Skip to main content

Singapura

Pope Francis tiba di SG bagi persinggahan terakhir lawatan Asia-Pasifik

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 11 Sep 2024 05:41PM Dikemas Kini : 11 Sep 2024 09:23PM
SINGAPURA: Pope Francis tiba di Singapura pada petang Rabu (11 Sep), bagi perhentian yang keempat dan terakhir dalam lawatannya di rantau ini.

Pesawat yang membawa perwakilan Vatican mendarat di Lapangan Terbang Changi sekitar jam 2.50 petang, daripada ibu kota Timor-Leste di Dili.

Pope Francis disambut oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong serta Janet Ang, duta bukan pemastautin Singapura ke Vatican.
Related article image
Pope Francis dan bekas ahli Majlis Ekonomi Vatican George Yeo di Lapangan Terbang Changi pada 11 September 2024. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Beliau kemudian menuju ke Jurassic Mile di Airport Boulevard, di mana di bertemu ribuan sukarelawan yang memainkan peranan dalam mengendalikan lawatannya.

Pope Francis akan mengadakan mesyuarat tertutup bersama anggota Persatuan Jesus di Pusat Retreat St Francis Xavier di Punggol pada sebelah malam.

PENANTIAN SELAMA 38 TAHUN

Roman Catholic Archdiocese of Singapore pertama kali mengesahkan lawatan Pope Francis ke Singapura pada April tahun ini.

Sebanyak 5,000 sukarelawan terlibat dalam acara ini, dengan perancangan bermula seawal Februari tahun ini.

Antara sukarelawan yang hadir bagi menyambut beliau pada Rabu ialah Cik Joyce Chia, salah seorang daripada anggota pasukan yang menentukan pergerakan bagi lawatan tersebut.

Cik Chia, yang bekerja dalam industri kesihatan, berkongsi bahawa persiapan bagi lawatan itu "sangat sengit dan sangat menyeluruh", dan melibatkan beberapa mesyuarat dan panggilan.

"Mereka (pihak penganjur) turut mengira jumlah langkah yang diambil oleh seorang manusia biasa, berapa saat dan berapa lama diperlukan untuk memindahkan orang, serta... jarak bagi setiap langkah.

"Saya rasa mendapatkan butiran yang benar-benar terperinci memang amat bagus," katanya.

Cik Chia menambah bahawa berada di lokasi tersebut untuk menyambut Pope Francis adalah pengalaman hanya sekali dalam seumur hidup.

"Tidak ramai orang, saya dapat melihat Pope dengan agak dekat, yang paling dekat, saya rasa," katanya.

Related article image
Pope Francis tiba di Lapangan Changi Singapura pada 11 September 2024. (Gambar: Wallace Woon/CNA)
Related article image
Pope Francis disambut atas ketibaannya di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 11 September 2024. (Gambar: Tiziana Fabi/AFP)
Kali terakhir Singapura menjadi tuan rumah kepada seorang pope adalah pada 1986, apabila Pope pada waktu itu, John Paul II, membuat perhentian selama lima jam dalam jelajah serantau yang termasuk Bangladesh, New Zealand dan Australia.

Pope Francis, yang berusia 87 tahun, melawat empat negara sepanjang 12 hari, lawatan yang paling lama sejak beliau menjadi ketua Gereja Katolik pada 2013.

Di Singapura, Pope Francis akan mengadakan mesyuarat rasmi serta bertemu dengan masyarakat awam.

Beliau akan menghadiri acara sambutan di Bangunan Parlimen pada pagi Khamis (12 Sep), dan menerima orkid kacukan yang akan dinamakan sebagai tanda penghormatan kepada dirinya.

Pope Francis kemudian akan bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri Lawrence Wong.

Beliau juga akan menyampaikan ucapan kepada anggota pemerintah dan masyarakat sivil di Pusat Kebudayaan Universiti (UCC) Universiti Nasional Singapura (NUS).

Pada Khamis malam, Pope Francis akan menghadiri satu upacara keagamaan yang akan dihadiri 50,000 orang di Stadium Negara.

Pope Francis kemudian akan mengakhiri lawatannya di Singapura dengan sebuah lawatan ke Rumah Jagaan Saint Theresa di Upper Thomson Road pada pagi Jumaat (12 Sep), dan mengadakan sebuah pertemuan silang agama dengan belia di Maktab Rendah Katolik.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita