Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Portal baru BudgetMealGoWhere bantu penduduk cari pilihan menu jimat berdekatan di SG

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 May 2023 06:42PM Dikemas Kini : 19 May 2023 09:39PM
SINGAPURA: Penduduk kini boleh mengakses sebuah portal baru untuk mencari kedai kopi HDB yang menawarkan menu jimat di kawasan berdekatan mereka.

Laman BudgetMealGoWhere itu dilancarkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dengan kerjasama Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech). Ia bertujuan membolehkan orang ramai untuk mencari dan meninjau pilihan hidangan serta minuman jimat yang tersedia di kedai kopi HDB berdekatan.

Orang awam boleh melungsuri portal tersebut, isi poskod mereka di dalam kotak carian dan kemudian tekan butang "GO".

Laman tersebut akan menyenaraikan kedai-kedai kopi serta pilihan menu jimat yang tersedia, bermula dengan kedai-kedai yang terletak dalam lingkungan 2 kilometer dari poskod yang tertera, nyata HDB dan GovTech dalam satu kenyataan media pada Jumaat (19 Mei).

Sekitar 40 kedai kopi disenaraikan dalam laman tersebut setakat ini , dengan lebih banyak kedai akan disertakan secara bertahap-tahap.

Menu jimat mestilah pilihan hidangan yang lengkap seperti makan tengah hari atau makan malam yang dijual pada harga berpatutan, berbanding dengan harga purata hidangan yang dijual di tempat makan berhampiran.

Hidangan sampingan, kudapan, hidangan kanak-kanak atau hidangan disaji separuh bahagian tidak dianggap sebagai menu jimat.

Gerai-gerai yang mengambil bahagian akan memaparkan pelekat menu jimat di papan tanda paparan makanan untuk membantu pelanggan mengenal pasti pilihan hidangan jimat yang ditawarkan.

Hidangan jimat di kedai-kedai kopi yang menawarkannya kini biasanya berharga sekitar S$3 hingga S$3.50, manakala minuman biasa pula berharga sekitar S$1 sehingga S$1.15 di merata estet di Singapura.

LEBIH BANYAK PILIHAN MENU JIMAT

Sejak 2018, kedai kopi baru di Singapura yang disewa daripada HDB di bawah tender Kaedah Kualiti Harga (PQM)disyaratkan untuk menyediakan pilihan menu jimat.

Di bawah sistem PQM tersebut, tender akan dinilai berdasarkan pelbagai kriteria selain sewa, seperti tahap kemampuan terhadap pilihan makanan dan minuman.

Penender mesti menyediakan hidangan jimat di enam gerai dan minuman jimat sebagai sebahagian daripada tawaran tender mereka.

Pada Mac, Menteri Negara Kanan bagi Pembangunan Negara Sim Ann mengumumkan bahawa mulai Mei 2023, semua kedai kopi sewa HDB yang akan diperbaharui perlu menyediakan empat hidangan jimat dan dua minuman jimat sebagai syarat bagi memperbaharui penyewaan mereka, tekan HDB dan GovTech.

Pemerintah akan terus bekerja rapat dengan perusahaan dan pengendali F&B untuk memperhalusi serta memperluaskan pelaksanaan menu jimat sementara mengimbangi kepentingan komersilnya, tambah HDB dan GovTech.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan