Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Populariti artis jamin kejayaan dalam dunia perniagaan? Ini jawapan mereka...

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Adakah nama dan tarikan peminat sudah cukup untuk menjanjikan perniagaan yang berjaya buat selebriti?

Bagaimana golongan artis memastikan jenama mereka harum dalam dunia perniagaan? DETIK Khas mendalami alam bisnes selebriti...Bintang Berniaga

Selepas memenangi pertandingan nyanyian Singapore Idol pada tahun 2004, beliau mencipta nama sebagai penghibur tanah air yang berbakat.

Bukan saja dalam bidang nyanyian malah lakonan. Pendapatan hasil terbitan album, persembahan serta lakonan drama dan filem, membuka peluang kepada Taufik Batisah menceburi bidang perniagaan.

Taufik membuka restoran Chix Hot Chiken pada 2018 dengan beberapa rakan kongsi.

"Sebagai seorang pelakon, ia tidak beterusan selamanya. Penting untuk ada pelan kedua. Saya kaji apakah jenis makanan untuk dibawa ke Singapura. Saya minat ayam goreng. Bober (rakan kongsi) pergi ke Nasville untuk cuba ‘hot chicken’ yang tulen. Ia tiada di Singapura. Sudah empat tahun perniagaan kami . Ia berjalan dengan baik," kongsi Taufik.

PERNIAGAAN TAHAP SETERUSNYA YANG SEMULA JADI



Perniagaan seolah-olah tahap seterusnya yang semula jadi bagi golongan selebriti atau artis. Ini kerana menurut perunding pemasaran perniagaan Shad Salleh, populariti serta kemampuan menjadi bahan perbualan atau ‘trending’ membolehkan golongan selebriti menyalurkan peminat ke arah perniagaan. Dari peminat mereka menjadi pelanggan!

"Bagi ramai selebriti, tahap kesedaran yang dicapai memang cepat. Bila mereka adakan perniagaan, ia akan diwarwarkan oleh agensi media. Pengisian yang relevan dengan pasaran mereka," kata Konsultan Perniagaan dan Pemasaran
Adguru.Com, Shad Salleh.

Itulah yang disaksikan sendiri oleh Fatin Amira, pelakon dan pengacara yang sering kelihatan di televisyen.

Butik pakaian Fatin, Manequin.E di Kampung Gelam dibanjiri pelanggan sehari selepas drama atau program yang beliau bintangi disiarkan di televisyen.



"Sebagai seorang celebriti, ia telah membantu melonjakkan lagi pendedahan untuk butik saya. Saya baru sahaja mengakhiri satu penerbitan. Cerita itu baru keluar di televisyen. Tiba-tiba esoknya, mereka cakap - Saya nampak awak semalam di TV. Oleh sebab itu “Saya baru tahu sebab awak ini ada kedai. Dia lihat di Instagram. Mereka pun menyokong," Fatin memberitahu DETIK.

Dalam bidang pemasaran, selebriti mengambil masa yang lebih pendek untuk membina jenama perniagaan mereka. Masa yang yang diambil separuh lebih pendek berbanding peniaga-peniaga biasa. Mereka juga boleh mencatat penjualan lima hingga 10 peratus lebih tinggi.

"Kalau perniagaan biasa, mereka perlu berikan selama empat tahun untuk membuat jenama mereka dikenali kepada umum. Orang ramai tidak akan mengenali produk itu serta merta. Ia mengambil masa. Kalau artis mereka pintas ini semua. Populariti mereka didukung media seberapa lama mereka berada di dalam industri," ujar Encik Shad.

Kehadiran Taufik di restorannya Chix Hot Chicken juga mewujudkan sekitaran kerja yang positif untuk para staf menurut pengarah operasinya Bober Ismail.

"Beliau wajah jenama kami. Saya mengetuai bahagian khidmat dan makanan. Peminat Taufik selalu datang dan sokong. Kakitangan kami teruja melihat Taufik di sini. Taufik sering bawa rakan artis ke sini. Staf kami selalu teruja melihat siapa yang datang bersama Taufik," ujar Encik Bober.

POPULARITI TIMBULKAN JANGKAAN TINGGI

Populariti membawa kesan yang baik dan juga kurang menyenangkan. Kerana buat Fatin Amira, ia meletakkan jangkaan yang lebih tinggi terhadap perniagaannya.

"Ada pelanggan yang datang dan terus maki dan marah. Sya ingat saya berdiri di kaunter bersama pekerja saya, dia cakap - Eh, saya seorang pelanggan. Mana Fatin Amira boleh layan saya macam gini. Ini saya punya duit. Ah macam gitu. ‘Saya datang daripada jauh, saya nak beli, kenapa tak ada pula?’ Macam gitu," kata Fatin.



Mengikut data pemasaran, nama atau jenama si selebriti menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan mereka pada dua tahun pertama sahaja. Kemudian kemakmuran bisnes itu akan bergantung kepada kebijaksanaan dan kesungguhan selebriti itu untuk menambah nilai kepada perniagaan tersebut.

"Barulah perniagaan sebenar bermula. Khidmat pelanggan. Makanan. Ketekalan. Khidmat pelanggan sekali lagi. Kebersihan kedai. Ini semua menentukan sama ada pelanggan itu kembali atau tidak," kata Taufik kepada DETIK.

CABARAN NURADEE CEBURI JUAL BELI HARTANAH

Bagi pasangan adik beradik Nuradee pula mereka memilih untuk menceburi bidang jual beli hartanah pada awal tahun-tahun 2000.



Di tengah-tengah kemuncak pelaburan mereka, Nuradee pernah memiliki lima hartanah privet dan komersil - sebilangan besar terletak di kawasan bandar Singapura. Pada waktu itu Nuradee memegang hartanah yang dibeli buat sementara sahaja sebelum menjualkannya kepada orang lain.

"Kalau beli pun anda perlu ubah elok. Anda perlu jaga.. Kos yang banyak. Dulu undang-undang tidak begitu ketat seperti sekarang. Dulu bila ada yang ‘flip’ seperti kawan-kawan saya. Mereka membeli hartanah, mereka beli tetapi sebelum mereka ikat kontrak, mereka jual," menurut pasangan adik beradik itu.

‘Flip’ bermaksud membayar wang dahuluan untuk hartanah dan menjualnya sebelum menandatangani sebarang kontrak.

Namun tidak semua pelaburan Nuradee menjanjikan keuntungan - seperti pelaburan pusat peranginan Marina View Resort yang sepatutntya dibina pada tahun 2014 di Batam, Indonesia.

Wang simpanan Nuradee sebanyak $2 juta lesap begitu saja lebur. Projek itu turut melibatkan para pelabur dari Singapura yang menyumbang antara $8,000 hingga $20,000 seorang.

"Saya rasa ada 12 orang. Mereka bayar duit pendahuluan. Duit itu kami salurkan ke Indonesia. Di sana rakan kami telahpun menghilangkan diri. Saya pun tak tahu apa cerita terjadinya. Bila dapat tahu pejabat di sana semua sudah tidak ada," kata Adee atau nama sebenarnya Mohd Rasid Abdullah.



Kegagalan Marina View Resort disebabkan sikap terlalu percaya Nuradee dan tiada dokumen perjanjian yang kukuh dengan orang ketiga yang menguruskan projek tersebut.

Pengalaman Nuradee menunjukkan bagaimana sebuah usaha niaga itu perlu didukung bersama peniaga yang saling mempercayai. Sebarang tipu helah mampu menjejas jenama selebriti tersebut.

"Apabila berita dimaklumkan, semua orang akan tahu. Mereka akan tunding jari. Asalkan ada seseorang yang boleh dipersalahkan. Dari segi kredibiliti jenama itu, tentu sekali terjejas," kata Encik Shad.

STATUS TIDAK JAMIN KOMITMEN SAMA DARI RAKAN NIAGA

Status selebriti tidak menjanjikan rakan niaga yang mengongsi komitmen dan visi yang sama. Seperti yang dirasakan sendiri oleh Cef Syed Shahin, juara program memasak King Juara Memasak yang disiarkan di televisyen sedikit masa dahulu. Tiga usaha niaga yang dibuka bersama rakan-rakannya bertahan kurang dua tahun.



"Saya rasa pada waktu itu saya mahukan seorang rakan niaga. Saya tidak mempunyai banyak wang. Dia pula tidak mempunyai banyak pengalaman. Saya ingat kalau kami bergabung, ia boleh menjadi sebuah restoran yang baik," Cef Syed memberitahu DETIK.

Demi memastikan jenama si selebriti itu mekar dalam dunia perniagaan mereka harus ada perasaan tidak malu untuk menimba ilmu dan membuat banyak penyesuaian seperti yang dilakukan pengacara dan pelawak popular Khairudin Samsudin. Pada usia melebihi separuh abad, Khairudin mendalami pembelajaran digital supaya program-program yang diterbitkan beliau dapat ditontoni lebih ramai orang.



"Saya mungkin faham tentang dunia penerbitan tetapi saya rasa lebih banyak yang perlu kita tahu. Bagaimana kita hendak pengisian itu sampai kepada pelanggan sebab dengan cara organik sahaja dia tidak cukup.

"Kalau di TV, tidak ada hubungan langsung dengan penonton, Dalam media sosial, kita perlukan itu perhubungan. Daripada pertalian itu akan ada kepercayaan," kata Khairudin.

Kejayaan sebuah perniagaan semakin bergantung kepada jumlah ‘views’ and ‘likes’ di wadah-wadah media sosial sekarang.



Lebih banyak ‘likes’, lebih kebal ‘social media proofing’ selebriti itu. Seperti Fatin yang mempunyai lebih 31,000 pengikut di Instagram. Kelebihan ini digunakan beliau untuk menjadi duta bagi produk gigi Zenyum dan kedai reka hias Castlery. Ia dilihat sebagai satu lagi jalur perniagaan yang dapat menyumbang kepada kemampanan jenama Fatin Amira.

"Sebagai seorang personaliti ini satu perniagaan. Satu hari anda diminati, satu hari lagi tidak. Tetapi inilah cara-cara tajaan dan sebagainya untuk awak sentiasa ada di mana-mana. Ini akan sumbang kepada kepercayaan pelanggan kepada anda," ujar Fatin.

PERLU SENTIASA BUAT PENYESUAIAN

Perubahan dan penyesuaian adalah sesuatu yang sering berlaku untuk kekal dalam dunia perniagaan. Taufik melebarkan sayap ke bidang hartanah sebagai satu usaha untuk melengkapkan dirinya dengan kemahiran yang baru.



"Melangkah ke bidang hartanah pastinya salah satu usaha saya untuk mengubah diri saya. Saya yakin dan percaya semasa muda adalah masa untuk kita bekerja keras. Masa untuk kita melakukan persiapan untuk bersara. Masanya untuk kita melebarkan sayap. Tidak menumpukan perhatian kepada satu perkara sahaja," tambah Taufik.

Selain memastikan perniagaan kekal relevan dengan keadaan dan teknologi semasa, penting juga untuk para selebriti mempunyai rakan kongsi serta iltizam untuk menimba ilmu dalam pengurusan bisnes mereka.

Kegagalan pelaburan Marina View Resort berpunca kepada kurangnya kajian terhadap lanskap hartanah serta memberi kepercayaan penuh kepada pihak yang terlibat di Batam.

"Kurang pengetahuan tentang resort itu. Kami yakin ia akan berhasil tetapi orang pecah amanah dan kesilapan yang paling besar - terlalu mempercayai orang, untuk menjaga kewangan dan juga pelaburan kami, kata Nur atau nama sebenarnya Mohd Noor Abdullah.

"Kalau anda seorang yang popular mudah untuk dikenali. Mudah untuk dapat perhatian. Tetapi mungkin yang menjamin kekal atau tidak, ia tidak kekal," tambah Adee.

Ternyata nama sahaja tidak mencukupi untuk menyelamatkan perniagaan buat para selebriti. Nama mampu menarik pelanggan pada awal perniagaan itu bermula. Kemudian ia bergantung kepada kebijaksanaan selebriti untuk terus mengubah suai dan mengembangkan perniagaan. Selebriti boleh gunakan nama tetapi tidak boleh bergantung kepada nama!

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan