Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis siasat platform e-dagang Qoo10 kerana lambat lunas bayaran kepada vendor

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat platform e-dagang Qoo10 kerana lambat lunas bayaran kepada vendor

Gambar: Qoo10 Singapore/LinkedIn

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang menyiasat platform e-dagang Qoo10 yang berpangkalan di Singapura, selepas peniagaan tempatan itu lambat melunaskan bayaran kepada vendornya. Ia menyebabkan beberapa vendor mendapatkan bantuan daripada tribunal tuntutan.

Tanda-tanda Qoo10 sedang mengalami masalah timbul pada Julai lalu apabila dua platformnya yang berpangkalan di Seoul gagal melunaskan bayaran kepada peniaga di Korea Selatan. Dua platform itu, TMON dan WeMakePrice, kemudian membuat permohonan di Mahkamah Muflis Seoul bagi pemulihan korporat.

Pihak berkuasa kewangan Korea Selatan telah melancarkan siasatan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, SPF menyatakan pada Khamis (12 Sep) bahawa pihaknya telah menerima laporan terhadap Qoo10 dan siasatan sedang dijalankan.

Encik Liu Wei Go, seorang vendor yang menggunakan Qoo10 sejak 2014 untuk menjual produk bayi dan baju hamil, adalah antara mereka yang membuat laporan polis selepas berdepan dengan masalah lambat menerima bayaran.

Menurut Encik Liu, ia biasanya mengambil dua hingga tiga minggu bagi pembayaran sampai kepadanya, tetapi sudah hampir dua bulan sejak dia meminta untuk mengeluarkan hasil jualan bernilai sekitar S$21,000 (AS$16,100) daripada akaun penjual Qoo10nya.

Permintaan tersebut dibuat pada 19 Julai, dan tarikh akhir bagi wang tersebut untuk dilunaskan ialah pada 5 Ogos. Permintaannya bagi bayaran selepas itu juga masih belum sampai ke dalam akaun banknya.

Daripada 11 vendor Qoo10 yang dihubungi Mediacorp, lapan daripadanya mengesahkan masih menunggu bayaran dari platform e-dagang itu.

Bayaran yang tertunggak berjumlah antara ratusan hingga ribuan dolar.

PERNIAGAAN HENTI JUAL DI QOO10

Qoo10 merupakan salah satu platform e-dagang yang pertama di Singapura apabila beli-belah online menjadi semakin popular.

Di lamannya, Qoo10 menggambarkan dirinya sebagai pasaran sehenti online yang terunggul di Asia, yang mengelolakan lima pasaran di rantau ini.

Dengan masalah itu berterusan, beberapa vendor - besar dan kecil - telah menarik keluar produk daripada platform tersebut.

Ia termasuk jenama popular seperti peruncit minuman segera Gold Kili. Seorang pekerja berkata syarikat itu memutuskan untuk tidak meneruskan perkhidmatannya di Qoo10 akibat "pertikaian", sekalipun dia enggan menyatakan jenis pertikaian itu.

PENGURUS AKAUN LETAK JAWATAN

Ini bukan pertama kali pedagang Qoo10 berdepan dengan masalah kelengahan dalam pembayaran.

Vendor yang dihubungi Mediacorp berkata mereka cuba menghubungi syarikat itu melalui e-mel, namun hanya menerima respons generik tanpa petunjuk jelas bila pembayaran akan dibuat.

Isu itu telah mendorong Anggota Parlimen dari Parti Pekerja Louis Chua memfailkan soalan parlimen sama ada pihak berkuasa Singapura sedang menyiasat perkara itu.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berkata pada Selasa bahawa pemerintah menerima maklum balas daripada beberapa peniaga mengenai pembayaran ang lambat dilunaskan.

"Kami telah membawa kes ini kepada perhatian Qoo10 dan meminta mereka mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu lambat bayar dengan peniaga yang terjejas," katanya.

"Pemerintah juga memantau dengan rapi perkembangan di Korea Selatan mengenai anak syarikat Qoo10 dan berhubung dengan Qoo10 untuk menilai sama ada dan bagaimana ini boleh menjejaskan operasinya di Singapura."

Qoo10 tidak membalas e-mel Mediacorp untuk mendapatkan ulasan. Panggilan ke nombor pejabatnya tidak dijawab.

Platform berita Mandarin Channel 8 baru-baru ini melaporkan bahawa Qoo10 telah memberhentikan 80 peratus kakitangannya pada pertengahan Ogos.

Pasukan Petugas bagi Pemberhentian Bertanggungjawab dan Pengendalian Pekerjaan Kementerian Tenaga Manusia menyatakan pada 28 Ogos lalu bahawa pihaknya sedang memantau pemberhentian kerja itu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan