Skip to main content

Singapura

Polis siasat kes lelaki terajang wanita 55 tahun kerana tidak pakai pelitup

Polis siasat kes lelaki terajang wanita 55 tahun kerana tidak pakai pelitup

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat kes lelaki terajang wanita 55 tahun kerana tidak pakai pelitup

Cik Hindocha Nita Vishnubhai cedera setelah ditandang pada 7 Mei 2021. (Gambar-gambar: Parveen Kaur)

Diterbitkan : 10 May 2021 02:53PM Dikemas Kini : 10 May 2021 02:57PM

SINGAPURA: Polis sedang menyiasat satu kes di mana seorang lelaki didakwa menggunakan kata-kata berunsur perkauman dan menerajang seorang wanita berusia 55 tahun kerana tidak memakai pelitup semasa melakukan kegiatan berjalan pantas.

Cik Hindocha Nita Vishnubhai sedang melakukan kegiatan berjalan pantas pada pagi Jumaat (7 Mei) apabila seorang lelaki menghampirinya lalu menyuruhnya menaikkan pelitup daripada bahagian dagu supaya menutup mulut dan hidungnya, kata anak Cik Nita, Cik Parveen Kaur.

Cik Nita sedang berjalan di Choa Chu Kang Drive apabila lelaki itu datang menghampirinya di sebuah perhentian bas di luar kondominium Northvale.

"Dia (ibu) menjelaskan dia sedang berjalan pantas tetapi lelaki itu tidak peduli. Lelaki itu sebaliknya menghamburkan kata-kata kesat dan berbaur perkauman padanya (ibu)," menurut Cik Kaur menerusi catatan di Instagram Story.

"Ibu saya menjawab 'Semoga Tuhan merahmati anda' dan lelaki itu lalu menendangnya (ibu) pada bahagian dada. Ibu saya terjatuh ke belakang dan cedera."

Cik Hindocha Nita Vishnubhai cedera setelah ditandang pada 7 Mei 2021. (Gambar: Parveen Kaur)

Lelaki itu kemudian melarikan diri meninggalkan ibu Cik Kaur dalam keadaan terkejut dan berdarah, kata Cik Kaur.

Menurut Cik Kaur, ibunya selalu berjalan pantas ke tempat kerja sebagai senaman hariannya tetapi insiden itu menyebabkan ibunya "takut untuk berjalan di negaranya sendiri".

Insiden itu diketahui semasa makan malam sempena Hari Ibu semalam (9 Mei) apabila Cik Kaur mendapat tahu tentang apa yang berlaku dan mengambil gambar-gambar kecederaan yang dialami ibunya.

Gambar-gambar itu menunjukkan luka-luka berdarah dan lebam pada bahagian siku, lengan dan tapak tangan Cik Nita.

Satu aduan tentang insiden itu kemudian dibuat dan siasatan sedang dijalankan, menurut polis hari ini.

Semua orang di Singapura yang berusia enam tahun dan ke atas wajib memakai pelitup apabila berada di luar rumah, menurut panduan Kementerian Kesihatan (MOH).

Mereka boleh menanggalkan pelitup semasa melakukan kegiatan luar atau senaman berat, termasuk berjalan pantas atau berjalan di kawasan berbukit tetapi mesti memakai semula pelitup sejurus selepas bersenam.

Mereka yang berjalan pada rentak biasa dikehendaki memakai pelitup.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita