Polis siasat kes 2 lelaki buat kacau di restoran Fat Po Punggol
Gambar: Tan Carol/Facebook
SINGAPURA: Dua lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an tahun sedang disiasat berhubung kes gangguan awam di sebuah restoran di Punggol, menurut polis pada Selasa(15 Mac).
Menurut polis, pihaknya menerima "panggilan meminta bantuan di sebuah kedai makan di Tebing Lane" pada Sabtu (12 Mac) sekitar 8.25 malam.
Dua lelaki berkenaan didakwa berkelakuan kasar terhadap beberapa kakitangan restoran tersebut dan dipercayai menghempaskan pinggan di lantai sebelum meninggalkan restoran tersebut, menurut polis.
Para pegawai polis berjaya mengenal pasti identiti kedua-dua lelaki itu, yang berusia 55 dan 59 tahun, melalui siasatan yang dijalankan serta rakaman Televisyen Litar Tertutup (CCTV).
Rakaman video yang dimuat naik ke Facebook pada Ahad (13 Mac) menunjukkan kedua-dua lelaki berkenaan bersikap agresif dan berkelakuan kasar terhadap kakitangan restoran Fat Po yang terletak di Tebing Lane.
Kesalahan bagi gangguan awam membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda sehingga S$2,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.