Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis siasat insiden lelaki tumbuk pemandu teksi di Beach Road

Polis sedang menyiasat seorang lelaki yang dipercayai menumbuk muka seorang pemandu teksi ComfortDelGro di Beach Road pada hujung minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat insiden lelaki tumbuk pemandu teksi di Beach Road

Petikan daripada sebuah video, dikongsikan oleh Penolong Profesor Yale-NUS Malcolm Keating, yang mendakwa beliau ternampak lelaki yang dirakamnya menyerang seorang pemandu teksi. (Gambar: Malcolm Keating/Twitter)

SINGAPURA: Polis sedang menyiasat seorang lelaki yang dipercayai menumbuk muka seorang pemandu teksi ComfortDelGro di Beach Road pada hujung minggu lalu.

Ini selepas video, yang menunjukkan lelaki berkenaan meninggalkan tempat kejadian, tular di media sosial.

Rakaman tersebut menunjukkan lelaki berkenaan berjalan di Haji Lane di Bugis sambil diekori oleh sekumpulan individu, yang menyaksikan serangan tersebut.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, jurucakap ComfortDelGro berkata para pemandu teksinya "berhak untuk bertugas dalam persekitaran selamat seperti orang lain. Beliau menambah syarikat itu sedang menghulurkan bantuan kepada pemandu teksi terlibat.

“Kami akan mengecualikan bayaran sewa selama tiga hari cuti sakit yang diberikan kepada pemandu berkenaan dan akan membantunya sebaik mungkin. Kami juga sedang membantu polis dalam siasatannya," kata Cik Tammy Tan, Ketua Pegawai Penjenamaan dan Perhubungan kumpulan ComfortDelGro.

Seorang jurucakap polis mengesahkan pada Isnin (25 Apr) bahawa satu aduan sudahpun dibuat berhubung insiden itu tetapi ia tidak menyatakan jika pihaknya sudah memberkas suspek.

Insiden tersebut pertama kali dikongsikan di Twitter apabila Penolong Profesor Falsafah di Kolej Yale-NUS, Malcom Keating, memuat naik ciapan mengenainya selepas menjadi saksi kepada pertelingkahan itu.

Dr Keating mendakwa lelaki berkenaan menaiki teksi yang ditempahnya dengan rakan-rakannya di Beach Road pada malam 23 April.

Apabila pemandu teksi menyedari bahawa beliau tersilap ambil penumpang, beliau dikatakan meminta lelaki berkenaan untuk keluar dari kenderaan itu, menurut Dr Keating di Twitter.

Apabila Dr Keating membuka pintu belakang teksi itu, lelaki berkenaan dipercayai "mendekati lalu memukul pemandu itu", kata beliau.

Kumpulan Dr Keating kemudian mengekori lelaki itu dan merakamkannya sambil berteriak ke arahnya supaya berhenti daripada melarikan diri.

Dr Keating merayu kepada orang awam supaya menghubungi polis sekiranya mereka dapat mengenal pasti si penyerang dan berkata bahawa beliau sudahpun menghubungi pemandu teksi itu pada keesokan harinya untuk bertanya khabar.

PEMANDU TEKSI TIDAK BOLEH LAWAN BALIK

ComfortDelGro mengucapkan terima kasih kepada Dr Keating kerana menghulurkan bantuan kepada pemandu teksi itu selain membawa perkara tersebut kepada perhatian syarikatnya.

"Mereka (pemandu teksi) yang diserang telahpun diberitahu agar tidak melawan balik apabila berdepan dengan situasi yang membawa ancaman tetapi sebaliknya, untuk cuba mengingat insiden itu seberapa boleh supaya mereka boleh membantu polis dalam siasatannya," jelas Cik Tan.

Syarikat itu menambah para pemandu teksi yang mengalami situasi sedemikian seharusnya memfailkan aduan polis dan mengemukakan aduan tersebut kepada syarikat bagi "tindakan susulan".

"Kami membantu mereka dengan tuntutan perubatan, kerugian dan juga pengecualian sewa, sekiranya perlu. Kami juga memberi pampasan kepada mereka atas kerugian pada pendapatan mereka jika mereka perlu menghadirkan diri di mahkamah sebagai saksi," tambah Cik Tan.

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan