Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis siasat lelaki 62 tahun tumbuk warga Bangladesh; suka ganggu pekerja pembersihan

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat lelaki 62 tahun tumbuk warga Bangladesh; suka ganggu pekerja pembersihan

(Gambar: Tangkapan skrin daripada video Instagram/Tin Pei Ling)

Diterbitkan : 10 Mar 2023 11:43PM Dikemas Kini : 10 Mar 2023 11:45PM
SINGAPURA: Seorang pekerja pembersihan berusia 20 tahun di MacPherson dipercayai ditumbuk di bahagian dada oleh seorang lelaki yang dituduh menganggu pekerja-pekerja majlis bandaran tersebut buat beberapa kali.

Demikian menurut Anggota Parlimen (AP) Tin Pei Ling.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, polis menyatakan pada Jumaat (10 Mac) bahawa pihaknya menerima panggilan meminta bantuan berhubung insiden tersebut, yang berlaku di Blok 88 Circuit Road, sekitar pukul 11.30 pagi pada Khamis (9 Mac).

Polis menyatakan bahawa seorang lelaki berusia 62 tahun terlibat dalam insiden berkenaan. Siasatan masih sedang dijalankan.

Cik Tin, AP bagi SMC MacPherson, memuat naik sebuah video ke akaun Instagramnya pada lewat petang Khamis untuk meningkatkan kesedaran mengenai insiden yang dipercayai berlaku itu.

Dalam hantarannya, Cik Tin dilihat berada di sisi seorang pekerja, Encik Babul, 48 tahun, yang berkata bahawa anak lelakinya, Encik Ahammed Siyam, 20 tahun, dipercayai ditumbuk seorang lelaki yang berkemungkinan besar dalam keadaan mabuk. Pasangan bapa dan anak tersebut berasal dari Bangladesh.

"Lelaki ini, yang berkemungkinan mabuk, kemudian memutuskan untuk memburu salah seorang daripada pekerja pembersihan yang lain dan menumbuknya di bahagian dada," kata Cik Tin.

Beliau menambah, Encik Babul, penyelia di tempat kerja, dan anaknya sudah bekerja bersama untuk Majlis Bandaran Marine Parade selama beberapa tahun.

Insiden tersebut dipercayai berlaku sekitar jam 11.00 pagi pada Khamis di kolong Blok 87 Circuit Road, kata pengarah urusan NRT Trading and Engineering Sakthivelan Nararajah kepada akhbar The Straits Times pada Jumaat.

Encik Sakthivelan, yang merupakan pengurus Encik Siyam, mengendalikan sebuah syarikat yang diberi kontrak oleh Majlis Bandaran Marine Parade.
Dalam video Cik Tin itu, Encik Babul berkata anaknya ditumbuk oleh lelaki tersebut secara tiba-tiba ketika beliau sedang berjalan di estet tersebut. Anaknya itu sudah berjumpa dengan doktor berikutan serangan tersebut.

Encik Sakthivelan menarik perhatian bahawa lelaki tersebut sudah menganggu dua lagi pekerja pembersihan lain sejak Oktober tahun lalu tetapi polis tidak terlibat sebelumnya kerana insiden tersebut tidak bertukar menjadi ganas.

Beliau menambah lelaki berkenaan sering kali mengambil minuman keras di sekitar estet tersebut dan akan menghamburkan kata-kata kesat terhadap para pekerja pembersihan.

Cik Tin menekankan dalam hantaran videonya itu bahawa pekerja-pekerja tersebut, yang membantu untuk membersihkan kawasan MacPherson, berhak dihormati. Beliau juga menyuarakan harapan agar insiden sedemikian dapat dicegah daripada berulang pada masa depan.

Dalam satu catatan Facebook pada Jumaat, Kesatuan Pekerja Pembinaan Bangunan dan Industri Kayu (BATU) mengutuk serangan tanpa provokasi yang dipercayai berlaku ke atas Encik Siyam.

Batu mengingatkan masyarakat awam supaya bersikap bertimbang rasa dan menghormati kerja-kerja yang dilakukan golongan pekerja pembersihan.

Batu turut menggesa pihak berkuasa agar menunjukkan isyarat jelas bahawa kelakuan seumpama itu tidak akan ditolak ansur sama sekali.

Dalam hantaran Facebook seterusnya, Batu menyatakan bahawa pegawainya bersama-sama dengan Datuk Bandar CDC Tenggara Fahmi Aliman melawat pekerja-pekerja pembersihan tersebut dan memberikan pek kebajikan kepada mangsa.

Di bawah Perlindungan daripada Akta Gangguan, mereka yang didapati bersalah menganggu pekerja perkhidmatan awam ketika mereka melaksanakan tugasan boleh berdepan dengan hukuman penjara sehingga 12 bulan, denda tidak melebihi S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan