Skip to main content

Singapura

Polis siasat kes 20 individu yang dakwa S$300,000 lesap selepas urus niaga pakej haji dengan "Ustaz Malik"

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat kes 20 individu yang dakwa S$300,000 lesap selepas urus niaga pakej haji dengan "Ustaz Malik"
Petikan gambar mesej yang beredar secara meluas di WhatsApp.
SINGAPURA: Satu siasatan polis sedang dijalankan ke atas individu yang dikenali sebagai “Ustaz Malik” yang didakwa telah mengumpul hampir S$300,000 daripada 20 individu untuk membawa mereka tunaikan ibadah haji tahun ini.

Pada hujung minggu lalu, satu mesej rayuan dikongsi secara meluas menerusi WhatsApp.

Ia melampirkan gambar seorang lelaki berjubah dan berkopiah putih serta dinyatakan bahawa "Ustaz Malik" mengendalikan khidmat pengurusan jenazah Al Aaafiyah.

Mesej itu turut menyatakan, “Dia telah mengumpul hampir S$300,000 bagi Haji 2025 di bawah visa mujamalah daripada 20 orang. Buat masa ini, beliau tidak dapat dihubungi.”

Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan kepada BERITA Mediacorp bahawa laporan polis berkenaan kes itu sudah dibuat.

Butiran lanjut bagaimanapun tidak dapat didedahkan kerana siasatan masih dijalankan.

Visa Mujamalah dikatakan hanya dikeluarkan bagi kumpulan tertentu dan tidak termasuk dalam kuota rasmi haji.

Namun, proses mendapatkan atau cara visa itu diberikan tidak dinyatakan dengan jelas.

Terdapat juga laporan sebelum ini yang memberi amaran tentang sebilangan pihak termasuk ejen tidak sah, yang memperdaya individu untuk menunaikan haji menggunakan visa Mujamalah.
APA YANG TERJADI?

BERITA Mediacorp berjaya menghubungi seorang individu bernama Encik Irshad yang mengaku sebagai salah seorang jemaah yang terjejas.

"Kami semuanya berbangsa India/Muslim. Jadi kami tidak mempunyai jaringan dengan masyarakat Melayu/Islam," ceritanya.

"Kami dihampiri Maulana Zubair yang dikenali masyarakat kami. Kami membayar menerusi satu UEN (nombor unik entiti) yang dia berikan," tambah Encik Irshad, yang membuat pembayaran deposit pada 7 Januari 2025.

UEN yang diberikan dipercayai milik syarikat Al Aaafiyah, yang didakwa "kepunyaan Ustaz Malik".

Malangnya menurut Encik Irshad, kesemua 20 individu yang telah membuat bayaran masih belum menerima visa mujamalah menjelang musim haji pada awal Jun lalu.

BERITA Mediacorp memeriksa daftar Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA) dan mendapati sememangnya wujud sebuah syarikat bernama Al Aaa’fiyah Private Limited yang menyediakan beberapa perkhidmatan termasuk pengurusan jenazah.

Di laman web milik perusahaan tersebut juga tertulis bahawa seorang individu bernama Abdul Malik Mohamad Aman merupakan pengasas syarikat tersebut.
Petikan gambar dari laman syarikat Al Aaa’fiyah Private Limited.
Nama berkenaan juga tiada dalam senarai asatizah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

7 INDIVIDU FAIL LAPORAN POLIS

Menurut Encik Irshad, "Ustaz Malik" pernah cuba meyakinkan mereka bahawa dia akan memulangkan deposit selewat-lewatnya hujung Oktober.

Namun, lelaki itu menghilangkan diri dan ini membuat ramai dalam kalangan mangsa berasa marah.

Menurutnya, seramai tujuh orang sudah memfailkan laporan polis.

“Selepas mesej beredar di WhatsApp, dia akhirnya menghubungi saya semalam (1 Nov) dan berkata dirinya masih mencuba untuk mengembalikan deposit,” tambah Encik Irshad.

Sebelum ini, Majlis Ugama Islam Singapura sering menasihati orang ramai bahawa segala khidmat berkaitan haji seharusnya cuma ditawarkan ejen pelancongan yang diluluskan pihaknya.
Bagi musim haji 2025, 11 ejen pelancongan dilantik dan syarikat Al Aaa’fiyah tidak termasuk dalam senarai MUIS.

Setakat ini, MUIS masih belum memuktamadkan senarai ejen untuk tawar pakej haji bagi 2026.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita