Polis siasat tuduhan salah laku oleh bekas atlet sukan layar
Polis sedang menyiasat dakwaan salah laku yang dibuat oleh seorang bekas pelayar belia di media sosial.
Pusat Pelayaran Kebangsaan di Taman East Coast. (Imej: Google Maps)
Dalam satu kenyataan pada Ahad (13 Apr), Persekutuan Pelayaran Singapura menyatakan ia dimaklumkan mengenai "tuduhan salah laku yang serius yang dimuat naik online oleh seorang bekas atlet melibatkan seorang lagi atlet".
Tuduhan itu berkaitan dengan kejadian yang berlaku pada 2022 dan 2023.
Persekutuan itu menambah ia sudah pun membuat aduan bersama polis dan Suruhanjaya Sukan Selamat pada 7 April "bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan yang diperlukan dan menyediakan sokongan sewajarnya".
Menjawab pertanyaaan Mediacorp, polis mengesahkan pada Isnin bahawa satu aduan dibuat dan siasatan masih dijalankan.
Dalam satu siri catatan Instagram Stories, bekas atlet itu, yang merupakan individu bawah umur apabila insiden tersebut berlaku, mendakwa beliau dicabul oleh seorang rakan sepasukan pada 2022 semasa beliau merupakan atlet bersama Pusat Pelayaran Kebangsaan.
Persekutuan itu menyatakan ia komited kepada Kod Bersatu Sukan Selamat dan "mengekalkan sekitaran sukan yang bebas daripada segala bentuk gangguan".
Dilancarkan pada November 2021, kod tersebut menyenaraikan garis panduan seluruh industri berhubung apa yang dianggap sebagai salah laku seksual, fizikal dan psikologi dan tingkah laku lain yang tidak wajar.
"Memandangkan perkara ini di bawah siasatan pihak berkuasa, kita tidak boleh mengulas lebih lanjut," menurut persekutuan tersebut.
"Kami menggesa orang awam supaya menghormati privasi semua pihak yang terlibat dan elakkan daripada membuat sebarang spekulasi sementara proses perundangan dijalankan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.