumahan dan kewangan, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee pada Khamis (5 Mac).
Fasa pertama portal itu dijangka siap pada lewat 2021, menurut Encik Lee semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan bagi kementeriannya.
"Kami berharap ini akan membantu pasangan membuat keputusan lebih baik, dan memberi peluang kedua buat perkahwinan mereka. Bagi mereka yang memutuskan untuk meneruskan keputusan bercerai, portal ini akan mengumpulkan maklumat dan sumber mengenai perumahan, kewangan, dan isu-isu penting lain yang akan membawa kesan ke atas kehidupan keluarga selepas perceraian tersebut," kata Encik Lee.
Portal tersebut akan membantu pasangan memahami dengan lebih baik kesan praktikal akibat keputusan mereka, tanpa perlu ke pelbagai agensi untuk mendapatkan maklumat, tambah beliau.
KESAN PERCERAIAN KE ATAS ANAK
MSF berkata portal itu juga akan memberikan maklumat yang perlu dipertimbangkan ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka.
"Anak sering terjejas teruk apabila berlaku perceraian. Portal ini akan membantu pasangan terbabit memahami kesan segera serta kesan jangka panjang ke atas anak mereka, belajar bagaimana untuk terus menjadi ibu bapa yang baik selepas perceraian, dan merujukkan mereka kepada khidmat-khidmat yang relevan," tambah Encik Lee.
Buat masa ini, pasangan suami isteri yang mempunyai anak bawah umur dan gagal mencapai persetujuan mengenai perceraian mereka dikehendaki menghadiri Program Keibubapaan Wajib (MPP), di mana kaunselor dari Agensi Spesialis Sokongan Perceraian membantu mereka lebih memahami masalah praktikal berhubung perceraian.
Sekarang ini terdapat enam Agensi Spesialis Sokongan Perceraian di Singapura yang menawarkan program khusus bagi keluarga yang akan dan sudah bercerai. Agensi-agensi tersebut memberi sokongan dan penjagaan kepada keluarga menerusi pendekatan yang mengutamakan kebajikan anak, kata MSF.
KAUNSELING ONLINE DIRINTIS
Bagaimanapun, sesetengah pasangan agak keberatan untuk menggunakan khidmat kaunseling secara bersemuka atau lebih cenderung kepada saluran online, kata Encik Lee.
Untuk menangani hal ini, MSF akan melaksanakan percubaan dua tahun dengan Hab Psikologi Masyarakat, untuk menyediakan kaunseling online menerusi ruang sembang langsung atau e-mel pada hujung tahun ini, kata Encik Lee.
Program rintis ini boleh menyokong 200 pelanggan setahun, kata beliau. Sesi kaunseling online di bawah program rintis dua tahun dengan Hab Psikologi Masyarakat itu disediakan secara percuma.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.