Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Populasi nyamuk lebih besar sebab utama kes denggi melonjak

Beberapa kemajuan sudahpun dibuat dalam usaha memerangi penularan demam denggi dengan kelompok denggi terbesar di Woodlands kini sudah dibasmi.

Anggaran Waktu Membaca:
Populasi nyamuk lebih besar sebab utama kes denggi melonjak

Poster tentang cara menangani pembiakan nyamuk di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 19 Jul 2019 08:09PM Dikemas Kini : 19 Jul 2019 08:11PM

SINGAPURA: Beberapa kemajuan sudahpun dibuat dalam usaha memerangi penularan demam denggi dengan kelompok denggi terbesar di Woodlands kini sudah dibasmi.

Jumlah jangkitan penyakit itu di kelompok Chai Chee pula berkurangan.

Namun, keadaan di kelompok-kelompok lain masih membimbangkan.

Sebelum ini, kelompok denggi terbesar di Woodlands mempunyai 216 kes yang dilaporkan.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan jumlah penularan denggi di kelompok Woodlands itu sudahpun berkurangan sepanjang tujuh minggu lepas dan tiada kes baru dilaporkan dalam tempoh dua minggu lalu.

Meskipun kelompok itu kini sudah bebas denggi, keadaan di kawasan tersebut masih terus dipantau.

Orang ramai juga dinasihati supaya terus berwaspada kerana masih ada kelompok-kelompok denggi yang memprihatinkan seperti di Geylang Road, Jalan Lembah Thomson, Aljunied Road, Pasir Ris Drive 3, Changi Road dan Jurong East Ave 1.

Sehingga semalam (18 Jul), ada 188 kelompok aktif denggi di merata Singapura.

Jumlah kes penyakit itu sejak awal tahun ini pula adalah sekitar 7,800 iaitu kira-kira lima kali ganda lebih banyak berbanding tempoh yang sama tahun lalu.


Berdasarkan pemantauan NEA, lonjakan dalam jumlah kes dapat dikaitkan dengan tiga faktor - peningkatan populasi nyamuk, cuaca lebih panas dan kekebalan manusia yang rendah.

Populasi nyamuk Aedes aegypti "terus menerus tinggi", menurut agensi itu, sambil menambah bahawa populasinya meningkat hampir tiga kali sejak wabak denggi terakhir pada 2013.

Di samping itu, suhu purata bagi separuh pertama tahun ini adalah 0.7 darjah Selsius lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Tahun ini, lima mangsa meninggal dunia akibat denggi.  

Sumber : CNA/MM/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan