Skip to main content

Singapura

Polis siasat kumpulan Telegram, halaman Tumblr kongsi gambar lucah budak perempuan & wanita S'pura

Polis sedang menyiasat beberapa kumpulan sembang Telegram dan halaman di lelaman blog Tumblr di mana para anggotanya saling bertukar-tukar gambar selain video lucah budak perempuan serta wanita Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat kumpulan Telegram, halaman Tumblr kongsi gambar lucah budak perempuan & wanita S'pura

Tunjuk laporan palsu SPF, dakwa perniagaan diiktiraf pemerintah muslihat terbaru tipu pelanggan. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 17 Jun 2021 09:51AM Dikemas Kini : 17 Jun 2021 09:52AM

SINGAPURA: Polis sedang menyiasat beberapa kumpulan sembang Telegram dan halaman di lelaman blog Tumblr di mana para anggotanya saling bertukar-tukar gambar selain video lucah budak perempuan serta wanita Singapura.

Apabila dihubungi, polis pada Rabu (16 Jun) mengesahkan ia sedang menyiasat perkara itu tetapi enggan menyatakan berapa banyak kumpulan dan halaman itu yang menjadi subjek siasatannya.

Penulis blog Coco Ong, 28 tahun, memberitahu Mediacorp bahawa beliau sudah memfailkan aduan polis tentang kumpulan-kumpulan itu dan tahu akan wanita-wanita lain yang sudahpun berbuat demikian.

Dalam satu catatan blog pada Isnin, wanita itu menulis bahawa beliau mengetahui sekurang-kurangnya satu kumpulan Telegram dengan lebih 4,000 anggota di mana lebih 12,000 gambar lucah dan 3,400 video budak perempuan serta wanita di Singapura dikongsikan tanpa izin mereka.

Cik Ong, yang bekerja sebagai seorang pemasar dalam sektor teknologi kewangan, juga mendakwa beliau telah diperas ugut oleh seorang individu yang tidak dikenali yang mengancam akan membocorkan satu video lucah yang kononnya memaparkan diri beliau. Namun, Cik Ong kemudian mengesahkan bahawa wanita dalam video tersebut bukanlah dirinya.

Catatan blog beliau membuat rujukan kepada sebuah kumpulan Telegram dipanggil Sg Nasi Lemak, yang juga mengongsikan gambar lucah wanita di Singapura. Beberapa individu yang terlibat dalam kumpulan sembang itu sudahpun didakwa di mahkamah.

Cik Ong memberitahu Mediacorp bahawa kumpulan Telegram yang beliau ketahui itu masih lagi aktif tetapi dengan ciri-ciri privasi ditetapkan pada tahap maksimum agar kandungannya tidak boleh lagi diakses oleh mereka yang bukan dalam kumpulan tersebut.

“Sesetengah anggota kumpulan itu juga baru-baru ini mengongsikan pautan baru kepada satu lagi kumpulan yang meliputi lebih 40,000 anggota tetapi kandungan itu tidak boleh diakses dan kami tidak tahu sekiranya kumpulan baru tersebut mempunyai kandungan serupa atau jika ia bahkan berpangkalan di Singapura."

Cik Ong menambah sesetengah mangsa yang menghubungi beliau berkata mereka tidak memfailkan aduan polis dan keberatan untuk menyertai mangsa lain yang mendedahkan kumpulan-kumpulan tersebut.

“Ini boleh difahami kerana mereka tidak mahu orang ramai tahu bahawa gambar mereka tanpa berpakaian ada di luar sana sekiranya mereka diperas ugut atau ia dibocorkan lagi," ujar beliau.

Bagaimanapun, wanita itu menekankan ia adalah sebahagian sebabnya mengapa kumpulan-kumpulan tersebut kekal aktif memandangkan ramai mangsa terlalu takut untuk membuat aduan kepada polis dengan maklumat yang mereka ada.

Apabila ditanya jika beliau tahu bahawa sesetengah kumpulan itu mungkin telah menukar nama mereka untuk mengelak daripada ditangkap, Cik Ong berkata: "Ia amat mudah untuk menukar nama pengguna dan memadamkan akaun mereka... Seluruh isu ini lebih besar daripada sekadar satu kumpulan Telegram mengongsikan atau menjual gambar-gambar lucah. Mereka ada di mana-mana, malah di Tumblr, jika kami mencarinya atau cukup terhubung."

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, polis menasihatkan orang awam bahawa penyebaran bahan-bahan lucah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Jenayah.

Jika didapati bersalah, pelaku boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi polis di talian 1800-255-0000 atau memfailkan aduan polis di lelamannya.

Semua maklumat akan dirahsiakan, menurut polis. 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita