Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis tidak akan ambil tindakan ke atas catatan Facebook tentang Muslim S'pura

Setelah berunding dengan Pejabat Peguam Negara (AGC), Pasukan Polis Singapura menyatakan pihaknya tidak akan mengambil tindakan lanjut mengenai laporan yang dibuat berhubung catatan online mengenai umat Islam di laman Facebook "SMRT Feedback by The Vigilanteh".

Anggaran Waktu Membaca:
Polis tidak akan ambil tindakan ke atas catatan Facebook tentang Muslim S'pura

Laman utama 'SMRT Feedback by the Vigilanteh' (Petikan skrin Facebook)

Diterbitkan : 13 Jul 2021 08:55AM Dikemas Kini : 13 Jul 2021 09:01AM

SINGAPURA: Setelah berunding dengan Pejabat Peguam Negara (AGC), Pasukan Polis Singapura menyatakan pihaknya tidak akan mengambil tindakan lanjut mengenai laporan yang dibuat berhubung catatan online mengenai umat Islam di laman Facebook "SMRT Feedback by The Vigilanteh".

Sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp, polis pada Isnin (12 Jul) menyatakan: “(Kami) sudah meneliti hal itu dan berunding dengan Pejabat Peguam Negara, yang mengarahkan agar tiada tindakan lanjut diambil memandangkan elemen-elemen kesalahan tidak dibuktikan melebihi keraguan yang munasabah."

Salah satu aduan polis dibuat oleh Cik Syazana Yahya, yang menulis di akaun Facebooknya bahawa catatan itu bersifat menghasut dan bahawa ia "menimbulkan syak terhadap kesetiaan seorang Muslim Singapura kepada negaranya".

Pada 21 Mei, satu catatan dimuat naik ke laman Facebook SMRT Feedback by The Vigilanteh, yang menyatakan keputusan mantan perdana menteri Lee Kuan Yew untuk tidak membenarkan Muslim di Singapura memegang jawatan sensitif dalam ketenteraan, kecuali segelintir, boleh difahami.

Laman Facebook itu mempunyai sekitar 430,000 pengikut.

Catatan tersebut menyatakan umat Islam sentiasa mengutamakan agama mereka daripada segala-galanya.

Memandangkan hubungan Singapura dengan Israel dalam hal-hal berkaitan pertahanan, laman Facebook itu mendakwa bahawa penganut Islam dalam kedudukan sensitif ketenteraan yang perlu berurusan dengan teknologi ketenteraan dari Israel akan berdepan kesukaran untuk memenuhi tanggungjawab mereka.

Catatan itu berbunyi: "Adakah tanggungjawabnya sebagai rakyat Singapura akan diatasi oleh tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim?"

Israel mempunyai konflik berlarutan dengan Palestin, yang majoriti rakyatnya beragama Islam.

Cik Syazana menulis di Facebook bahawa beliau sudah membuat aduan polis berhubung catatan itu pada 22 Mei.

Beliau menegaskan bahawa kewajipan utama umat Islam adalah terhadap keluarga dan negara mereka dan catatan tersebut akan menyebabkan orang bukan Islam di Singapura percaya bahawa orang Islam cenderung menjadi pengkhianat.

“Ini adalah usaha terang-terangan untuk menimbulkan perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat oleh orang bukan Islam terhadap orang Islam. Ini tentu sekali kesalahan di bawah s 298A, Kanun Keseksaan,” tulisnya.

Catatan di laman Facebook SMRT Feedback by The Vigilanteh itu sudah dipadamkan. Kumpulan itu kemudian memuat naik permohonan maaf, mengakui bahawa mereka melampaui batas.

Ia juga menjelaskan bahawa catatan asal tidak berniat untuk mempertikaikan kesetiaan umat Islam di Singapura tetapi untuk menekankan komitmen mereka terhadap agama.

Ketika Mediacorp menghubungi AGC untuk mendapatkan komen, ia merujuk kepada kenyataan oleh pihak polis.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan