Skip to main content

Singapura

Polis Trafik SG cuba alat uji nafas baharu yang boleh dijadikan bukti di mahkamah

Polis trafik Singapura sudah memulakan percubaan bagi alat uji nafas (breathalyser) baharu yang menghasilkan keputusan tepat dan boleh digunakan sebagai bukti dalam prosiding undang-undang.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Sep 2025 01:28PM Dikemas Kini : 21 Sep 2025 09:04PM
SINGAPURA: Polis trafik Singapura sudah memulakan percubaan bagi alat uji nafas (breathalyser) baharu yang menghasilkan keputusan tepat dan boleh digunakan sebagai bukti dalam prosiding undang-undang.

Operasi percubaan bagi alat baharu yang disebutkan sebagai alat uji nafas mudah alih berasaskan bukti itu bermula awal bulan ini pada 5 September, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memerangi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Ahad (21 Sep).

Alat uji nafas baharu itu, yang dibangunkan dengan kerjasama Agensi Teknologi dan Sains Home Team (HTX), merupakan satu alat mudah alih yang mengukur kepekatan alkohol dalam nafas yang dihembus.

Peranti yang digunakan oleh polis trafik pada masa ini – dikenali sebagai alat uji nafas mudah alih – dan hanya berfungsi sebagai alat saringan awal, menurut SPF.
Related article image
Alat uji nafas mudah alih semasa yang digunakan polis trafik. (Gambar: CNA/Tan Wen Lin)
Pada masa ini, apabila pegawai polis mempunyai sebab munasabah untuk mengesyaki kesalahan memandu atau kesalahan berkaiatan dilakukan di bawah pengaruh alkohol, mereka menggunakan alat uji nafas mudah alih untuk menjalankan ujian nafas ke atas pemandu. Peranti itu akan menunjukkan keputusan, lulus atau gagal, bagi pemandu tersebut.

Mereka yang gagal akan ditahan dan dibawa ke balai polis, di mana mereka akan menjalani ujian nafas kedua menggunakan mesin yang berbeza.

Walaupun mesin kedua tersebut menghasilkan keputusan yang boleh dipercayai untuk digunakan di mahkamah, ia bersaiz besar dan tidak bersifat mudah alih, menurut polis.

Alat uji nafas yang baharu meningkatkan kecekapan operasi dengan membolehkan para pegawai menjalankan ujian dengan tepat di lokasi kejadian tanpa memerlukan ujian nafas kedua, kata Superintenden Muhammad Firdaus Abdul Raub, ketua operasi polis trafik.

Ia juga memastikan bacaan yang lebih tepat diambil sebelum paras alkohol dalam badan berkurangan, menurut SPF dalam kertas fakta medianya.

“Orang ramai boleh menjangkakan untuk melihat pegawai polis trafik menggunakan peralatan baharu ini semasa operasi penguatkuasaan trafik,” tambah SPF.

Had alkohol berdasarkan undang-undang kekal sama – tidak melebihi 35mg alkohol dalam setiap 100ml nafas, atau tidak melebihi 80mg alkohol dalam setiap 100ml darah.

Jumlah individu yang diberkas kerana memandu di bawah pengaruh alkohol meningkat 6.6 peratus kepada 1,023 orang antara Januari dan Julai tahun ini, menurut polis. Ini meningkat daripada 960 kes bagi tempoh yang sama pada 2024.

ALAT UJI NAFAS BAHARU DIGUNAKAN

Pada awal pagi Sabtu, pihak media berpeluang melihat bagaimana para pegawai polis trafik menggunakan alat uji nafas baharu itu semasa operasi penguatkuasaan terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Dalam satu sekatan jalan raya yang dilaksanakan di Upper Cross Street di Chinatown, para pegawai mengimbas para pemandu kenderaan yang melalui jalan tersebut. Mereka menahan beberapa pemandu untuk menilai kemungkinan melakukan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dan mengarahkan beberapa yang lain ke tepi untuk pemeriksaan lanjut.

Mediacorp melihat sekurang-kurangnya empat kereta ditahan sepanjang tempoh sejam berada di lokasi bersama polis trafik.

Sebagai sebahagian daripada percubaan alat baharu itu, para pemandu terlebih dahulu diuji bagi paras alkohol dengan menggunakan alat uji nafas mudah alih sedia ada semasa operasi penguatkuasaan.

Seorang lelaki berusia 43 tahun dan seorang wanita berusia 48 tahun, yang gagal ujian tersebut, diberkas di tempat kejadian kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol. Mereka kemudian dibawa untuk diuji semula, kali ini menggunakan alat uji nafas baharu.
Related article image
Alat uji nafas mudah alih berasaskan bukti yang sedang dicuba polis trafik. (Gambar: CNA/Tan Wen Lin)
Mereka diminta untuk meniup ke dalam alat baharu itu, yang merekodkan paras alkohol dalam nafas mereka dengan tepat. Pegawai kemudian mencetak keputusan berkenaan dan meminta suspek untuk menandatangani slip kertas sebagai pengesahan.

Kedua-dua individu yang diberkas itu kemudiannya diiringi ke kereta polis dan dibawa pergi dari lokasi. Siasatan polis sedang dijalankan.

Mereka yang disabit kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol boleh dipenjara sehingga 12 bulan, didenda antara S$2,000 hingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, seseorang boleh dikenakan denda antara S$5,000 dan S$20,000, serta penjara sehingga dua tahun.

Pesalah juga boleh hilang kelayakan lesen memandu bagi semua kelas kenderaan.

“Memandu di bawah pengaruh alkohol adalah perbuatan yang amat berbahaya dan tidak bertanggungjawab,” menurut polis sambil menambah bahawa mereka tidak bertolak ansur terhadap kesalahan itu dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang berbuat demikian.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak memandu jika berhasrat untuk mengambil alkohol dan memilih kaedah pengangkutan lain seperti teksi, kereta sewa privet, bas awam atau MRT.

Mereka juga boleh mendapatkan khidmat pemandu pengganti atau melantik pemandu yang tidak meminum alkohol untuk menghantar mereka pulang.

“Semua pemandu diingatkan supaya mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan semua pengguna jalan raya. Polis trafik akan terus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan kami untuk mengambil tindakan terhadap pemandu yang melanggar undang-undang,” menurut SPF.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita