Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis Thailand tangkap penggodam warga SG larikan diri ke Bangkok

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Thailand tangkap penggodam warga SG larikan diri ke Bangkok

Gambar hiasan. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

BANGKOK: Polis di Thailand menangkap seorang lelaki warga Singapura yang melarikan diri dari negara ini selepas dipercayai menggodam akaun-akaun media sosial orang lain untuk membuat pembelian dalam talian.

The Bangkok Post melaporkan pada Khamis (12 Jan) bahawa Ong Jian Zhen, 32 tahun, ditangkap di sebuah kondominium di daerah Huai Kwang di Bangkok.

Polis turut memberkas seorang wanita warga Thailand berusia 28 tahun, yang dikenali sebagai Ananyalak Chuenjai, di tempat kejadian selepas dadah ditemui di unit kondominium berkenaan.

Antara barang yang dirampas polis termasuk satu paket kristal methamphetamine, dua paket ketamine, satu paket Erimin-5, alat penimbang elektronic dan tiga buku bank.

Ia bagaimanapun tidak diketahui apa hubungan antara lelaki dengan wanita itu.

Menurut Bangkok Post, Ong dan Ananyalak didakwa bersubahat memiliki dadah haram dan mereka diserahkan kepada polis Sutthisan bagi prosiding undang-undang.

Ong dikehendaki polis Thailand selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya oleh Mahkamah Wilayah Sa Kaeo pada 19 Disember lalu kerana memasuki negara itu menggunakan pasport palsu.

Kolonel Polis Phadol Chandorn dipetik oleh media tempatan sebagai berkata bahawa Ong sebelum ini diberkas oleh polis imigresen Thailand pada Oktober tahun lalu kerana menggunakan pasport palsu untuk memasuki negara itu. Dia dibebaskan dengan ikat jamin tetapi kemudian melarikan diri.

Bangkok Post melaporkan bahawa Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Singapura sebelum ini menghubungi pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat Thai bagi mendapatkan bantuan untuk menangkap Ong.

Polis kemudian mula memburunya dan mendapat maklumat tentang keberadaannya di Bangkok.

Mediacorp sudah menghubungi polis Singapura dan Thailand untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes Ong
Sumber : Agensi berita/LL/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan