Skip to main content

Singapura

Polis siasat tiga kes pegawai jarak selamat, kapten bas didakwa jadi mangsa hamburan kata kesat

Polis sedang menyiasat tiga kejadian berasingan di mana kapten bas serta pegawai jarak selamat yang sedang menjalankan tugas masing-masing menjadi mangsa hamburan kata kesat.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat tiga kes pegawai jarak selamat, kapten bas didakwa jadi mangsa hamburan kata kesat

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 12 May 2021 10:59PM Dikemas Kini : 12 May 2021 11:01PM

SINGAPURA: Polis sedang menyiasat tiga kejadian berasingan di mana kapten bas serta pegawai jarak selamat yang sedang menjalankan tugas masing-masing menjadi mangsa hamburan kata kesat.

Dalam satu kenyataan pada Rabu (12 Mei), polis menyatakan enam lelaki yang terbabit dalam kejadian itu masih disiasat kerana tidak mematuhi langkah jarak selamat.

Dalam kalangan mereka, tiga dipercayai menampilkan tingkah laku kasar seperti melemparkan kata-kata kesat terhadap pegawai awam atau pekerja khidmat awam, menurut polis.

"Siasatan awal mendapati dalam ketiga-tiga kes, semua individu itu dipercayai tidak memakai pelitup atau tidak memakai pelitup dengan betul apabila dinasihati supaya berbuat demikian," menurut polis.

Kejadian tersebut berlaku sepanjang dua hari.

Pada 30 April, polis mengendalikan kes di Blok 6 Jalan Bukit Merah membabitkan tiga pegerai lelaki berusia 26, 27 dan 37 tahun, yang didakwa enggan memakai pelitup dengan betul meskipun berkali-kali disuruh berbuat demikian oleh seorang pegawai penguatkuasaan jarak selamat dan dua duta jarak selamat.

Salah seorang daripada mereka didakwa menghamburkan kata-kata kesat terhadap kakitangan jarak selamat berkenaan, menurut polis.

Dalam kejadian kedua yang berlaku pada 1 Mei, polis dipanggil ke sebuah tempat perhentian bas di Serangoon Road setelah dua penumpang lelaki berusia 57 dan 65 tahun dikatakan enggan mematuhi arahan kapten bas dan inspektor bas supaya memakai pelitup dengan betul.

Lelaki berusia 57 tahun itu juga didakwa melemparkan kata-kata kesat dan membuat isyarat tangan menghina ke arah kapten bas tersebut, menurut polis.

"Memandangkan tindakannya dipercayai mencetuskan kekecohan dan menyebabkan gangguan terhadap khidmat bas itu, lelaki tersebut diberkas kerana menyebabkan gangguan kepada orang awam," mereka menambah.

Dalam satu lagi kes yang berlaku pada hari yang sama, polis dimaklumkan tentang satu kejadian di Orchard Road membabitkan seorang penumpang lelaki berusia 64 tahun yang dikatakan tidak mahu memberi kerjasama dan meninggikan suaranya terhadap seorang kapten bas apabila disuruh memakai pelitup dengan betul.

Polis menasihatkan orang ramai supaya memandang serius peraturan jarak selamat. Ia memberi amaran pesalah akan ditangani dengan tegas.

Mereka yang didapati bersalah menghambur kata-kata kesat terhadap seorang pegawai awam atau pekerja khidmat awam boleh dikenakan denda sehingga S$5,000, penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang didapati bersalah menyebabkan gangguan terhadap orang awam boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sesiapa yang didapati tidak memakai pelitup atau memakainya dengan betul apabila berada di luar boleh didenda sehingga S$10,000, dihukum penjara sehingga enam bulan atau kedua-dua hukuman itu.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita