Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis siasat insiden lelaki buang air kecil di stesen MRT Tanah Merah

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat insiden lelaki buang air kecil di stesen MRT Tanah Merah

(Gambar: Instagram/tiagong_sg.backup)

Diterbitkan : 14 Jan 2025 03:02PM Dikemas Kini : 14 Jan 2025 03:06PM
SINGAPURA: Polis sedang menjalankan siasatan selepas seorang lelaki dirakam menerusi video dilihat sedang membuang air kecil di stesen MRT Tanah Merah.

Dalam video yang dimuat naik ke Instagram pada Isnin (13 Jan), lelaki yang memakai baju merah dilihat berdiri di satu sudut platform stesen MRT. Dia kemudian menutup zip seluar, melihat sekelilingnya dan bergegas lari.

Presiden SMRT Trains Lam Sheau Kai mengesahkan pada Selasa bahawa insiden berlaku di stesen MRT Tanah Merah.

"Perbuatan sedemikian tidak boleh diterima, memandangkan ia mengotorkan ruang-ruang awam dan membawa risiko kesihatan dan kebersihan terhadap para penumpang," kata beliau semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Satu aduan polis sudah dibuat dan kami sedang bekerjasama dengan polis dalam siasatan."

Polis mengesahkan bahawa satu aduan diterima dan siasatan sedang dijalankan.

Tarikh insiden itu bagaimanapun tidak dinyatakan. Setakat tengah hari Selasa, video itu ditonton lebih 370,000 kali.

Insiden itu berlaku sehari selepas seorang lelaki didakwa atas insiden serupa.

Seorang warga China Li Guorui, 41 tahun, dituduh membuang air kecil di tempat pemegang tangga bergerak di stesen MRT Outram.

Pada Ahad, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan pihaknya mengetahui tentang catatan yang dimuat naik yang menunjukkan seorang lelaki membuang air kecil dekat tangga bergerak di salah satu pintu keluar Laluan Timur Laut (NEL) stesen MRT Outram Park pada 10 Jan.

"Selepas menerima berita insiden itu, kakitangan dari SMRT dan SBS Transit bekerjasama untuk menangani kes tersebut. Kakitangan SBS Transit segera memastikan kawasan terjejas dibersihkan dan membuat aduan polis," menurut LTA.

Seorang individu yang bercakap dengan kakitangan SMRT di stesen MRT Laluan Thomson-East Coast (TEL) mahu mereka menggunakan CCTV untuk mengenal pasti pelakunya.

Kakitangan SMRT menjelaskan bahawa CCTV di pintu keluar NEL adalah miliki SBS Transit, yang mengendalikan NEL.

SMRT memaklumkan kepada SBS Transit untuk memeriksa rakaman CCTV dan lelaki itu dikenal pasti dan ditangkap.

"LTA dan pengendali pengangkutan itu mengutuk keras kelakuan antisosial sedemikian, yang bukan setakat mengotorkan ruang-ruang awam tetapi juga membawa risiko kesihatan dan kebersihan kepada para penumpang," menurut penguasa itu.

"Kelakuan sedemikian tidak boleh diterima, dan LTA akan bekerjasama dengan polis untuk memohon bagi denda maksimum ke atas pelaku. Kami mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana memaklumkan kepada kami mengenai isu ini."
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan