Polis siasat operasi tidak berdaftar Pusat Quran FR diasaskan Fahrorazi
SPF sedang menjalankan siasatan ke atas Pusat Quran FR dan pemilik tunggalnya, seorang lelaki 64 tahun, kerana beroperasi sebagai sekolah agama tidak berdaftar.
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang menjalankan siasatan ke atas Pusat Quran FR (FRQC) dan pemilik tunggalnya, seorang lelaki 64 tahun, kerana beroperasi sebagai sekolah agama tidak berdaftar.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis (28 Jan), polis mengesahkan bahawa ia menerima laporan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengenai pusat tersebut.
Menurut polis lagi, pusat itu juga didakwa menggunakan khidmat seorang lelaki berusia 49 tahun untuk mengajar agama meskipun tidak berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).
Siasatan ke atas kesalahan-kesalahan di bawah Undang-Undang 5 Akta Pentadbiran Hukum Islam (Sekolah Agama Islam) Undang-Undang 2016 sedang dijalankan.
Polis juga akan merujuk kepada MUIS dari aspek agama berkenaan kes ini.
MUIS KELUARKAN ARAHAN PENUTUPAN PADA APRIL 2019
Dalam satu kenyataan berasingan pada Khamis, MUIS menyatakan bahawa ia sudah mengeluarkan Arahan Penutupan kepada pemilik Pusat Quran FR, Osman Sarkam pada 24 April 2019.
Pusat yang terletak di 37 Onan Road itu diasaskan oleh Fahrorazi Sohoi.
Arahan itu dikeluarkan menyusuli laporan polis yang dibuat MUIS pada 26 Mac 2019.
Arahan Penutupan itu dikeluarkan kerana operasinya dijalankan sebagai sebuah sekolah agama tidak berdaftar.
Pusat itu sudah ditutup selepas Arahan Penutupan dikeluarkan oleh MUIS.
MUIS menambah, Fahrorazi, 49 tahun juga mengajar di pusat tersebut sedangkan dia tidak berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).
Di bawah Undang-Undang 5 AMLA (Sekolah Agama Islam), seseorang tidak boleh mengendalikan sekolah agama kecuali setelah berdaftar dengan MUIS. Kegagalan mematuhi undang-undang tersebut adalah satu kesalahan.
PENJELASAN MUIS
Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp tentang kenyataan yang baru dikeluarkan kini menyusuli laporan polis pada 26 Mac 2019,
MUIS menjelaskan bahawa ia perlu bekerjasama dengan beberapa agensi berkenaan seperti Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan SPF memandangkan Fahrorazi Sohoi mempunyai kes-kes yang sedang dibicarakan di Mahkamah Negara ketika itu.
Pada Ogos 2018, Fahrorazi didakwa di mahkamah atas kesalahan kes penipuan Haji.
Bagaimanapun, dalam bulan Oktober 2019, dia diberi pelepasan tetapi tidak membawa kepada pembebasan (DNATA) di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam tahun 2019 juga, Fahrorazi didakwa atas pertuduhan menganjurkan perhimpunan awam tanpa permit yang dikenakan ke atasnya.
Para Rabu (27 Jan), Fahrorazi dikenakan denda S$2,000 setelah mengaku bersalah menganjurkan perhimpunan awam yang menarik sekitar 400 orang tanpa permit polis di bawah Aktra Ketenteraman Awam (POA).
Siasatan ke atas Fahrorazi yang dijalankan sekarang kerana dia didapati mengajar tanpa ARS dan mengendalikan sebuah sekolah agama tidak berdaftar.
CARI SEKOLAH, GURU BERDAFTAR ARS
MUIS menasihatkan masyarakat Islam setempat agar mendapatkan pembelajaran dan panduan agama daripada para guru yang berdaftar di bawah ARS dan sekolah agama yang berdaftar di bawah AMLA.
Senarai guru dan sekolah agama yang berdaftar boleh diperolehi menerusi laman pencarian guru ARS dan penyedia dan pusat pendidikan agama.
ARS diwajibkan sejak bulan Januari 2017 untuk mengekalkan piawai tinggi ke atas para guru agama dalam sektor pendidikan Islam serta memastikan masyarakat Islam menerima panduan agama yang sesuai mengikut konteks Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.