Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Politeknik S'pura perluas ujian COVID-19 setelah penuntut ke-4 diuji positif

Politeknik Singapura (SP) menyatakan pada khamis (20 Mei) ia akan memperluaskan ujian COVID-19 kepada lagi 2,000 orang selepas penuntut keempat diuji positif koronavirus itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Politeknik S'pura perluas ujian COVID-19 setelah penuntut ke-4 diuji positif

Gambar fail Politeknik Singapura.

Diterbitkan : 21 May 2021 07:43AM Dikemas Kini : 21 May 2021 07:44AM

SINGAPURA: Politeknik Singapura (SP) menyatakan pada khamis (20 Mei) ia akan memperluaskan ujian COVID-19 kepada lagi 2,000 orang selepas penuntut keempat diuji positif koronavirus itu.

Ini membawa jumlah individu yang diuji kepada seramai 8,500.

Penuntut tahun kedua dari Sekolah Kimia & Sains Hayat (CLS) demam pada 19 Mei dan mendapatkan rawatan doktor pada hari yang sama di mana beliau diuji bagi COVID-19. Beliau kali terakhir berada di kampus pada pagi Sabtu.

“Kementerian Kesihatan (MOH) menilai bahawa beliau tidak berjangkit apabila kali terakhir berada di kampus," menurut kenyataan SP sambil menambah ia sudahpun berhubungan dengan penuntut itu untuk menghulurkan sokongan yang sewajarnya.

SP sudahpun memulakan ujian swab ke atas 6,500 penuntut, anggota kakitangan dan vendor setelah tiga pelajar diuji positif COVID-19. Kesemua kelas beralih ke wadah online sejak Selasa.

“Sebagai langkah berjaga-jaga tambahan yang timbul daripada kes terkini itu, MOH akan memperluaskan fasa pertama ujian swab untuk meliputi penuntut serta anggota kakitangan dari CLS juga," menurut SP.

“Peluasan itu dijangka termasuk lagi 2,000 individu untuk mengurangkan risiko penularan lanjut dalam kampus kami serta masyarakat kita."

MOH akan menilai jika ada keperluan untuk meneruskan dengan ujian swab bagi baki masyarakat SP, menurut sekolah itu.

Ia menambah para individu akan dimaklumkan oleh MOH menerusi SMS mengenai butiran ujian swab mereka.

“SP sangat-sangat menggalakkan mereka yang dikenal pasti untuk ujian swab supaya menjalaninya bagi keselamatan diri dan keselamatan kampus kami serta masyarakat yang lebih besar," gesanya.

Ia juga menggesa semua penuntut dan anggota kakitangan supaya duduk di rumah seberapa boleh, elak mengadakan interaksi sosial bertemu muka dan keluar rumah hanya untuk urusan penting.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan