Polis siasat dakwaan serangan seksual ke atas pramugari oleh kru British Airways
Polis Singapura sedang menyiasat kes yang melibatkan seorang anak kapal British Airways yang didakwa melakukan serangan seksual terhadap rakan sekerjanya.
Pesawat Airbus A380 British Airways di Lapangan Terbang Chateauroux-Deols "Marcel Dassault", di Deols, Perancis, pada 29 Oktober 2020. (Gambar fail: AFP/Guillame Souvant)
Sebagai maklum balas terhadap pertanyaan Mediacorp, Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan pada Khamis (20 Mac) bahawa satu laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.
Pejabat Suruhanjaya Tinggi British juga memaklumkan Mediacorp bahawa mereka sedang "memberikan sokongan" kepada seorang lelaki British di Singapura dan mereka sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan.
Media British, termasuk The Sun dan The Daily Mail, pertama kali melaporkan pada Rabu bahawa seorang anggota kru lelaki British Airways telah ditangkap di Singapura, selepas didakwa merogol rakan sekerjanya, seorang pramugari.
Laporan tersebut menyatakan bahawa tuduhan rogol dibuat selepas kru berkenaan keluar pada waktu malam semasa transit.
Lelaki itu dikatakan sudah bekerja dengan British Airways "selama bertahun-tahun", menurut The Sun yang memetik sumber yang tidak dinamakan.
Dua orang kakitangan wanita British Airways telah diterbangkan pulang berikutan insiden tersebut, lapor media British.
Tiada butiran lain mengenai suspek yang diketahui. British Airways enggan memberi ulasan apabila dihubungi Mediacorp, dengan menyatakan bahawa ia adalah perkara yang ditangani pihak polis.
Di bawah undang-undang Singapura, hukuman bagi kesalahan rogol dan serangan seksual melibatkan penembusan adalah penjara sehingga 20 tahun dan denda atau dirotan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.