Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Portal digital sehenti laporkan sebarang penggunaan lambang negara secara salah antara cadangan Kumpulan Kerja Warga Lambang Negara

Menyediakan aplikasi digital pemerintah sehenti bagi melaporkan sebarang penggunaan salah lambang-lambang negara serta memulakan program pertukaran Bendera Negara yang lama atau rosak.  

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menyediakan aplikasi digital pemerintah sehenti bagi melaporkan sebarang penggunaan salah lambang-lambang negara serta memulakan program pertukaran Bendera Negara yang lama atau rosak.

Itu antara cadangan oleh sebuah kumpulan kerja rakyat bagi memastikan semua orang memainkan peranan mereka untuk menghormati dan melindungi lambang-lambang negara seperti Bendera Negara dan bunga kebangsaan.

Cadangan-cadangan itu merupakan antara kandungan laporan bertajuk "Lambang Kita, Semangat Kita, Singapura Kita" yang diserahkan kepada Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Selain itu, laporan setebal 40 muka surat itu juga mengandungi dapatan dan saranan oleh kumpulan tersebut untuk mengkaji semula undang-undang dan garis panduan terhadap penggunaan Lambang Kebangsaan Singapura.

Kumpulan Kerja Warga Lambang Negara Satu itu dibentuk pada Januari lalu dan terdiri daripada 47 rakyat Singapura dengan latar belakang yang berbeza, berusia antara 16 tahun hingga 82 tahun.

Mereka juga daripada pelbagai sektor seperti sukan, pendidikan, jagaan kesihatan, kreatif dan akar umbi.

Pembentukan kumpulan kerja itu bertujuan untuk menjawab dua persoalan pokok - "Apakah makna lambang negara kita buat rakyat Singapura?" dan "Bagaimana rakyat Singapura dapat menggunakan lambang-lambang ini dengan lebih baik untuk memperkukuhkan pengertiannya bagi rakyat Singapura di samping melindunginya daripada salah guna?".

HASIL TINJAUAN MENGENAI LAMBANG NEGARA

Bendera Singapura

Menerusi hasil tinjauan, temu ramah dan perbincangan kumpulan fokus, Kumpulan Kerja Warga Lambang Negara mendapati bahawa ia adalah penting untuk rakyat Singapura mempamerkan bendera Singapura dengan cara yang betul.

Mereka juga terbuka untuk mempamerkan bendera Singapura dalam karya-karya seni, produk-produk komersil serta wadah digital.

Lagu Kebangsaan

Kumpulan itu juga akur usaha pendidikan mengenai Lagu Kebangsaan adalah berkesan namun pemahaman lirik lagu kebangsaan dapat diperkukuhkan.

Selain itu, alat bantu visual juga boleh digunakan untuk para individu yang mempunyai masalah pendengaran.

Ikrar Kebangsaan

Ramai yang berpendapat bahawa ikrar kebangsaan mempunyai potensi untuk mencetuskan perbincangan mengenai nilai dan identiti nasional.

Sebilangan besar masyarakat juga berpendapat bahawa nilai-nilai dalam Ikrar Kebangsaan masih relevan buat rakyat Singapura kini dan tidak perlu mengubah kata-katanya.

Jata Negara

Jata Negara atau ‘National Coat of Arms’ didapati sebagai mempunyai kaitan visual yang kuat dengan institusi-institusi Pemerintah dan dokumen rasmi.

Ia lebih dikenali oleh mereka yang dalam kumpulan-kumpulan pakaian seragam.

Kaum lelaki dan warga negara baru juga didapati lebih mengenali bahagian-bahagian Jata Negara.

Lambang Kepala Singa

Lambang Kepala Singa sangat dikaitkan dengan ikon bagi kualiti atau kecemerlangan untuk jenama Singapura.

Kumpulan itu juga terbuka untuk mengubah warnanya atau meletakkan gambar di atasnya.

Bunga Kebangsaan (Vanda Miss Jaoquim)

Bunga kebangsaan Singapura merupakan lambang yang paling sedikit digunakan untuk melambangkan rasa cinta atau semangat patriotisme kepada negara.

Penggunaan yang paling bersesuaian bagi lambang berkenaan adalah untuk memperingati acara-acara kebangsaan seperti rekaan bagi pakaian, hadiah dan cenderamata.

CADANGAN-CADANGAN

Setelah mengumpul pendapat dan suara sekitar 1,500 masyarakat awam, cadangan-cadangan yang digariskan merangkumi empat tema utama termasuk untuk mencetuskan dialog-dialog yang rancak.

Menurut cadangan tersebut, dialog-dialog itu perlu melibatkan para pelajar, warga negara baru, golongan berkeperluan khas dan masyarakat hijrahan.

Mereka wajar diajak bersama untuk menyuarakan lebih banyak pendapat tentang bagaimana lambang-lambang negara masih relevan dengan kehidupan seharian mereka.

Cadangan yang turut diutarakan adalah untuk membayangkan semula pengalaman yang dikongsi sama.

Mereka juga menyarankan agar perhimpunan menaikkan bendera boleh dijalankan dalam sekurang-kurangnya satu bahasa rasmi yang lain.

Mengikut konteks golongan berkeperluan khas pula, nyanyian lagu dan melafazkan ikrar kebangsaan patut difikirkan semula agar dapat disesuaikan untuk mereka.

Cadangan yang ketiga ditampilkan adalah untuk mentakrifkan semula penggunaan lambang-lambang negara secara kreatif dan bertanggungjawab.

Ikon-ikon dan mercu tanda utama di Singapura, menurut kumpulan kerja itu, seperti logo 'SG', Esplanade, dan menara kawalan Lapangan Terbang Changi juga wajar diiktiraf.

Selain itu, Kumpulan Kerja Warga Lambang Negara juga memberi cadangan untuk memperkukuhkan keunggulan lambang-lambang negara dalam kehidupan seharian masyarakat.

RANG UNDANG-UNDANG BAGI LAMBANG KEBANGSAAN DIJANGKA DIBENTANGKAN TAHUN DEPAN

Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) akan memberikan responsnya terhadap laporan ini menjelang September nanti.

Ia juga akan mengambil kira pandangan beberapa pihak berkepentingan lain seperti rakyat Singapura di luar negara dan merujuk kepada agensi-agensi Pemerintah mengenai cadangan untuk menyemak undang-undang dan garis panduan lain.

Dengan laporan ini, satu pindaan rang undang-undang juga dijangkakan dibentangkan di Parlimen tahun depan.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan