Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis terus pantau kemungkinan sindiket pemerdagangan manusia libatkan mangsa warga S'pura

Anggaran Waktu Membaca:
Polis terus pantau kemungkinan sindiket pemerdagangan manusia libatkan mangsa warga S'pura

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 04 Oct 2022 11:38AM Dikemas Kini : 04 Oct 2022 11:39AM
SINGAPURA: Polis sedang megawasi kemungkinan berlakunya pemerdagangan manusia ke atas mangsa yang terpedaya dengan sindiket penipuan untuk 'bekerja' di negara lain.

Demikian didedahkan oleh Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Isnin (3 Okt).

Encik Shanmugam menjawab pertanyaan parlimen yang dikemukakan oleh Encik Saktiandi Supaat, Anggota Parlimen (AP) bagi kawasan undi perwakilan berkumpulan (GRC) Bishan-Toa Payoh, yang bertanya sama ada Pejabat Markas Antipenipuan sedang menjalankan siasatan atas kemungkinan kes-kes melibatkan para mangsa yang diperdaya oleh sindiket untuk bekerja di Kemboja, Thailand dan Myanmar.

Dalam respons bertulis, Encik Shanmugam merujuk kepada satu jawapan bulan lalu apabila beliau memberitahu Parlimen bahawa terdapat satu aduan polis sejak 2021 yang berkemungkinan melibatkan mangsa-mangsa warga Singapura.

Aduan itu, bagaimanapun, dibuat berdasarkan maklumat sumber kedua risikan. Pengadu mendakwa bahawa dia mendengar daripada pihak lain bahawa terdapat mangsa Singapura yang mungkin ditahan secara paksa di Myanmar untuk bekerja dengan sindiket penipuan tersebut.

"Pengadu tersebut menyatakan bahawa dia belum pernah bercakap sendiri dengan warga Singapura yang dimaksudkan itu dan tiada maklumat lain atau butiran berhubung identiti rakyat Singapura tersebut," jelas Encik Shanmugam.

Beliau menambah, polis Singapura sudahpun merujuk kes tersebut kepada pihak berkuasa di Myanmar untuk mendapatkan bantuan.

Bulan lalu, Pertubuhan Anti-Scam Global, iaitu sebuah kumpulan yang membanteras pemerdagangan manusia dan jenayah siber di Asia Tenggara, mendakwa bahawa terdapat "lebih seratus" warga Singapura ditahan dalam sindiket penipuan Kemboja, lapor agensi berita 8World News .

Kumpulan itu menyatakan mereka sudah mengetahui tentang perkara itu daripada mangsa-mangsa dalam keadaan serupa, yang merupakan warganegara lain, tetapi menjelaskan bahawa pertubuhan itu tidak menerima sebarang permintaan bantuan daripada warga Singapura.

Di Malaysia pula, usaha sudahpun dipergiatkan lagi untuk membantu ratusan warga negara tersebut yang terperangkap dalam operasi jenayah siber di merata Asia Tenggara.
Singapura mengambil bahagian dalam pelbagai usaha serantau untuk membincangkan kerjasama mengenai usaha membendung jenayah rentas negara, termasuk penipuan dan pemerdagangan manusia, dan akan terus menjalin kerjasama erat dengan negara lain dalam menangani isu tersebut.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan