Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Politeknik Republic hasilkan cecair perangsang tumbuhan guna sisa soya pertama di dunia

Setiap tahun, sebanyak 10,000 tan sisa daripada penghasilan produk soya atau 'okara' dijana di Singapura. Selain digunakan untuk menghasilkan makanan haiwan ternakan, selebihnya - 80 peratus sisa tersebut dibuang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setiap tahun, sebanyak 10,000 tan sisa daripada penghasilan produk soya atau 'okara' dijana di Singapura.

Selain digunakan untuk menghasilkan makanan haiwan ternakan, selebihnya - 80 peratus sisa tersebut dibuang.

Prihatin akan pembaziran sebegitu, sekumpulan pelajar dan pensyarah Politeknik Republic (RP) menggunakan 'okara' untuk menghasilkan Cecair 'Biostimulant Okara' (OBC) iaitu perangsang bagi tumbuhan yang pertama seumpamanya di dunia.

Menurut kajian yang dijalankan, OBC dapat meningkatkan penghasilan sayur-sayuran sehingga 20 peratus.

"Kebanyakan perangsang pertumbuhan di pasaran adalah berbentuk kimia, berasaskan bahan kimia. Jadi apa yang kami bangunkan daripada 'okara' ini adalah sesuatu yang semula jadi yang tidak ada mengandungi sebarang bahan kimia yang berbahaya," kata Pensyarah Sekolah Sains Gunaan, RP, Dr Heng Kiang Soon.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Selain lebih mesra alam, Dr Heng menambah kos penghasilannya juga rendah dan boleh digunakan oleh semua.

"Sama ada peladang bandar ataupun mereka yang mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan contohnya pakcik makcik dekat rumah, dapat memanfaatkan teknologi ini dan mereka dapat merasai bahawa usaha ini sebenarnya penting untuk menjamin sekuriti makanan di Singapura," tambahnya.

Sepanjang kajian yang mengambil lebih setahun, OBC juga diuji pada buah-buahan seperti strawberi.

Hasil daripada ujian tersebut, Dr Heng juga mendapati ia dapat mengurangkan jangkitan tanaman sehingga 60 peratus.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Projek itu yang dijalankan sepenuhnya di dalam bangunan 'rumah hijau' atau The Greenhouse di dalam institusi tersebut juga antara usaha RP menyokong matlamat Singapura untuk menghasilkan sendiri 30 peratus keperluan pemakanan negara menjelang 2030.

"Kami banyak menceburi dalam bidang penyelidikan tentang pertanian bandar ataupun perladangan bandar dan dari segi ini kami juga telah memasukkan unsur pertanian bandar ini ke dalam kurikulum. Jadi pelajar kami telah dapat mempelajari kemahiran asas tentang pertanian bandar dan juga teknik-teknik khusus contohnya bagaimana nak menyediakan larutan nutrien untuk hidroponik," jelas Dr Heng.

AMBIL LEBIH SETAHUN UNTUK DIHASILKAN; USAHASAMA PENSYARAH DAN PELAJAR

Projek yang dimulakan Mac 2022 itu juga merupakan sebahagian daripada projek akhir tahun para pelajar program Diploma dalam Bioteknologi.

Ia juga dapat memberi pendedahan kepada para pelajar seperti Silmi Fayyad Mohd Farid dalam bidang-bidang lain seperti pemasaran produk dan pertanian bandar.

"Tidak banyak kajian atau artikel penyelidikan yang diusahakan berkaitan dengan topik ini. Jadi kita sekumpulan harus memerah otak untuk memperoleh idea untuk membentuk atau menguji 'biostimulant okara' ini. Jadi kita menggunakan cabaran sebagai suatu pendorong atau motivasi untuk kajian selanjutnya," kata Silmi.

(Gambar: Syawal Yusoff)

BERJAYA TEMBUSI PASARAN LUAR NEGARA

Setakat ini, hasil ciptaan mereka itu sudah berjaya menarik minat syarikat teknologi makanan tempatan SoiLabs untuk kajian lanjut.

"Pada 1 November yang lepas, SoiLabs dan RP telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) yang merangkumi kerjasama dari segi penyelidikan dan juga pemindahan teknologi dari RP ke syarikat itu untuk dihasilkan secara besar-besaran. Kolaborasi ini sangat positif disebabkan syarikat itu menceburi secara terus dalam pengeluaran makanan dan juga produk-produk berkenaan dengan perladangan bandar. Maka ini akan dapat menyediakan pelajar kita untuk menceburi bidang-bidang berkenaan selepas mereka tamat pengajian," tambah Dr Heng.

Produk itu dijangka mula dipasarkan di Singapura, Malaysia dan Jepun tahun hadapan.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan