Skip to main content

Singapura

Polis siasat kemungkinan berlaku penyelewengan dalam kontrak binaan PUB: AGO

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat kemungkinan berlaku penyelewengan dalam kontrak binaan PUB: AGO

Gambar tangki air agensi air negara PUB. (Foto: PUB)

Diterbitkan : 09 Sep 2025 05:40PM Dikemas Kini : 09 Sep 2025 05:41PM

SINGAPURA: Polis sedang menyiasat kemungkinan berlaku penyelewengan yang dikesan dalam kontrak binaan untuk agensi air negara PUB.

Laporan Pejabat Ketua Audit Negara (AGO) bagi Tahun Kewangan 2024-2025, yang dikeluarkan pada Selasa (9 Sep), mengesan beberapa keganjilan pada sebut harga yang ditawarkan bagi barangan "bertaraf bintang". Ia merujuk kepada barangan dengan kadar harga yang tidak disenaraikan dalam kontrak.

Dalam auditnya, AGO menyuarakan keprihatinan terhadap "ketulenan sebut harga yang ditawarkan dan sama ada barangan itu telah diperolehi pada harga yang berpatutan".

PUB kemudian membuat aduan polis untuk menyiasat jika terdapat sebarang amalan bersifat penipuan dalam sebut harga yang ditawarkan kepada agensi itu.

PUB dalam kenyataan medianya mengakui terdapat kelemahan yang dikesan dalam laporan AGO dan akan terus mengkaji dan mengukuhkan sistem pengurusan pemerolehan dan operasinya.

KEGANJILAN PADA SEBUT HARGA

Laporan AGO mendapati kemungkinan berlaku penyelewengan dalam sebut harga yang ditawarkan untuk 23 daripada 25 barangan bertaraf bintang.

Ia sebanyak S$148,900 atau 94 peratus daripada jumlah nilai barangan bertaraf bintang yang sudah diuji dan diperiksa di bawah kontrak untuk kerja-kerja landskap air.

Kontrak itu diuruskan oleh perunding yang dilantik oleh agensi tersebut.

Menurut PUB, ia telah melaksanakan langkah-langkah untuk mengurus barangan bertaraf bintang, termasuk prosedur tentang cara barangan bertaraf bintang harus dinilai, serta semakan terhadap penyeliaan untuk meluluskan kadar tersebut.

Sungguhpun demikian, PUB akur  bahawa ia mungkin tidak mudah untuk mengenal pasti penyelewengan dengan segera, "terutama untuk kes-kes yang lebih kompleks atau keadaan di mana tanda-tanda tidak jelas".

PENGURUSAN KONTRAK YANG LEMAH UNTUK PENGANALISIS MUTU AIR

Laporan audit itu juga mengetengahkan isu mengenai kontrak khidmat penyelenggaraan PUB yang meliputi penganalisis mutu air di tiga loji penyulingan yang dikendalikan oleh sektor swasta.

Di bawah aturan perkongsian awam-swasta, setiap loji air dikendalikan oleh rakan kongsi sektor swasta, yang akan memasang dan menyelenggara satu set penganalisis untuk mengukur mutu air. PUB juga memasang penganalisis mutu airnya sendiri di loji-loji tersebut untuk menyemak semula bacaan mutu air rakan kongsi, yang membolehkannya memastikan keadaan teratur sebelum membuat pembayaran.

AGO mendapati tanda-tanda pengurusan yang lemah bagi kontrak ini. Contohnya:

- Sistem untuk memberi amaran kepada PUB apabila bacaan penganalisis mencapai had yang ditetapkan tidak berfungsi

- Skop kerja dalam kontrak tidak menyeluruh

- Masa lanjutan telah diambil untuk memperbetulkan kehilangan data penganalisis PUB

PUB mengakui bahawa skop kontrak sepatutnya lebih komprehensif untuk merangkumi penyenggaraan dan penyelesaian masalah data dan sistem berkaitan amaran.

Di dua loji, penganalisis PUB mengalami masalah teknikal yang mengakibatkan sistem amaran SMS tidak berfungsi, serta jurang dalam pemindahan data daripada penganalisis dalam tempoh 12 bulan.

Agensi itu menyedari isu tersebut pada pertengahan 2023 dan mengambil tindakan untuk menyelesaikannya dan untuk membangunkan huraian jangka panjang.

Penganalisis PUB di kedua-dua loji itu akhirnya dipulihkan pada lewat 2024. Sejak Januari 2025, ia telah menghubungkan semua penganalisis dengan sistem dalamannya secara langsung, membolehkan automasi makluman dan pemindahan data.

Ia memberi jaminan kepada orang ramai bahawa mutu air di loji penyulingannya tidak terjejas pada bila-bila masa.

Penganalisis mutu air PUB dipasang untuk menyediakan pemeriksaan berjaga-jaga tambahan sebagai perlindungan selanjutnya terhadap mutu air, katanya lagi.

Sumber : CNA/AW/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita