Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis tahan wanita, tunjuk perasaan di luar kedutaan China di SG

Anggaran Waktu Membaca:
Polis tahan wanita, tunjuk perasaan di luar kedutaan China di SG

(Gambar: @kellymilkies/Twitter)

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (29 Nov) menyatakan pihaknya sedang menyiasat seorang wanita yang dipercayai menyertai perhimpunan awam di luar kedutaan China tanpa permit. 

SPF menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai insiden tersebut sekitar pukul 1.00 tengah hari Isnin (28 Nov). 

Wanita berusia 32 tahun itu dikatakan mengadakan tunjuk perasaan berhubung isu-isu di China. 

"Kami mengarahkan wanita itu untuk henti menunjuk perasaan dan dia mematuhi," menurut polis. 

Mediacorp difahamkan bahawa wanita itu dikenali sebagai @kellymilkies di wadah Twitter. Akaun tersebut yang mempunyai lebih 24,000 pengikut dan 33,500 hantaran 'tweet', memuat naik kandungan berhubung tunjuk perasaan di China sejak beberapa hari kebelakangan ini. 

Sekitar pukul 4.00 pagi pada Isnin (28 Nov), dia menghantar 'tweet'  rancangannya untuk pergi ke kedutaan China antara pukul 11.00 pagi hingga 3.00 petang. 

Pada waktu tengah hari pula, dia memuatnaik gambar-gambar dengan kertas bertulis dalam bahasa Inggeris dan Mandarin dengan kapsyen: "Saya bersendirian di luar Kedutaan China di Singapura @ 150 Tanglin Road".

Dalam satu kemas kini pada pukul 4.13 petang, dia memuat naik 'tweet' bahawa pegawai polis berada di tempatnya itu.

"Saya okay, tetapi saya tidak akan dapat akses kepada peralatan komunikasi saya buat masa ini," tambahnya. 

Pada keesokan harinya pada pukul 6.00 pagi, dia memuat naik satu lagi 'tweet' bahawa dia membuat keputusan untuk pergi ke kedutaan itu setelah "membaca/mendengar kesemua kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia di China". 

Sepanjang hujung minggu lalu, tunjuk perasaan tercetus di beberapa bandar di China, termasuk Shanghai dan Beijing, disebabkan kawalan ketat COVID-19 dan kebakaran di Xinjiang yang meragut nyawa dan dikaitkan dengan penguatkuasaan langkah-langkah sedemikian. 

PERINGATAN POLIS

Polis mengingatkan orang ramai bahawa menganjurkan atau menyertai perhimpunan awam tanpa permit polis adalah satu kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam. 

"Secara berasingan, Polis menerima pertanyaan mengenai warga asing di Singapura yang menunjukkan sokongan bagi isu-isu di China menerusi, misalnya, sepanduk," tambah SPF. 

"Warga asing yang melawat, bekerja atau menetap di Singapura tidak seharusnya membawa masuk politik negara mereka ke Singapura, dan diingatkan untuk mematuhi undang-undang kami."

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan