Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis S'pura & M'sia berkas 6 lelaki Nigeria terlibat penipuan cinta Internet

Anggaran Waktu Membaca:
 Polis S'pura & M'sia berkas 6 lelaki Nigeria terlibat penipuan cinta Internet

Gambar: Singapore Police Force

SINGAPURA: Enam lelaki diberkas di Malaysia kerana disyaki terjebak dalam penipuan cinta Internet menyusuli siasatan bersama yang dijalankan oleh Jabatan Ehwal Komersial (CAD) Singapura dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Malaysia.

Mereka dipercayai adalah sebahagian daripada dua sindiket rentas sempadan yang bertanggungjawab ke atas sekurang-kurangnya 10 kes di Singapura, membabitkan lebih S$310,000, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan medianya pada Sabtu (30 April).

Antara 22 Mac dengan 7 April tahun ini, pihak polis menerima aduan daripada dua wanita berusia 46 tahun yang mendakwa mereka menjadi mangsa penipuan cinta Internet.

Salah satu mangsa berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi mencari jodoh pada Mac 2021 dan mula menjalin hubungan dengan lelaki tersebut, menurut polis.

Lelaki itu mendakwa dirinya sebagai warga Amerika Syarikat (AS) dan bekerja di Singapura selaku seorang jurutera petroleum. Dia memberitahu mangsa bahawa dia memerlukan wang untuk membayar yuran bagi peralatan dan pelepasan kastam kerana akaun banknya kononnya sudah dibekukan.

Mangsa tersebut memindahkan sebanyak S$15,000 ke akaun bank yang diberikan oleh lelaki itu. Selepas wang itu dipindahkan, lelaki berkenaan meminta lebih banyak wang dan mangsa mula menyedari bahawa beliau sudah diperdayakan.

Hasil siasatan antara pasukan polis Singapura dan Malaysia mendapati sindiket-sindiket itu disyaki terlibat dalam kes-kes yang dilaporkan di Malaysia.

Pada 22 dan 23 April, para pegawai polis dari kedua-dua pasukan melancarkan serbuan ke atas dua apartmen di Selangor dan Kuala Lumpur.

Enam lelaki dari Nigeria diberkas di Malaysia atas pelibatan mereka dalam penipuan tersebut.

Dalam serbuan itu, komputer riba, telefon bimbit dan kad kredit turut dirampas. Pasukan Polis Singapura di Malaysia juga menemui beberapa nombor telefon bimbit Singapura dan akaun-akaun bank dalam peranti elektronik itu.

Para pegawai antipenipuan di Singapura turut melancarkan operasi untuk mencegah mangsa daripada terjerat dengan penipuan sedemikian dan bagi "mengelakkan kerugian lebih besar bagi ketiga-tiga mangsa tersebut".

Kedua-dua sindiket itu dipercayai bertanggungjawab ke atas sekurang-kurangnya 10 kes di Singapura yang melibatkan lebih S$310,000.

"Sindiket-sindiket ini kerap menggunakan akaun bank Singapura untuk menyalurkan hasil penipuan mereka. Kami akan bertindak dengan pantas bagi melucutkan hasil jenayah mereka," kata Pengarah CAD David Chew.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sejawatannya dari Malaysia atas "sokongan dan kepimpinan mereka yang padu".

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan