Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis tekankan 'pendirian tegas terhadap diskriminasi di tempat kerja' selepas bekas pegawai dakwa penilaian prestasi jatuh kerana hamil

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pihak polis pada Rabu (8 Jun) menekankan bahawa ia mengambil pendirian tegas terhadap amalan diskriminasi di tempat kerja dan tidak menghukum pegawai yang hamil.

Penjelasan itu dibuat menyusuli dakwaan oleh seorang bekas pegawai dan ibu kepada empat anak kecil bahawa beliau diberitahu gred prestasinya jatuh atas sebab beliau hamil.

"Pasukan Polis Singapura (SPF) menyediakan tempat kerja yang adil dan progresif untuk pekerja kami. Ramai pegawai wanita kami cemerlang dalam kerjaya mereka, mengimbangi tanggungjawab kerja dan keluarga," kata polis.

"SPF tidak menghukum pegawai yang hamil dan sebaliknya, menyediakan aturan kerja alternatif untuk memastikan kesejahteraan mereka."

Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada catatan Facebook Cik Reema Razif, yang pada Selasa menulis bahawa dia telah berkhidmat selama 11 tahun dan "tidak menyesal" memilih kerjaya di mana dia memberi "100 peratus".

“Malangnya, ia tidak dan tidak pernah akan mencukupi. Diberitahu bahawa gred prestasi saya jatuh 'kerana awak mengandung' dan dinasihatkan agar 'mengambil beberapa projek semasa cuti bersalin' bukanlah sesuatu yang boleh saya terima," tulis Cik Reema.

Beliau menambah: "Bekerja sepanjang tempoh kehamilan saya, mengangkat peralatan berat untuk rakan-rakan kerja (secara rela), sanggup tidak makan kerana kerja saya adalah keutamaan saya, mula dapat tanda-tanda bersalin di tempat kerja bagi dua daripada empat kehamilan saya, masuk hospital dalam pakaian seragam saya, masih tidak memadai, rasa saya untuk menganggap diri saya sebagai pekerja yang 'melakukan tugas baik'".

Polis bagaimanapun berkata Cik Reema tidak diminta bekerja semasa dia sedang cuti bersalin. Mentelah lagi, dia diberi tugasan ringan yang umumnya boleh dilakukan di pejabat semasa hamil antara 2016 dan 2021.

"Reema menerima gred prestasi yang serupa dengan kebanyakan rakan kerjanya di Divisyen Polis Darat, ketika dalam perkhidmatan," kata polis.

Cik Reema meletak jawatan pada 2 Mei atas sebab peribadi, tambah polis, tanpa menyatakan pangkatnya, divisyen di mana dia bekerja, atau berapa lama dia sudah berkhidmat.

“SPF mengambil pendirian tegas terhadap amalan diskriminasi di tempat kerja,” kata polis.

Terdapat saluran bagi pegawai untuk mengemukakan aduan mengenai amalan diskriminasi di tempat kerja kepada komander unit mereka, ibu pejabat polis atau Kementerian Dalam Negeri, "dan aduan sebegitu diteliti dengan serius", tambah mereka.

Dalam catatannya pada Selasa, Cik Reema melampirkan sekeping gambar hitam putih yang menunjukkan dirinya berpakaian seragam ketika hamil di depan kenderaan polis yang menjadi tular pada April 2020 setelah dia memuat naik versi berwarnanya di Facebook.

Bagaimanapun, dia mendakwa "dikutuk" dan "diberi arahan tegas untuk menolak apa-apa jenis pendedahan lanjut" berikutan insiden tular itu.

Dalam catatan yang tular pada April 2020 itu, Cik Reema menulis bahawa dia hamil 30 minggu dengan anak ketiganya tetapi "masih bekerja tanpa sebarang aduan".

Menurutnya ketika itu, masa kerja polis panjang dan tidak tentu, sambil perlu mematuhi peraturan baru yang belum pernah berlaku sebelum ini dek penularan COVID-19 dan tempoh pemutus litar jangkitan.

Dalam kenyataan mereka pada Selasa, polis menyatakan Cik Reema telah menulis tentang tugasnya sebagai anggota polis di akaun media sosial miliknya pada April 2020, dan menekankan bahawa peraturan sektor awam sedia ada melarang pegawai daripada "mengulas isu berkaitan agensi mereka sendiri atau dasar-dasar yang terlibat tanpa kebenaran terlebih dahulu”.

“Oleh itu, Reema dinasihatkan sewajarnya oleh penyelianya kerana tidak mendapatkan kebenaran untuk membuat catatannya, tetapi dia tidak dihukum atas kejadian itu,” kata polis.

"Kami berterima kasih kepada Reema atas sumbangannya kepada SPF dan kami mendoakan yang terbaik untuk masa depannya."
Sumber : Today/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan