Polis siasat pertikaian antara sekumpulan pengayuh basikal dengan pemandu teksi di Middle Road
Tangkapan skrin daripada sebuah video yang dimuat naik di halaman Facebook SG Road Vigilante, yang menunjukkan kumpulan penunggang basikal itu mengelilingi teksi berkenaan dan bersemuka dengan pemandu teksi tersebut. (Gambar: Facebook/SG Road Vigilante)
Menjawab pertanyaan Mediacorp, polis menyatakan pihaknya menerima panggilan meminta bantuan di persimpangan Victoria Street dengan Middle Road pada sekitar 8.30 pagi pada Sabtu.
Dalam rakaman video yang dimuat naik dalam kumpulan Facebook SG Road Vigilante, lima pengayuh basikal itu kelihatan berada di lorong tengah dan kiri jalan raya tiga lorong, di belakang sebuah teksi berwarna biru.
Teksi itu kemudian berhenti secara mendadak di lampu trafik tersebut, dengan jaraknya sejauh sebuah kereta daripada kenderaan di hadapan teksi itu.
Namun, ia nyaris menyebabkan salah seorang daripada pengayuh basikal terlibat merempuh bahagian belakang teksi berkenaan. Berikutan insiden tersebut, kumpulan penunggang basikal itu dilihat mengelilingi teksi berkenaan dan bersemuka dengan pemandu teksi tersebut.
Dalam rakaman video berasingan, yang dirakam oleh salah seorang daripada pengayuh basikal itu, kedua-dua pihak dilihat saling menghamburkan kata-kata kesat terhadap satu-sama lain sepanjang pertikaian tersebut.
Seorang pengayuh basikal kedengaran bertanya kepada pemandu teksi tersebut tentang sebab beliau menekan brek secara tiba-tiba.
Pemandu teksi itu sebaliknya menghamburkan kata-kata kesat kepada kumpulan pengayuh basikal tersebut, sebelum menolak mereka dan bergegas ke hadapan kenderaannya.
Seorang pengayuh basikal yang berpakaian kelabu kemudian dilihat terjatuh dengan basikalnya.
Pihak polis menyatakan seorang lelaki berusia 41 tahun mengalami kecederaan ringan tetapi enggan dibawa ke hospital.
Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), peraturan-peraturan jalan raya bagi pengayuh basikal adalah, mereka mesti berbasikal sedekat mungkin ke kiri jalan raya agar lalu lintas boleh memintas mereka dengan selamat.
Pada Januari 2022, LTA memperkenalkan peraturan baru agar pengayuh basikal berkumpulan berada dalam satu deretan maksimum 5 orang atau 10 orang jika dalam dua barisan.
Siasatan masih dijalankan.
Mediacorp sudahpun menghubungi ComfortDelGro untuk mengulas mengenai insiden berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.