Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Politeknik Ngee Ann dijangka pecat pensyarah; hambur komen perkauman terhadap pasangan berlainan kaum; Islamofobia dalam kelas

Politeknik Ngee Ann (NP) akan memberhentikan seorang pensyarah yang bersemuka dengan pasangan berlainan kaum dan menghamburkan kata-kata berbaur perkauman kepada mereka pada awal bulan ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Politeknik Ngee Ann dijangka pecat pensyarah; hambur komen perkauman terhadap pasangan berlainan kaum; Islamofobia dalam kelas

Encik Tan Boon Lee, pensyarah dari Politeknik Ngee Ann (kanan) dirakamkan bergaduh dengan Encik Dave Prakash dalam satu video tular. (Gambar-gambar: Dave Park Ash/Facebook, Ili Nadhirah Mansor/TODAY

Diterbitkan : 17 Jun 2021 02:34PM Dikemas Kini : 17 Jun 2021 02:50PM

SINGAPURA: Politeknik Ngee Ann (NP) akan memberhentikan seorang pensyarah yang bersemuka dengan pasangan berlainan kaum dan menghamburkan kata-kata berbaur perkauman kepada mereka pada awal bulan ini.

Dalam kenyataannya pada Khamis (17 Jun), NP menyatakan ia sudah selesai menjalankan siasatannya ke atas insiden antara pensyarah bernama Tan Boon Lee dengan pasangan berkenaan serta dakwaan-dakwaan yang menuduhnya mengeluarkan komen-komen berunsur Islamofobia dalam bilik darjah.

Politeknik itu sudah secara rasmi menegur Encik Tan, seorang pensyarah kanan di Sekolah Kejuruteraan NP, dengan pelanggaran serius terhadap kod tatalaku kakitangan dan akan "memberhentikan perkhidmatannya". Kod tatalaku tersebut menetapkan garis panduan mengenai tingkah laku peribadi dan profesional.

Dalam satu video tular, Encik Tan dirakam bertegang urat dengan Encik Dave Prakash - seorang warga Singapura yang berketurunan India-Filipina - tentang Encik Prakash menjalin hubungan cinta dengan seorang wanita yang berketurunan Cina-Thailand.

Dia juga menuduh Encik Prakash mengamalkan sikap perkauman dengan tidak "mengahwini" gadis berketurunan India.

NP menyatakan anggota kakitangannya sepatutnya menghormati perbezaan budaya, etnik dan agama dalam masyarakat.

“Mereka mesti menegakkan prinsip ini dan bersikap berkecuali setiap masa. Ini seiring dengan kod tatalaku kakitangan kami yang merangkumi garis panduan ketat mengenai tingkah laku peribadi dan profesional.

"Tindakan disiplin yang dikenakan terhadap kakitangan berkenaan mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan persekitaran yang aman, inklusif dan saling hormat-menghormati bagi masyarakat kampus kami."

BUAT KENYATAAN ISLAMOFOBIK SEMASA KULIAH

Berhubung dakwaan bahawa Encik Tan membuat kenyataan berunsur Islamofobik semasa kuliah, NP menyatakan ia sudahpun menghubungi alumni yang membangkitkan keprihatinan untuk meluahkan rasa kesalnya atas pengalaman yang dilalui pada 2017.

Aduan terhadap Encik Tan muncul apabila seorang bekas penuntut NP, Cik Nurul Fatimah Iskandar, 22 tahun, berkongsi di rangkaian sosial Instagram minggu lalu untuk mendakwa bahawa beliau menjadi sasaran komen-komen berunsur Islamofobik yang dibuat oleh Encik Tan semasa kuliah.

Cik Nurul berbuat demikian selepas satu video menunjukkan Encik Tan bersemuka dengan pasangan berlainan kaum itu menjadi tular di media sosial.

NP menyatakan ia segera menawarkan sokongan kaunseling kepada Cik Nurul sebaik sahaja mendapat tahu tentang dakwaan tersebut dan berjumpa dengan bekas pelajarnya itu untuk mendapatkan lebih banyak butiran mengenai pengalamannya dengan pensyarah berkenaan.

Siasatan polis sedang dijalankan.

'Kami bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa," menurut NP.

Sebagai sebahagian daripada siasatan politeknik itu, pihaknya juga ingin memahami mengapa maklum balas Cik Nurul tidak diambil tindakan ketika beliau menyerahkannya kepada pihak sekolah pada 2017.

Ia menyatakan Cik Nurul memberitahu politeknik itu bahawa beliau tidak boleh ingat sama ada beliau menyerahkan maklum balas melalui emel atau ia dibangkitan semasa satu perbincangan kumpulan fokus selepas kursus tersebut berakhir.

Perbincangan kumpulan fokus seumpama itu biasanya dianjurkan di akhir setiap penggal untuk mengumpul maklum balas penuntut tentang kursus dan pensyarah.

“Kami sudahpun menjalankan pencarian ke atas pelbagai saluran maklum balas kami dan bekerjasama dengan alumni kami bagi membantu beliau memeriksa arkib emel NPnya tetapi tidak berjaya menemui sebarang rekod maklum balas itu," menurut politeknik tersebut.

“Sungguhpun demikian, kami komited untuk mengekang insiden serupa daripada berulang lagi dan akan memastikan penuntut kami dimaklumkan tentang saluran yang betul untuk mereka memberikan maklum balas dalam persekitaran selamat."

NP merancang untuk memberi nasihat kepada anggota kakitangannya tentang bagaimana untuk menguruskan dan melaporkan maklum balas yang mereka terima di luar saluran rasmi.

Sekolah itu juga mempunyai pelbagai saluran untuk para penuntut memberikan maklum balas tanpa mendedahkan identiti mereka termasuk satu alamat emel pemberitahuan maklumat.

Penuntut juga boleh mengemukakan keprihatinan mereka ke alamat emel "AskNP" umum, menyuarakannya semasa sesi dialog mengenai pengalaman kursus serta membangkitkannya ketika tinjauan pelajar yang pelbagai dijalankan secara berkala.

“Selain itu, penuntut juga boleh berkongsi maklum balas mereka dengan penasihat kakitangan mereka pada bila-bila masa. Kami ingin meyakinkan para penuntut bahawa semua maklum balas akan dipandang serius dan ditangani dengan berhemah," tambah NP.

Pada masa akan datang, NP menyatakan ia akan membuat semua saluran maklum balas lebih mudah diakses dan dilihat di lelamannya selain memaparkannya di skrin-skrin digital kampusnya.

"Kami akan menyemak proses pemantauan maklum balas dalaman kami untuk mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang jurang dalam amalan mengajar serta belajar serta memastikan perkara yang menjadi keprihatinan dapat ditangani tepat pada masanya," tambahnya lagi.

“Kami juga mengingatkan semua kakitangan kami untuk mematuhi dengan tegas kod tatalaku kakitangan dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat bagi semua di NP." 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan