Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis tubuh pusat baru bagi cegah penipuan online, e-dagang

Awas, para penipu di luar sana! Itulah mesej yang ingin disampaikan Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang ia memperkenalkan kemudahan baru seperti "pusat nadi" khusus untuk menyekat dengan lebih berkesan wang yang dicuri daripada jatuh ke tangan penjenayah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Aug 2019 12:32PM Dikemas Kini : 30 Aug 2019 09:46PM

SINGAPURA: Awas, para penipu di luar sana! Itulah mesej yang ingin disampaikan Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang ia memperkenalkan kemudahan baru seperti "pusat nadi" khusus untuk menyekat dengan lebih berkesan wang yang dicuri daripada jatuh ke tangan penjenayah. Ini termasuk bekerjasama dengan para pemain industri untuk mencapai matlamat tersebut.

Pada Jumaat (30 Ogos), SPF mendedahkan Pusat Antipenipuan (ASC) yang baru, ditubuhkan oleh Jabatan Ehwal Komersil (CAD) pada 18 Jun lalu, dengan tumpuan untuk meleburkan operasi para penipu di samping mengurangkan kerugian mangsa-mangsa.

Penubuhan pusat baru itu tepat pada masanya memandangkan penipuan-penipuan, terutamanya melibatkan e-dagang dan pinjaman, terus meningkat. Ini meskipun dengan usaha yang dipergiatkan untuk menguat kuasa dan mendidik orang ramai terhadap operasi-operasi seumpama itu.

Dalam perangkaan jenayah enam bulan pertama 2019 yang dikeluarkan baru-baru ini, penipuan adalah punca utama yang menyebabkan peningkatan jenayah di Singapura secara keseluruhannya. Jumlah penipuan e-dagang melonjak dari 1,013 keas antara Januari hingga Jun 2018 kepada 1,435 kes pada tempoh yang sama tahun ini, mengakibatkan wang bernilai S$1.2 juta dilesapkan daripada mangsa secara keseluruhannya.

Penipuan pinjaman juga meningkat, melonjak lebih seganda dari 315 kes kepada 692 kes pada tempoh yang sama. Akibatnya, berdasarkan perangkaan, jumlah keseluruhan yang ditipu daripada mangsa adalah sekurang-kurangnya S$2.2 juta.

Poster-poster yang memberi amaran kepada orang ramai tentang penipuan online. (Gambar: SPF)

Layanan seks sebagai ganjaran dan penipuan cinta Internet pula masing-masing adalah ketiga dan keempat jenayah dengan jumlah paling banyak kes dilaporkan. Namun, nilai keseluruhan wang yang ditipu daripada mangsa adalah setara malahan mungkin juga lebih tinggi berbanding kedua-dua jenis penipuan itu.

Untuk menangani dengan lebih baik jumlah kes penipuan yang kian meningkat itu, Timbalan Superintendan Polis DSP Lim Hao Jun berkata, semasa satu sesi taklimat media, ASC sedang bekerjasama dengan tiga bank tempatan untuk mengusulkan pelbagai wadah bagi membanteras para penipu. Bank-bank tersebut adalah DBS, UOB dan OCBC.

SPF juga berkongsi dua lagi inisiatif yang sudah dimulakannya untuk menangani penipuan.

Pasukan itu sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi di sini untuk dengan pantas memotong talian telefon bimbit yang digunakan oleh penipu - biasanya talian prabayar - bagi mematahkan operasi mereka. Ia juga sedang berusaha untuk menurunkan iklan-iklan online yang mencurigakan.

Seorang jurucakap polis memberitahu Mediacorp polis belum lagi mencapai persetujuan yang serupa, seperti yang dilakukan dengan bank untuk mendapatkan syarikat telekomunikasi memotong dalam tempoh sehari talian telefon bimbit yang mencurigakan. Namun, perbincangan sedang diadakan.

MENGEKANG PENIPUAN CAROUSELL

Satu lagi inisiatif adalah untuk bekerjasama dengan para pemilik wadah digital, seperti pasaran online Carousell, untuk memperkenalkan langkah-langkah pencegahan penipuan.

Satu inisiatif terkini adalah untuk menandakan "kategori berisiko tinggi" dalam aplikasi Carousell dan ini termasuk senarai penjualan bagi tiket konsert, penginapan hotel atau tiket Universal Studios Singapore (USS), kata Cik Tan Su Lin, Naib Presdien bagi Operasi di Carousell. Ciri itu diperkenalkan pada Jun lalu.

(Gambar: SPF)

Cik Tan berkongsi bahawa selain menandakan kategori-kategori tersebut, penjual yang ingin disenaraikan dalam mana-mana kategori perlu menggunakan perkhidmatan escrow Carousell - CarouPay - untuk melindungi pembeli dengan lebih baik. Wang hanya akan berpindah tangan selepas pembeli mengesahkan bahawa produk atau perkhidmatan yang diterima sama seperti yang diiklankan, jelasnya.

Timbalan Penolong Pesuruhjaya (DAC) Aileen Yap berkata langkah-langkah seumpama itu oleh Carousell sudahpun membuahkan hasil terhadap bilangan kes penipuan yang disaksikan di wadah tersebut.

Beliau menarik perhatian bahawa berbanding 74 peratus penipuan e-dagang yang dilaporkan berlaku di pasaran online pada separuh pertama 2018, jumlah itu sudah merosot "dengan ketara" sebanyak 53 peratus bagi tempoh yang sama pada 2019.

Sungguhpun demikian, meskipun usaha dipergiatkan, penipuan e-dagang masih tetap meningkat dan DAC Yap berkata ia akan terus naik. Maka itu, polis tidak akan berpuas hati dengan langkah penguatkuasaan sedia ada.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya lebih berwaspada sambil mengingatkan mereka bahawa sebarang urus niaga yang memerlukan pemindahan dana pada masa ini "tidak lagi selamat" dan pengguna seharusnya "berfikir dua kali" apabila ingin berbuat demikian.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan