Skip to main content

Singapura

Polis siasat insiden pelajar Sekolah Rendah Qihua dipukul remaja

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat insiden pelajar Sekolah Rendah Qihua dipukul remaja

Seorang pelajar Sekolah Rendah Qihua dilihat ditumbuk, ditendang dan ditolak ke lantai dalam video yang tular online.

SINGAPURA: Polis sedang menyiasat kes seorang pelajar Sekolah Rendah Qihua berkali-kali dipukul seorang lelaki, selepas satu video insiden tersebut muncul di wadah online.

Satu laporan juga sudah difailkan, menurut polis sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp pada Isnin (23 Sep).

Video tersebut, yang berdurasi empat minit dan tular di WhatsApp dan Telegram, menunjukkan seorang remaja dalam kemeja-T hitam dan seluar jean, memukul budak lelaki yang memakai seragam sebuah sekolah di Woodlands.

Mangsa ditolak ke satu sudut tangga, di mana remaja terbabit menumbuk dan menendang lalu menolaknya ke lantai.

Dalam video itu juga, remaja berkenaan kedengaran mengarahkan mangsa meletakkan tangan ke bahagian belakang tubuhnya. Dia kemudian menumbuk perut budak tersebut.

Mangsa juga berkali-kali ditarik di bahagian leher lalu ditolak ke lantai, di mana dia terus ditendang dan ditumbuk di bahagian badan.

Selain itu, pelajar Sekolah Rendah Qihua dalam video beberapa kali berkata "maaf, maaf saya tidak akan melakukannya lagi" sedang dia diganggu si remaja dan seorang lagi individu - besar kemungkinan orang yang merakam insiden tersebut.

Pada satu ketika, remaja tersebut bertanya mangsa: "Anda mahu gaduh? Anda pasti?"

Mangsa, yang sedang menangis, berkali-kali meminta maaf dan berkata dia "tidak akan mengulanginya lagi".

Tidak jelas bila insiden ini berlaku tetapi Mediacorp sudah menghubungi Sekolah Rendah Qihua untuk mendapatkan maklumat lanjut.
 
Laluan masuk Sekolah Rendah Qihua. (Gambar: Google Street View)
VIDEO KEDUA SEUMPAMANYA DALAM SEMINGGU

Ini kali kedua video seperti itu muncul di wadah online dalam tempoh seminggu.

Dalam satu video TikTok yang dimuat naik sekitar seminggu lalu, seorang pelajar Sekolah Menengah Bukit View dilihat diejek dan ditendang sementara sekurang-kurangnya lima remaja yang mengepungnya.

Ibu bapa mangsa tersebut sudahpun memfailkan aduan polis, menurut pengetua sekolah.

Menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai insiden Sekolah Menengah Bukit View, Kementerian Pendidikan pada Ahad (22 Ogos) menyatakan bahawa pihaknya memandang serius sebarang bentuk buli.

Sejak 2013, bilangan insiden yang dilaporkan ke sekolah pada setiap tahun kekal pada sekitar dua insiden bagi setiap 1,000 pelajar sekolah rendah dan lima insiden bagi setiap 1,000 pelajar sekolah menengah.

"Apabila dipercayai ada kes buli, sekolah akan menjalankan siasatan untuk mencari tahu apa yang mendorong mereka berbuat demikian lalu mengambil tindakan disiplin untuk membantu pelajar memahami kesan tingkah laku menyakitkan itu, di samping memulihkan hubungan antara mereka yang terjejas," menurut MOE.

"Sokongan kaunseling juga akan disediakan untuk membimbing pelaku manakala mangsa akan dibantu."

MOE menambah, sekolah-sekolah akan turut mendampingi dan bekerjasama dengan ibu bapa untuk menyediakan sokongan buat para pelajar di dalam mahupun luar persekitaran sekolah.

Ini dilakukan dengan berkongsi tentang kemahiran sosial dan emosi sebagaimana yang diajar di sekolah, tingkah laku yang dijangkakan daripada pelajar serta kesan-kesan yang mungkin terjadi akibat perbuatan yang tidak boleh diterima.
 
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita