Polis siasat rencana TOC berhubung jawapan parlimen mengenai warga SG berkhidmat dalam IDF
Polis sedang menyiasat rencana The Online Citizen (TOC) mengenai rakyat Singapura yang dipercayai berkhidmat dalam Angkatan Pertahanan Israel (IDF) bagi menentukan jika terdapat potensi melakukan kesalahan jenayah daripada kenyataan yang dibuat dalam rencana itu.
Terry Xu dari The Online Ctiizen dan logo halaman TOC. (Gambar fail: TODAY/Aaron Low, Facebook/The Online Citizen)
Encik Terry Xu dan penerbit TOC juga telah dikenakan arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA), menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan pada Khamis (26 Mac).
Encik Xu serta syarikat Miao Yi Infotech yang berpangkalan di Taiwan, yang menerbitkan rencana-rencana TOC, dikehendaki menerbitkan notis pembetulan berkaitan rencana atau catatan asal itu, dengan pautan kepada penjelasan daripada pihak pemerintah.
Antara lain, rencana yang diterbitkan pada 5 Mac itu mendakwa Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam sengaja memberikan jawapan tidak lengkap kepada soalan-soalan di parlimen dan Singapura belum mengambil tindakan terhadap dua rakyat Singapura atas hubungan mereka dengan Israel.
Dalam kenyataannya, MHA menarik perhatian kepada beberapa fakta tidak tepat dalam rencana TOC itu.
Pertama, rencana itu menyatakan Encik Shanmugam sengaja memilih untuk memberikan jawapan tidak lengkap kepada soalan-soalan di parlimen mengenai dua warga Singapura yang dipercayai berkhidmat dalam IDF semasa konflik Gaza.
Ia juga mendakwa pemerintah Singapura mempunyai maklumat untuk bertindak, termasuk mengenal pasti maklumat dua rakyat Singapura yang dipercayai berkhidmat dalam IDF semasa konflik Gaza, sambil menarik perhatian kepada permohonan rasmi mereka kepada Israel.
Ia juga menyatakan pemerintah sudahpun mengenal pasti kedua-dua warga Singapura itu tetapi memilih untuk tidak mendedahkan identiti mereka.
Rencana TOC itu juga mendakwa pemerintah tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kedua-dua warga Singapura itu disebabkan oleh hubungan diplomatik Singapura dan hubungan pertahanan serta perisikan dengan Israel.
Rencana itu turut mendakwa arahan POFMA tidak dikeluarkan "berhubung sumber" yang menyatakan dua warga Singapura berkhidmat dalam IDF semasa konflik Gaza kerana kenyataan itu adalah benar.
Artikel yang diterbitkan pada 11 Februari oleh Declassified UK menerbitkan data yang dipercayai diperoleh daripada IDF, membayangkan bahawa terdapat dua pemegang pasport Singapura dalam kalangan individu yang memiliki dua atau lebih kerakyatan yang berkhidmat dalam IDF semasa konflik Gaza.
FAKTA KES
Pemerintah Singapura tidak mempunyai sebarang maklumat yang sah setakat ini bahawa terdapat rakyat Singapura berkhidmat dalam IDF semasa konflik Gaza, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Pada 5 Mac lalu, Encik Shanmugam menjawab tiga soalan di Parlimen berkaitan dakwaan tersebut.
Dalam jawapannya, beliau berkata MHA tidak mempunyai sebarang maklumat yang boleh mengesahkan bahawa kedua-dua rakyat Singapura itu pernah berkhidmat, atau sedang berkhidmat dalam IDF.
Beliau juga berkata pemerintah sudahpun menghubungi pemerintah Israel untuk mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan tersebut, tetapi tidak menerima sebarang respons.
Setakat ini, selain daripada maklumat yang diterbitkan oleh Declassified UK, pemerintah tidak mempunyai maklumat bahawa terdapat rakyat Singapura berkhidmat dalam IDF semasa konflik di Gaza, tegas MHA.
Kementerian itu juga menyatakan bahawa artikel tersebut tidak memberikan sebarang butiran atau maklumat yang boleh mengesahkan identiti kedua-dua rakyat Singapura itu.
"Pemerintah tidak mempunyai maklumat mengenai kesahihan dakwaan ini, mahupun mengenai identiti dua rakyat Singapura yang dipercayai berkhidmat dalam IDF, dan oleh itu membuat permintaan kepada pemerintah Israel untuk mendapatkan maklumat.
"Pemerintah tidak menerima respons daripada pemerintah Israel setakat ini," menurut MHA.
"Oleh itu, adalah tidak benar untuk membayangkan bahawa Menteri sengaja memilih untuk memberikan jawapan yang tidak lengkap kepada soalan-soalan bertulis di Parlimen. Jawapan beliau kepada soalan-soalan bertulis diberikan berdasarkan semua maklumat yang ada padanya."
Ia juga tidak benar untuk mencadangkan bahawa pemerintah mempunyai maklumat khusus selain daripada artikel Declassified UK untuk bertindak, atau ia dapat mengenal pasti dua rakyat Singapura tersebut.
MHA juga menyatakan tanpa maklumat lanjut, pemerintah tidak dapat menilai sama ada artikel Declassified UK mengandungi fakta yang palsu.
Hakikatnya, tiada tindakan diambil di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA).
"Oleh itu adalah tidak benar untuk mencadangkan bahawa pemerintah tidak mengeluarkan arahan di bawah POFMA berkenaan artikel Declassified UK kerana dakwaan itu seolah-olah benar.
"Rakyat Singapura yang didapati terlibat dalam peperangan atau merancang untuk berperang dalam konflik bersenjata di luar negara, tanpa mengira punca atau pihak yang mereka sokong, akan dikendalikan dengan tegas mengikut undang-undang kita, termasuk di bawah ISA jika mereka didapati menjadi ancaman kepada keselamatan negara kita," kata MHA.
Kementerian itu menambah bahawa beberapa rakyat Singapura ditahan atau dikenakan perintah sekatan atas alasan sedemikian pada masa lalu.
Ia juga adalah palsu untuk mencadangkan bahawa pemerintah tidak mengambil sebarang tindakan terhadap dua rakyat Singapura tersebut disebabkan oleh hubungan Singapura dengan Israel, menurut MHA.
"TOC mempunyai rekod prestasi yang berulang kali menyebarkan kepalsuan," kata MHA.
Pada Julai 2025, laman web dan halaman media sosial TOC diklasifikasikan sebagai Lokasi Online yang Diisytiharkan (DOL) buat kali kedua.
Ini adalah arahan pembetulan ke-25 yang dikeluarkan terhadap Encik Xu dan TOC, menurut MHA.
"Orang ramai digalakkan supaya berwaspada apabila berinteraksi dengan maklumat yang diterbitkan di platform TOC dan Heidoh," tegas pemerintah di laman web Factually pada 26 Mac.
Semakan oleh Mediacorp menunjukkan bahawa menjelang petang Khamis, TOC sudah memasukkan notis pembetulan pada artikel tersebut di laman webnya bersama halaman Facebook dan Instagramnya.
MHA juga mengulangi bahawa kes yang melibatkan pasangan bapa dan anak yang menjadi sukarelawan dengan Sar-El, sebuah pertubuhan yang dikaitkan dengan IDF, tiada kaitan dengan laporan Declassified UK.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.