Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis siasat gambar bogel 'deepfake' pelajar Sekolah Sukan Singapura

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat gambar bogel 'deepfake' pelajar Sekolah Sukan Singapura

Sekolah Sukan Singapura. (Gambar: Anthony Chia/channelnewsasia.com)

SINGAPURA: Polis sedang menyiasat gambar bogel palsu (deepfake) pelajar Sekolah Sukan Singapura (SSP) yang dicipta dan dikongsi oleh pelajar lain.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, pengetua sekolah itu, Ong Kim Soon berkata pada Selasa (12 Nov) bahawa sekolah tersebut mendapat tahu tentang insiden "melibatkan penciptaan dan perkongsian gambar palsu oleh atlet-pelajar kami".

"Pihak sekolah tidak akan membiarkan tingkah laku berbahaya itu," tambahnya.

"Pihak sekolah telah melancarkan siasatan dan membuat aduan polis. Memandangkan siasatan polis sedang dijalankan, kami tidak dapat berkongsi maklumat lanjut."

Mediacorp difahamkan bahawa gambar-gambar itu adalah gambar bogel palsu (deepfake).

Polis mengesahkan dengan Mediacorp bahawa aduan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan. Pihak sekolah tidak memberikan butiran tentang ciri-ciri gambar tersebut.

Dalam mesej WhatsApp kepada ibu bapa yang dilihat oleh Mediacorp, sekolah itu menyatakan bahawa polis telah diberikan pautan laman web yang dikaitkan dengan kes itu, dan pihak polis sedang membantu memadamkan gambar-gambar dari laman web tersebut.

Semua pelajar yang terlibat sedang disoal siasat oleh polis, dan telefon bimbit dan peranti lain mereka telah dirampas untuk pemeriksaan forensik, menurut kiriman mesej itu.

Pihak sekolah juga berkata tindakan disiplin sudah diambil termasuk merotan beberapa pelajar dan melarang mereka daripada melakukan perjalanan, di samping digantung sekolah, latihan dan penginapan asrama.

ADUAN POLIS

Bapa kepada seorang mangsa berkata, dia dimaklumkan mengenai kes itu pada Isnin semasa menerima panggilan daripada mentor anak perempuannya. Ibu bapa pelajar itu kemudian berjumpa dengan guru anak perempuan mereka.

Menurutnya, kes itu bermula sejak Jun lalu apabila sekumpulan remaja lelaki mula menghasilkan dan menyebarkan imej bogel palsu rakan sekolah perempuan mereka.

Beliau tidak pasti berapa ramai pelajar yang terlibat, tetapi menambah bahawa "ia adalah sekumpulan besar lelaki" dan "bukan hanya satu atau dua".

Beliau berkata, pelaku menggunakan WhatsApp untuk berkomunikasi.

Terdapat dua kumpulan - satu akan menghasilkan foto, manakala satu lagi akan mengedarkannya.

Ibu bapa yang terjejas telah membuat aduan polis, tambahnya.

"Nampaknya beberapa budak lelaki itu dirotan secara tertutup semalam. Tetapi ia tidak mencukupi," katanya kepada Mediacorp pada Selasa.

Beliau telah meminta pihak sekolah untuk "menimbangkan dengan serius" supaya pelajar-pelajar yang terlibat dibuang sekolah.

“Para pelajar perempuan itu tidak akan berasa selamat dengan mereka berlegar-legar di sekolah,” kata bapa mangsa.

Dibuka secara rasmi pada 2004, SSP menawarkan program akademik dan sukan bersepadu untuk memupuk mereka menjadi atlet negara.

Pelajarnya berumur antara 13 dan 18 tahun, dan kebanyakan mereka memasuki sekolah tersebut melalui Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA).
 
Sumber : CNA/HA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan