Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis tubuh bahagian khas bantu mangsa jenayah seksual, keganasan keluarga

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Apr 2022 03:03PM Dikemas Kini : 12 Apr 2022 09:25PM

SINGAPURA: Polis Singapura akan menubuhkan sebuah bahagian khas untuk menangani jenayah seksual dan keganasan keluarga.

Daya inisiatif yang ditubuhkan pada tahun depan itu akan dikendalikan pegawai yang pakar dalam menyiasat kes-kes sedemikian.

Penubuhan bahagian khas itu adalah antara beberapa langkah Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk menangani dengan lebih baik kes serangan seksual.

Langkah-langkah lain termasuk latihan kerap bagi pegawai polis dalam menangani kes sedemikian.

Selain itu satu tinjauan akan diadakan tahun ini untuk mendapatkan maklum balas daripada mangsa serangan seksual mengenai proses menangani kes dan bantuan yang mereka perlukan.

Insiatif tersebut diumumkan Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam pada Selasa (12 April) di satu seminar tentang kesedaran mengenai serangan seksual yang diadakan di Kompleks Polis Cantonment.

Dalam ucap-tamanya, Encik Shanmugam berkata langkah-langkah itu adalah sebahagian daripada semakan polis terhadap jenayah seksual, yang akan memberi tumpuan terhadap empat bidang:

1. Proses operasi dan siasatan
2. Latihan
3. Kesedaran awam mengenai siasatan jenayah seksual dan proses di mahkamah
4. Kerjasama masyarakat untuk mengukuhkan sokongan bagi mangsa

LATIHAN LEBIH BAIK UNTUK PEGAWAI POLIS

Pegawai yang mengendalikan markas baru itu akan diberi latihan untuk menangani kes jenayah seksual dan keganasan keluarga. Mereka juga akan dibekalkan dengan kemahiran menguruskan mangsa, kata Encik Shanmugam.

Pegawai siasatan dan pegawai barisan hadapan juga akan menjalani latihan kerap mengenai cara mengurus mangsa dan siasatan berkaitan jenayah seksual. Mereka juga akan menghadiri seminar dan sesi dengan profesional untuk membincangkan amalan-amalan terbaik dalam menangani jenayah seksual, katanya.

Dua lagi inisiatif akan dilancarkan dalam beberapa bulan akan datang.

Salah satu daripadanya ialah laman web yang dipertingkat, yang akan menyediakan maklumat mengenai bagaimana kes-kes serangan seksual disiasat selain khidmat sokongan bagi mangsa. Ia akan dilancarkan pada lewat tahun ini.

Satu lagi adalah badan amal baru berasas masyarakat dipanggil SG Her Empowerment Limited, atau SHE, yang akan dilancarkan bulan ini untuk menangani isu yang menjejas wanita.

Ia akan membangunkan pusat sokongan mangsa berhubung keganasan online dan seksual, bekerjasama dengan platform untuk memudahkan cara melaporkan kandungan online berbahaya untuk dipadamkan, dan bekerjasama dengan Persatuan Guaman untuk memberi nasihat undang-undang secara percuma kepada mangsa.

Encik Shanmugam menambah bahawa SHE juga akan bekerjasama dengan badan-badan lain untuk menyediakan program yang bertujuan untuk meningkatkan pembangunan wanita di sini.

MANFAAT TEKNOLOGI, PADANAN DNA

Dalam usaha menangani jenayah seksual, polis akan terus memanfaatkan kamera polis serta profil DNA.

Polis sebelum ini mengumumkan bahawa jumlah kamera yang dipasang akan digandakan kepada 200,00 berbanding 90,000 sekarang ini.

Encik Shanmugam juga menarik perhatian banyak jenayah dapat dihuraikan menerusi profil DNA.

Beliau memberi contoh kes di mana polis berjaya membawa seorang perogol ke muka pengadilan mahkamah selepas lebih 10 tahun.

Ini mampu dilakukan dengan memadankan profil DNA dari tempat kejadian rogol dan mayat mangsa dengan sampel darah daripada kes lain.

“Tanpa diberi kuasa untuk mengumpul dan menyimpan bukti DNA, perogol berkenaan mungkin tidak dapat ditangkap. Jadi kami sedang meneliti kuasa untuk mengumpul dan menyimpan bukti DNA,” kata Encik Shanmugam.

Menurutnya, beliau akan membuat pengumuman mengenai perkara ini dalam masa terdekat.

PENDIRIAN TEGAS TERHADAP JENAYAH SEKSUAL

Encik Shanmugam menekankan pada Selasa bahawa Pemerintah mengambil pendirian tegas dalam menangani kesalahan seksual dan ia sudah, selama bertahun-tahun, mengukuhkan perundangan dan menyemak semula proses bagi menangani kesalahan-kesalahan tersebut.

September lalu, Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang bagi hukuman lebih berat ke atas kesalahan seksual.

Encik Shanmugam menambah usaha juga akan dipertingkat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai serangan seksual, dengan melibatkan institusi pendidikan.

"Kami sedang menyemak apa lagi yang perlu dilakukan," katanya.

Antara 2017 dengan 2020, terdapat kira-kira 9,200 laporan serangan seksual, termasuk rogol, cabul kehormatan dan kesalahan yang melibatkan kanak-kanak serta mangsa lemah. Daripada jumlah tersebut, 869 dikatakan dilakukan anggota keluarga atau saudara-mara.

Sumber : Today/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan