Skip to main content

Singapura

Polis siasat X Fitness susuli aduan gimnasium ditutup tanpa amaran

Polis pada Khamis (15 Sep) menyatakan ia sedang menyiasat penutupan dua studio kecergasan, yang menurut pelanggannya sudahpun ditutup tanpa sebarang amaran.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat X Fitness susuli aduan gimnasium ditutup tanpa amaran

Pintu masuk X Fitness di pusat beli-belah Gr.id ditutup pada 13 September 2022. (Gambar ihsan: Lynn)

Diterbitkan : 15 Sep 2022 02:53PM Dikemas Kini : 15 Sep 2022 02:55PM
SINGAPURA: Polis pada Khamis (15 Sep) menyatakan ia sedang menyiasat penutupan dua studio kecergasan, yang menurut pelanggannya sudahpun ditutup tanpa sebarang amaran.

Polis mengesahkan aduan sudahpun dibuat mengenai penutupan studio spin X Fitness di pusat beli-belah GR.iD dan jenama berkaitan, Lylos Studio, di Tekka Place.

Cawangan ketiga terletak di Pusat Sukan Hougang, menurut versi cache laman X Fitness yang kini tidak lagi berfungsi.

Seorang pelanggan yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Weiling, 26 tahun, memberitahu Mediacorp beliau menghadiri kelas spin di X Fitness sejak Julai 2021 dan pengalamannya di sana menyenangkan.

“Saya tidak terima sebarang khidmat pelanggan yang tidak memuaskan,” katanya sambil menambah bahawa jurulatihnya peramah dan harga untuk melanggani khidmat X Fitness lebih dimampui berbanding studio lain.

Cik Weiling berkata tiada sebarang tanda bahawa ada sesuatu tidak kena sehingga pada 12 September lalu apabila beliau cuba untuk membuat tempahan bagi sebuah kelas di cawangan GR.iD.

Sekitar sebulan lalu, menurut Cik Weiling, X Fitness memaklumkan kepada pelanggannya ia akan memindahkan wadah tempahan kelas dari aplikasi mudah alih yang dibangunkannya sendiri ke aplikasi aggregator seperti Mindbody.

Sewaktu tempoh pemindahan tersebut, peserta diminta supaya menempah kelas dengan menghantarkan mesej secara langsung ke akaun Instagram studio berkenaan.

Cik Weiling memberitahu Mediacorp beliau Berjaya menempah satu kelas, melalui cara itu, pada 6 September. Ia merupakan kelas terakhir yang dihadirinya di X Fitness.

Di TikTok, seorang lagi pelanggan X Fitness, Elyssa, memuat naik catatan bahawa beliau kali terakhir menghadiri kelas pada 10 September dan masih berbaki 35 kelas dalam pakej yang diambilnya.

Apabila Weiling cuba menempah sebuah kelas pada 12 September, beliau tidak dapat mencari akaun studio itu di Instagram. Beliau juga tidak dapat mencari studio itu dalam aplikasi tempahan seperti Mindbody.

Beliau kemudian menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila beliau memeriksa laman X Fitness tetapi ia tidak lagi berfungsi. Kedua-dua laman dan akaun media sosial gimnasium itu juga tidak berfungsi apabila Mediacorp memeriksanya pada petang Khamis.

Weiling kemudian membuat aduan polis pada 13 September.

Menurut wanita itu, tiada sebarang bentuk komunikasi daripada X Fitness mengenai penutupan gimnasium tersebut. Beliau sudahpun menghubungi seorang jurulatih di gimnasium itu, dikenali sebagai Alan, di Instagram, namun belum menerima sebarang balas.

Satu-satunya kemas kini dibuat oleh seorang jurulatih yang memuat naik catatan di Instagram, menyatakan beliau sedang berusaha untuk menghubungi pemilik X Fitness untuk bertanyakan apa sebenarnya yang sudah berlaku, menurut Cik Weiling.

Cik Weiling menganggarkan beliau mempunyai lagi 16 kelas untuk dihadiri daripada pakej sebanyak 20 kelas yang dibelinya pada harga S$320.

Beliau sudahpun memfailkan Tribunal Tuntutan Kecil tetapi beliau memberitahu beliau "seakan sudah berputus asa untuk mendapatkan semula wangnya".
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita