Skip to main content

Singapura

Polis trafik tunda 2 lori kerana gagal pasang alat had laju

Anggaran Waktu Membaca:
Polis trafik tunda 2 lori kerana gagal pasang alat had laju

Sebuah lori ditunda kerana tidak mematuhi arahan pemasangan alat had laju. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 10 Jul 2026 01:38PM Dikemas Kini : 10 Jul 2026 01:48PM
SINGAPURA: Polis trafik menunda dua buah lori kerana gagal mematuhi arahan pemasangan alat had laju semasa operasi penguatkuasaan dua hari di seluruh negara pada awal Julai.

Lori-lori yang didaftarkan sebelum 1 Januari 2018 dengan berat muatan maksimum antara 3,501 kilogram hingga 5,000 kilogram diwajibkan untuk memasang alat had laju tersebut sebelum tarikh akhir pada 1 Julai.

Sehingga tarikh akhir berkenaan, kira-kira 1.1 peratus lori yang terlibat masih belum menyerahkan rekod pemasangan alat had laju mereka, menurut kenyataan media Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (10 Jul).

Pihak polis menyatakan bahawa mereka menjalankan pemeriksaan di beberapa syarikat terpilih di seluruh Singapura antara 1 Julai hingga 2 Julai lalu.

"Dua buah lori telah ditunda oleh polis trafik untuk siasatan lanjut kerana tidak mematuhi arahan pemasangan alat had laju semasa operasi tersebut dijalankan," jelas SPF.

"Polis trafik akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan pemilik lori yang ingkar. Syarikat-syarikat ini akan menerima notis untuk membawa lori mereka bagi pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Bertauliah," tambah mereka.

Pihak polis turut memberi amaran bahawa lori yang tidak dilengkapi alat had laju akan gagal dalam pemeriksaan tersebut, manakala syarikat serta pemilik lori bakal berdepan tindakan undang-undang.

"Syarikat dan pemilik lori yang memasang alat had laju selepas tarikh akhir yang ditetapkan juga akan dikenakan hukuman," menurut SPF.

Sesiapa yang didapati gagal memastikan alat had laju boleh berdepan hukuman denda sehingga S$1,000 atau penjara sehingga tiga bulan.

Hukuman denda maksimum tersebut akan dinaikkan sehingga S$10,000 pada tahun ini, selepas Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan diluluskan.

Pihak polis menjelaskan bahawa mereka menjalankan usaha penerangan yang meluas sejak awal tahun 2025 untuk mengingatkan pemilik lori supaya memasang alat had laju tersebut sebelum tarikh akhir. Langkah itu termasuklah menghantar SMS, e-mel dan surat serta mengadakan sesi pertemuan secara bersemuka.

SYARAT PEMASANGAN ALAT HAD LAJU

Lori yang didaftarkan sebelum 1 Januari 2018 dengan berat muatan maksimum antara 3,501 kilogram hingga 12,000 kilogram wajib dilengkapi dengan alat had laju yang berfungsi dengan baik.

Syarat ini juga diwajibkan ke atas kenderaan berat dengan muatan maksimum melebihi 12,000 kilogram serta kenderaan perkhidmatan awam dengan berat muatan maksimum melebihi 10,000 kilogram.

"Kenderaan berat yang diwajibkan memasang alat had laju dan didapati memandu melebihi had laju yang ditetapkan akan diarah menjalani pemeriksaan bagi mengesahkan bahawa alat had laju mereka berfungsi dengan betul," menurut polis.

Mereka yang gagal membawa kenderaan untuk pemeriksaan boleh didenda sehingga S$1,000, dipenjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

Memandu lori yang tidak mematuhi syarat ini juga adalah satu kesalahan undang-undang. Cukai jalan kenderaan berkenaan tidak boleh diperbaharui dan perlindungan insurans mereka mungkin dikurangkan.

Bagi lori yang didaftarkan pada atau selepas 1 Januari 2018 dengan berat muatan maksimum antara 5,001 kilogram hingga 12,000 kilogram pula, mereka diwajibkan memasang alat had laju selewat-lewatnya pada 1 Januari 2027.

"Memandangkan tarikh akhir yang seterusnya semakin hampir, syarikat dan pemilik lori mesti menguruskan pemasangan alat had laju dengan segera," tegas pihak polis.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita