Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis tangkap 3 remaja berhubung video ludah di pusat beli-belah

Tiga remaja ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes gangguan awam, menurut polis hari ini (12 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Polis tangkap 3 remaja berhubung video ludah di pusat beli-belah

3 remaja ditangkap berhubung video ludah di pusat beli-belah yang terletak di bahagian tengah Singapura. (Gambar: Media sosial menerusi TODAY)

Diterbitkan : 12 Mar 2020 06:32PM Dikemas Kini : 12 Mar 2020 06:33PM

SINGAPURA: Tiga remaja ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes gangguan awam, menurut polis hari ini (12 Mac).

Dua lelaki dan seorang perempuan, berusia antara 17 hingga 19 tahun, dikehendaki dalam kes berkaitan satu video online yang menunjukkan pelaku meludah di sebuah pusat beli-belah. Rakaman tersebut "mencetuskan rasa resah dan cemas" dalam kalangan masyarakat.

Polis menyatakan mereka menerima satu laporan pada 3 Mac berhubung video online berkenaan yang menunjukkan seorang remaja lelaki meludah dari tingkat tinggi sebuah pusat beli-belah yang terletak di kawasan tengah Singapura.

Siasatan awal menunjukkan seorang lelaki berusia 18 tahun meludah dari aras empat sebuah pusat beli-belah pada sekitar 6.30 petang, tanggal 28 Februari.

Perbuatannya itu dirakamkan dalam video dan kemudian dimuat naik ke akaun-akaun media sosial kawan lelaki tersebut.

"Video itu mencetuskan rasa cemas dan pada masa yang sama marah ketika Singapura sedang menangani keadaan COVID-19. Ini kerana jangkitan boleh menular secara tidak langsung menerusi permukaan-permukaan yang tercemar," kata polis.

Berikutan siasatan dan dengan bantuan rakaman CCTV polis, para pegawai daripada Jabatan Polis Tengah berjaya mengenal pasti tiga suspek itu dan menangkap mereka. Siasatan polis sedang dijalankan.

Jika didapati bersalah melakukan gangguan awam, mereka masing-masing boleh didenda sehingga S$2,000.

Jika perbuatan mereka dianggap boleh, dengan "kemungkinan munasabah", menyebabkan sebarang kecederaan, bahaya atau gangguan kepada awam mahupun kepada orang ramai secara amnya yang menetap atau menggunakan tempat di kawasan tersebut, setiap seorang daripada mereka akan dikenakan hukuman sehingga tiga bulan penjara dan/atau didenda sehingga S$2,000.

Polis menyatakan mereka memandang serius sikap "tidak bertimbang rasa dan bertanggunjawab" terutama sewaktu keadaan COVID-19 sekarang.

Ia menambah: "Setiap orang perlu memainkan peranan mereka dengan mengamalkan kebersihan peribadi yang baik dan seorang yang bertanggungjawab dalam sekitaran sosial".  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan