Skip to main content

Singapura

Polis siasat lelaki disyaki guna syarikat palsu untuk elak bayar sewa rumah

Polis sedang menyiasat seorang lelaki kerana disyaki melakukan penipuan dengan menggunakan syarikat palsu bagi mengelakkan pembayaran sewa rumah di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat lelaki disyaki guna syarikat palsu untuk elak bayar sewa rumah

Rumah di Kembangan yang disewa syarikat Noranth Ventures untuk Anthony Thomas Price dan keluarganya. (Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 04 Nov 2026 11:44AM
Police investigate man suspected of using a fake company to avoid paying rent for a house
  • Police, the Official Assignee and ACRA are investigating American national Anthony Thomas Price over alleged use of a fake company to rent a house in Singapore without paying rent.
  • In a judgment on Oct 7, the court found a pattern of this conduct. Noranth Ventures was ordered to vacate a house in Kembangan and pay the rental arrears after paying only the first month’s rent.
  • The case involved a house rented for S$7,500 a month and its owners, an elderly couple, who took action after rent payments stopped. The court rejected the company’s attempt to prevent the repossession of the house.
  • The court also identified two other houses in Siglap and Jalan Selamat that were rented between 2019 and 2024. Investigations and certain proceedings are still ongoing, and Murali stressed that no conclusion has been reached that an offence was committed.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Polis sedang menyiasat seorang lelaki kerana disyaki melakukan penipuan dengan menggunakan syarikat palsu bagi mengelakkan pembayaran sewa rumah di Singapura.

Menteri Negara Kanan bagi Undang-Undang Murali Pillai mendedahkan perkara itu di Parlimen pada Rabu (4 Nov), selepas mahkamah mendapati lelaki tersebut mempunyai corak menggunakan syarikat palsu untuk menduduki beberapa hartanah kediaman tanpa membayar sewa.

Lelaki warga Amerika Syarikat itu, Anthony Thomas Price, sebelum ini menggunakan beberapa syarikat palsu untuk menyewa rumah bertanah bagi dirinya dan keluarganya.

Encik Murali berkata Pegawai Penerima Rasmi turut sedang menyiasat kemungkinan berlaku kesalahan menjalankan perniagaan secara menipu dan perdagangan salah.

Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA) pula sedang meneliti kemungkinan pelanggaran Akta Syarikat oleh entiti dan individu yang terlibat.

Individu yang didapati bersalah melakukan penipuan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, serta denda atau sebatan, atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, Encik Murali menegaskan siasatan masih dijalankan dan kenyataannya tidak seharusnya dianggap sebagai kesimpulan bahawa sebarang kesalahan sudah dilakukan.

MAHKAMAH DAPATI CORAK ELAK BAYAR SEWA

Kenyataan Encik Murali dibuat sebagai menjawab pertanyaan Parlimen mengenai penggunaan syarikat palsu untuk menyewa hartanah kediaman tanpa membayar sewa.

Dalam penghakiman bertarikh 7 Oktober, mahkamah mendapati Encik Price mempunyai corak menggunakan syarikat palsu untuk menduduki rumah tanpa membayar sewa.

Sebuah syarikat yang digunakannya, Noranth Ventures, diarahkan menyerahkan semula sebuah rumah bertanah di Kembangan kepada pemiliknya serta membayar tunggakan sewa dan jumlah lain yang ditetapkan mahkamah.

Rumah tersebut disewa pada kadar S$7,500 sebulan bagi tempoh dari Mei 2026 hingga April 2028.

Bagaimanapun, syarikat itu hanya membayar sewa bagi bulan pertama sebelum gagal membuat bayaran seterusnya.

Pemilik rumah, sepasang warga emas berusia lingkungan 80-an tahun, kemudian mengambil tindakan undang-undang.

Mahkamah menolak tuntutan syarikat tersebut untuk menghalang pemilik daripada mengambil semula rumah berkenaan.

Hakim Daerah Chiah Kok Khun mendapati Encik Price menggunakan syarikat palsu sebagai sebahagian daripada rancangan yang disengajakan untuk menduduki rumah tanpa membayar sewa.

KES SEWAAN LAIN TURUT DIKENAL PASTI

Mahkamah turut mendapati Encik Price menggunakan syarikat palsu untuk menyewa 2 lagi rumah bertanah antara 2019 dengan 2024.

Salah satu kes melibatkan sebuah rumah di Siglap, yang diduduki Encik Price dan keluarganya tanpa membayar sewa selama hampir 12 bulan.

Prosiding mahkamah bagi kes tersebut masih berjalan setakat Oktober.

Satu lagi kes melibatkan sebuah rumah di Jalan Selamat, Kembangan, yang disewa menggunakan Noranth Ventures.

Pertikaian berhubung rumah tersebut sudah diselesaikan.

Dalam penghakimannya, Hakim Chiah menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan syarikat palsu dengan modal berbayar yang rendah untuk menyewa hartanah kediaman.

Siasatan polis dan pihak berkuasa berkaitan masih diteruskan.

Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita