Polis siasat dakwaan penipuan peralatan pembinaan bernilai S$500,000 libatkan tiga syarikat
Tiga syarikat membuat laporan polis terhadap sebuah syarikat perunding berhubung satu penipuan melibatkan peralatan pembinaan yang dikatakan bernilai sekitar S$500,000, selepas jentera yang disewa hilang dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Gambar yang menunjukkan beberapa jentera pembinaan di Singapura. (Gambar: CNA)
- Tiga syarikat membuat laporan polis terhadap sebuah syarikat perunding berhubung satu penipuan melibatkan peralatan pembinaan yang dikatakan bernilai sekitar S$500,000, selepas jentera yang disewa hilang dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
- Syarikat-syarikat penyewaan yang terjejas memberitahu Mediacorp bahawa mereka tidak menerima bayaran daripada syarikat Revivify, yang turut didapati menggunakan alamat palsu.
- Menurut laporan polis yang dibuat New Town, syarikat itu akhirnya berjaya mengesan salah satu jentolaknya di sebuah tapak binaan di 29 Penjuru Lane.
- Encik Derrick berkata, syarikatnya akan meletakkan alat pengesan pada peralatannya selepas ini serta menjalankan semakan latar belakang yang lebih teliti ke atas para penyewa.
Syarikat-syarikat penyewaan yang terjejas memberitahu Mediacorp bahawa mereka tidak menerima bayaran daripada syarikat Revivify, yang turut didapati menggunakan alamat palsu.
Siasatan sedang dijalankan, menurut Pasukan Polis Singapura sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.
“MENIMBULKAN KERAGUAN SAYA”
Sebuah syarikat peralatan pembinaan, New Town Engineering, mengatakan bahawa seorang wakil dari Revivify mula menghubungi mereka pada Mei untuk menyewa dua jentolak.
Lelaki itu membuat bayaran untuk sewa bagi tempoh sebulan pada Jun. Apabila New Town bertanya sama ada dia ingin melanjutkan tempoh sewa, lelaki itu bersetuju tetapi memohon untuk menangguhkan tempoh bagi membuat pembayaran, dan permintaan itu diterima pihak New Town.
“Namun, apabila kami melawat pejabatnya, kami diberitahu bahawa tiada syarikat sedemikian di alamat tersebut,” kata seorang kakitangan New Town yang hanya mahu dikenali sebagai Anne.
Beliau menambah bahawa mereka bukan pihak pertama yang berkunjung ke pejabat berdaftar Revivify di International Plaza.
“Ini menimbulkan keraguan dan saya cuba (mengesan) di mana sebenarnya jentolak-jentolak kami. Tetapi pelanggan itu mengambil sendiri dan menghantar (jentolak-jentolak itu) ke tapaknya, jadi kami tidak ada maklumat berhubung alamat tersebut,” katanya.
“Kami tidak mahu dia tahu bahawa kami syak ia adalah satu penipuan, jadi kami hubungi dia dan tanya lokasi jentolak-jentolak itu, dan dia memang berikan. Tetapi malangnya, alamat itu tidak wujud.”
Revivify didaftarkan sebagai syarikat pada 2021 untuk perkhidmatan perundingan berhubung pelabuhan dan maritim. Ketika Mediacorp mengunjungi alamat berdaftarnya, pejabat itu sebenarnya digunakan oleh syarikat lain.
Revivify tidak memberikan respons apabila Mediacorp untuk menghubungi mereka.
Menurut laporan polis yang dibuat New Town, syarikat itu akhirnya berjaya mengesan salah satu jentolaknya di sebuah tapak binaan di 29 Penjuru Lane.
Selepas berbincang selama sekitar 10 jam, yang turut melibatkan pihak polis, New Town akhirnya berjaya mendapatkan semula jentolak tersebut. Namun, satu lagi jenteranya gagal dikesan dan syarikat itu juga tidak dapat menghubungi Revivify.
Cik Anne berkata jumlah kerugian mereka dianggarkan antara S$55,000 hingga S$60,000.
Beliau menambah bahawa selepas membuat pertanyaan dalam kalangan pemain industri, beliau mendapati sebuah lagi syarikat – Cherly Equipment Service – turut kehilangan empat jentolak bernilai S$240,000 kepada suspek yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutif dan pengarah urusan Cherly, Tang Siang Hong, berkata tiga daripada jentera itu adalah milik syarikatnya, manakala satu lagi dimiliki oleh rakannya.
PERMINTAAN BAGI PERALATAN KHAS
Revivify turut menghubungi syarikat ketiga, Multi Ways Equipment, untuk menyewa mesin kimpalan dan jentera pengangkut (wheel loader) yang digunakan di tapak binaan untuk mengangkut bahan seperti tanah atau batu.
“Mereka nampaknya arif tentang industri ini kerana mereka minta dipasangkan peralatan khas pada jentera tersebut, seperti kamera dan sensor, untuk keselamatan di tapak. Jadi, kami teruskan urusan,” kata seorang kakitangan Multi Ways yang hanya mahu dikenali sebagai Derrick.
Katanya, wakil Revivify pada awalnya mahu peralatan tersebut dihantar ke Seletar North bagi satu projek, tetapi menukar lokasi ke 29 Penjuru Lane pada akhir Mei apabila peralatan itu sedia untuk dihantar.
Encik Derrick membenarkan Revivify memeriksa jentera-jentera tersebut di sana. Namun, apabila beliau bertanya bila ia akan dihantar ke Seletar North, beliau tidak menerima jawapan yang jelas.
“Jadi, saya pergi sendiri pada 10 Jun... untuk lihat. Bila sampai di sana, tempat itu hanya kawasan tanah lapang, seperti tempat pembuangan,” tambahnya.
Encik Derrick hanya menemui satu jentera di lokasi tersebut. Tiga lagi bernilai sekitar AS$200,000 (S$255,372) masih hilang dan mungkin sudah dibawa keluar dari Singapura, katanya.
Syarikatnya kemudian menerima sepucuk surat daripada Revivify selepas mereka cuba untuk mendapatkan semula peralatan tersebut. Surat itu yang kononnya ditandatangani oleh pasukan undang-undang dalaman Revivify, menuduh Multi Ways melanggar perjanjian.
Multi Ways tidak menerima sebarang maklum balas daripada Revivify selepas itu.
Encik Derrick berkata, syarikatnya akan meletakkan alat pengesan pada peralatannya selepas ini serta menjalankan semakan latar belakang yang lebih teliti ke atas para penyewa.
“Sebagai syarikat penyewaan, setiap peralatan merupakan sumber pendapatan … jadi apabila peralatan itu hilang begitu sahaja, ia satu kerugian langsung bagi syarikat,” katanya.
“Ramai pihak yang terjejas (akibat perkara ini). Ia tidak baik untuk perniagaan dan buat kami lebih berwaspada terhadap pelanggan seterusnya.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.