Skip to main content

Singapura

Polis trafik cedera semasa kejar van di Choa Chu Kang; pemandu diberkas

Seorang pegawai polis trafik cedera pada Khamis (1 Jan) selepas seorang pemandu van enggan berhenti bagi pemeriksaan rutin, mencetuskan satu kejadian kejar-mengejar di Choa Chu Kang.
Anggaran Waktu Membaca:
Polis trafik cedera semasa kejar van di Choa Chu Kang; pemandu diberkas
Seorang pemandu van diberkas selepas dia enggan berhenti bagi pemeriksaan rutin, lalu mencetuskan satu kejadian kejar-mengejar dengan polis, yang menyebabkan kecederaan seorang pegawai polis pada 1 Januari 2025. (Gambar: Facebook/SG Road Vigilante)
SINGAPURA: Seorang pegawai polis trafik cedera pada Khamis (1 Jan) selepas seorang pemandu van enggan berhenti bagi pemeriksaan rutin, mencetuskan satu kejadian kejar-mengejar di Choa Chu Kang.

Menjawab pertanyaan Medicorp, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pada Jumaat bahawa pegawai polis trafik yang sedang melakukan rondaan di Old Choa Chu Kang memberi isyarat kepada van tersebut untuk berhenti pada pukul 5.20 petang pada Khamis.

“Pemandu van itu enggan mematuhi arahan pegawai dan memecut meninggalkan lokasi,” menurut polis.

Para pegawai bertindak mengejar kenderaan tersebut dan semasa kejar-mengejar itu, van berkenaan melanggar seorang pegawai polis trafik yang menunggang motosikal.

“Van tersebut kemudiannya dipercayai terbabas dengan sendirinya di persimpangan Choa Chu Kang Avenue 7 dan Keat Hong Link,” menurut SPF.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai satu kemalangan di lokasi yang sama pada pukul 5.50 petang pada Khamis, dan dua individu sudah dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong.

Menurut polis, pegawai berusia 25 tahun itu dan pemandu van berkenaan berada dalam keadaan sedar semasa dibawa ke hospital.

Pegawai tersebut berada dalam keadaan stabil dan pemandu van itu kemudiannya diberkas atas beberapa kesalahan.

Polis memaklumkan sebilah pisau, sebatang baton, serta barangan yang disyaki dadah terkawal dan peralatan berkaitan dadah ditemui di dalam kenderaannya.

Pemandu berusia 34 tahun itu sudah diberkas kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan, memandu tanpa lesen yang sah, memandu tanpa insurans yang sah, gagal berhenti apabila diarahkan oleh pegawai polis berseragam, menggunakan lesen palsu, memiliki senjata yang disenaraikan serta pelbagai kesalahan yang disyaki berkaitan dadah.

“Kesalahan yang disyaki berkaitan dadah itu telah dirujuk kepada Biro Narkotik Pusat,” menurut polis, sambil menambah bahawa siasatan masih dijalankan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita