Polis siasat pemandu di kondominium Sin Ming hambur kata kesat terhadap pegawai keselamatan gara-gara kereta dikapit
Anggaran Waktu Membaca:

(Gambar: Facebook/Stomp, Union of Security Employees)
SINGAPURA: Polis menyatakan pada Selasa (11 Apr) bahawa pihaknya sedang menyiasat satu insiden yang berlaku di sebuah kondominium di Sin Ming, di mana seorang lelaki dilihat menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai keselamatan.
Gara-gara marah keretanya dikapit, lelaki itu mengherdik pegawai tersebut sambil menuntut kapit roda dilepaskan.
Kesatuan Pekerja Keselamatan (USE), yang menyaksikan insiden berkenaan menerusi rakaman kamera tubuh, menyatakan ia "jelas menunjukkan" lelaki itu memukul panel kaca di pondok pengawal dan menggunakan kata-kata kesat dan menghina.
Menurut kesatuan tersebut, kenderaan itu didapati diletakkan secara haram di kawasan bagi penduduk memandangkan dia tidak mempunyai pelekat penduduk.
Selepas meletakkan notis bertulis di kenderaan tersebut dan berusaha beberapa kali untuk menghubungi pemandu itu, seorang pegawai keselamatan memasang kapit roda pada kereta itu, kata kesatuan tersebut dalam satu catatan di Facebook pada Selasa.
Ia menambah bahawa lelaki itu mendakwa dia memiliki beberapa unit di kondominium tersebut dan lantas, boleh meletakkan keretanya di tempat tersebut meskipun dia tidak mempunyai pelekat penduduk.
Insiden berkenaan berlaku pada 3 April lalu di kondominium Thomson Grand di Sin Ming Walk. Ia mendapat perhatian ramai setelah seorang penduduk berkongsi video tersebut dengan akhbar bahasa Mandarin Shin Min Daily News, yang pertama melaporkan insiden tersebut.
Seorang lelaki dapat didengar menerusi video tersebut dengan berkata: "Anak lelaki aku habis sekolah pada 1.30 tengah hari ... oleh sebab orang seperti kau, aku tidak boleh jemput anak aku."
"Kau hanya nak susahkan hidup orang lain," tambahnya. "Kau semua sangat miskin, sampai lebih baik mati."
Polis menyatakan pihaknya menerima panggilan meminta bantuan pada sekitar 1.10 tengah hari pada 3 April.
"Tiada kecederaan dilaporkan. Siasatan polis masih dijalankan," tambah polis.
KESATUAN KUTUK PENGANIAYAAN
USE menekankan bahawa ia "mengutuk keras" tindakan penganiayaan sedemikian.
Wakil kesatuan pada Selasa melawat pegawai keselamatan tersebut, yang hanya dikenali sebagai Lydia, serta pengurus operasinya di kondominium itu.
"Penyelia Keselamatan Kanan Lydia dan pengurus operasi Derrick hanya menjalankan tugas mereka, yang termasuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan meletak kereta secara haram. Apa yang dilakukan penganiaya tersebut tidak perlu sama sekali, dan penghinaan peribadi mengguris hati dan mengejutkan," tegas kesatuan tersebut di Facebook.
Ia menambah bahawa pihaknya akan membantu kedua-dua mereka dalam melaporkan perkara tersebut kepada polis.
Sumber : CNA/SS/ss
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.