Polis siasat lelaki lari ke arah kereta di Serangoon North, jatuh walhal tidak dilanggar
(Gambar: Tangkapan skrin video Beh Chia Lor - Singapore Road/Facebook)
SINGAPURA: Polis sedang menyiasat seorang lelaki berusia 29 tahun kerana disyaki terlibat dalam satu kes tindakan melulu. Ini selepas lelaki itu dilihat, dalam sebuah video tular, berlari ke arah sebuah kereta yang sedang bergerak dan jatuh ke jalan raya walaupun dia tidak dilanggar.
Dalam satu kenyataan media pada Sabtu (1 Okt), Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan ia menerima aduan daripada seorang wanita yang berkata beliau sedang memandu di Serangoon North Ave 5 pada Isnin (26 Sep) apabila seorang lelaki dikatakan meluru keluar ke jalan raya itu di hadapan keretanya dan jatuh meskipun tidak berlaku sebarang pelanggaran.
Wanita itu membuat aduan polis pada Selasa (27 Sep).
"Siasatan awal mendedahkan bahawa lelaki tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan akibat insiden itu, tidak meminta sebarang wang daripada wanita berkenaan dan berlalu pergi selepas insiden tersebut," menurut SPF.
"Polis sedang menyiasat lelaki itu atas tindakan melulu."
Dalam satu rakaman video daripada kamera kenderaan, yang dimuat naik ke halaman Facebook Beh Chia Lor - Singapore Road, seorang lelaki dilihat berdiri di tepi jalan raya sebelum meluru keluar sedang sebuah kereta menghampiri.
Pemandu itu menekan brek dan lelaki berkenaan jatuh ke jalan raya walaupun tidak dilanggar. Dia kemudian bergerak-gerak di jalan raya sebelum bangun untuk duduk.
Pemandu itu boleh didengar berkata: "Apa yang sedang anda lakukan?"
Sesiapa yang didapati bersalah melakukan tindakan melulu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda sehingga S$2,500 atau kedua-duanya sekali.
"Polis tidak bertolak ansur terhadap kelakuan yang membahayakan kehidupan atau keselamatan orang lain dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang mengancam keselamatan awam," tekan SPF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.