Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis tembak suspek dalam serbuan di Balestier; suspek serang pegawai polis, cuba rampas pistol

Seorang lelaki ditembak oleh seorang pegawai polis semasa satu serbuan dilancarkan ke atas sebuah unit kediaman di Balestier Road pada Khamis (5 Nov), menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).

Anggaran Waktu Membaca:
Polis tembak suspek dalam serbuan di Balestier; suspek serang pegawai polis, cuba rampas pistol

City Suites di 235 Balestier Road. (Gambar: Hanidah Amin)

Diterbitkan : 05 Nov 2020 11:37PM Dikemas Kini : 06 Nov 2020 07:10PM

SINGAPURA: Seorang lelaki ditembak oleh seorang pegawai polis semasa satu serbuan dilancarkan ke atas sebuah unit kediaman di Balestier Road pada Khamis (5 Nov), menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).

Tiga pegawai polis berpakaian biasa memasuki sebuah unit kondominium City Suites pada sekitar 1.00 pagi pada Khamis sebagai sebahagian daripada operasi memburu para suspek yang terlibat dalam satu siri kes penipuan. Para pegawai membawa pistol dan gari.

Empat orang berada di dalam unit itu: Seorang lelaki berusia 36 tahun, seorang lelaki berusia 22 tahun, seorang wanita berusia 33 tahun dan seorang wanita berusia 23 tahun.

Siasatan awal menunjukkan bahawa semasa para pegawai polis berada di dalam unit itu, lelaki berusia 36 tahun itu "tiba-tiba menerpa" salah seorang daripada pegawai itu dan berkali-kali menyerangnya, menyebabkan pegawai itu jatuh di lantai dan mukanya berdarah, menurut SPF.

Pegawai polis kedua memberi amaran kepada lelaki berkenaan supaya menghentikan serangan itu tetapi dia tidak mengendahkannya. Pegawai polis ketiga pula sedang menangani seorang lagi suspek.

Lelaki berusia 22 tahun itu kemudian dilihat menghampiri pegawai polis yang diserang, dan berdasarkan 'penilaian' pegawai polis kedua, dia akan turut menyerang pegawai polis itu.

"Bimbang dengan keselamatan rakannya, pegawai polis kedua itu segera mengeluarkan pistolnya dan memberi amaran kepada (lelaki berusia 36 tahun) itu untuk menghentikan serangannya," menurut pihak polis dalam kenyataan medianya.

Lelaki itu bagaimanapun tidak mematuhi amaran itu dan terus memukul pegawai itu di lantai.

Tiba-tiba dia menerpa ke arah pegawai polis kedua dan menyambar pistolnya, menurut SPF. Lelaki berusia 22 tahun itu kemudian menyerang pegawai polis pertama itu, tambah pihak polis.

Semasa pergaduhan itu, pegawai polis kedua itu "melepaskan satu tembakan" daripada pistolnya terhadap lelaki berusia 36 tahun itu.
Ini untuk keselamatan pegawai itu dan bagi mencegah lelaki tersebut daripada merampas pistolnya, menurut polis.

"Ini langsung tidak menghentikan percubaan (lelaki berusia 36 tahun itu) daripada merampas pistol pegawai polis kedua dan mereka terus bergelut," tambah SPF.

Kedua-dua lelaki itu akhirnya berjaya ditundukkan oleh para pegawai sokongan yang tiba di unit tersebut.

Lelaki berusia 36 tahun itu mengalami luka tembakan pada bahagian perutnya dan dirawat oleh pasukan paramedik sebelum dia dibawa ke hospital dalam keadaan sedar. Dia kini dalam keadaan stabil, menurut SPF.

Dua pegawai polis mengalami kecederaan. Pegawai polis yang pertama mengalami kecederaan pada bahagian muka dan tangannya, manakala pegawai polis kedua mengalami kecederaan pada lengan dan bibirnya. Mereka memerlukan rawatan perubatan, dan kini dalam keadaan stabil dan sedang beransur pulih, menurut polis.

Pegawai yang melepaskan tembakan merasakan nyawa mereka terancam, menurut Penolong Pesuruhjaya Polis (AC) Cheong Chee Ming, yang merupakan komander Divisyen Tanglin, semasa satu sidang media pada Khamis.

Sebagai protokol, Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (CID) sedang menyiasat tindakan pegawai itu melepaskan tembakan.

KESEMUA EMPAT SUSPEK DIBERKAS

Dua lelaki diberkas kerana sengaja menyebabkan kecederaan bagi menghalang seorang pegawai awam daripada melaksanakan tugasnya, menipu dan disyaki mengambil dadah.

Kedua-dua lelaki tersebut dikehendaki pihak polis kerana kesalahan menipu dan berkaitan dadah.

Lelaki berusia 36 tahun itu diburu kerana menganggotai perhimpunan yang menyalahi undang-undang serta kesalahan-kesalahan lain yang berkaitan dengan dadah dan kastam, menurut polis, sambil menambah bahawa dia sedang menunggu hukuman dijatuhkan bagi kesalahan menipu.

Lelaki berusia 22 tahun itu adalah seorang bekas penyelia polis di bawah Akta Undang-Undang Jenayah (Peruntukan Sementara).

Dua suspek lain yang berada di dalam unit berkenaan diberkas kerana menipu dan disyaki mengambil dadah. Wanita berusia 33 tahun itu juga dikehendaki pihak polis atas kesalahan menipu dan kegagalan hadir ke mahkamah, menurut polis.

Biro Narkotik Pusat (CNB) sedang menyiasat aktiviti-aktiviti berkaitan dadah bagi para suspek yang diberkas.

Tiga orang lain - seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dan seorang lelaki berusia 32 tahun - juga diberkas kerana disyaki terlibat dalam satu siri penipuan. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan